Amal 10 tip skor Biologi ini, pelajar pasti terkejut melihat hasilnya
Amal 10 tip skor Biologi ini, pelajar pasti terkejut melihat hasilnya

Amal 10 tip skor Biologi ini, pelajar pasti terkejut melihat hasilnya

Roshlawaty Md Raieh
14 Jul 2022 10:13pm
A
A
A

Subjek Biologi adalah antara mata pelajaran yang dianggap sukar oleh sesetengah pelajar.

Walaupun sudah mengulangkaji apa yang telah dipelajari, namun masih ada pelajar yang tetap tidak memahami subjek tersebut.

Sebagai membantu pelajar yang mungkin mengalami banyak masalah dalam menguasai mata pelajaran berkenaan, Guru Cemerlang Biologi, Cikgu Munirah Jaafar @ Mustapha dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan berkongsi beberapa tip penting yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar.

Antara yang dikongsi oleh guru ini ialah

1) Anggaplah buku Biologi sebagai bahan bacaan yang menyenangkan, seperti pelajar selalu menyelak helaian novel. Bawalah selalu buku Biologi walau ke mana anda pergi. Sekiranya ada masa luang, dapatlah pelajar membacanya.

2) Mungkin pelajar boleh menghias atau membalut buku dengan pembalut yang disukai.

Kemudian, anda wajib menggunakan kaedah bio-diagram iaitu permudahkan nota dalam suatu gambar rajah yang lengkap dan berlabel.

Bayangkan, apabila pelajar mempraktikkan kaedah ini, mereka sudahpun mendapat beberapa kebaikan iaitu anda dapat mengingati dan melukis rajah, melabel struktur-struktur penting, membiasakan diri dengan ejaan dan istilah sains yang betul serta mengingati proses mengikut urutan.

3) Pelajar harus melihat keseluruhan topik yang ada. Kemudian, buatlah satu senarai semak yang mengandungi topik dan subtopik. Dari sini, pelajar akan dapat mengesan tajuk-tajuk yang masih belum dapat dikuasai bermula dari Tingkatan Empat. Topik-topik yang sudah dibaca, harus ditanda sebagai selesai diulangkaji.

4) Kemudahan internet yang ada sekarang juga menyebabkan sebilangan pelajar mempunyai Facebook. Alangkah baik sekiranya anda gunakan kemudahan internet itu dengan melayari laman YouTube untuk melihat dengan jelas simulasi atau paparan sebenar proses-proses Biologi. Jangan lupa juga untuk melayari blog-blog Guru Cemerlang Biologi yang lain kerana terdapat banyak informasi Biologi yang menyeronokkan.

5) Apabila pelajar sudah menyenangi Biologi dan menyenangi guru yang mengajar Biologi, maka sudah tentu secara automatiknya pelajar akan terdorong untuk mendalami Biologi.

Seterusnya, apabila menemukan sesuatu yang sukar dalam proses ulangkaji atau mendengar rakan-rakan menyebut sesuatu yang agak asing pada pendengaran, maka segeralah merujuk kepada rakan-rakan yang lebih arif atau bertemu sahaja dengan guru.

Jangan biarkan perkara ini berlarutan kerana ditakuti motivasi untuk belajar Biologi akan menurun. Masalah dan kesusahan adalah untuk dihadapi bukan untuk ditangisi.

6) Setiap topik dalam Biologi adalah berkaitan antara satu sama lain. Adalah penting untuk pelajar memahami dan mendalaminya secara menghubungkaitkan topik-topik berkaitan.

Sebagai contoh, untuk memahami topik pembiakan dan pertumbuhan, pelajar harus kukuh asas pembahagian sel terlebih dahulu.

Apabila membaca, terutamanya yang melibatkan urutan proses atau istilah-istilah sains, pelajar harus melakukan hafalan berulangkali. Kemudian, berusaha untuk menulisnya secara berulangkali sehingga pelajar dapat mengingati secara keseluruhan dengan jayanya.

Membina formula sendiri juga amatlah dialu-alukan seperti:

Monosakarida - Ma Suka Laksa iaitu Maltosa, Sukrosa dan Laktosa

7) Baca terlebih dahulu sebelum kelas bermula. Ini akan membantu pemahaman pelajar sewaktu guru menerangkannya.

Fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru. Libatkan secara aktif dalam perbincangan di kelas. Guru hanyalah sebagai pemudahcara sahaja. Menjadi tugas anda sebagai pelajar untuk mengukuhkan pemahaman yang sedia ada.

8) Sebagai aktiviti pengukuhan untuk membantu supaya ilmu itu bertahan lama, selalulah melakukan aktiviti menjawab soalan berkaitan topik tersebut sebaik sahaja kelas berakhir.

Praktiskan teknik-teknik menjawab yang diajar oleh guru. Lebih-lebih lagi, sekarang kita berdepan dengan transformasi bentuk soalan yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

9) Selain itu, perbincangan mengenai sesuatu topik dengan rakan-rakan adalah amat perlu untuk memantapkan ingatan dan memahirkan ilmu pengetahuan.

Sama-samalah berganding bahu membantu rakan-rakan untuk mengembangkan ilmu yang pelajar ketahui.

10) Untuk cemerlang Biologi, pelajar juga harus tahu strategi belajar. Biologi mempunyai tiga kertas iaitu Kertas 1 (soalan objektif), Kertas 2 (soalan struktur dan esei) dan Kertas 3 (soalan struktur dan penyediaan eksperimen).

Kesimpulannya, tip belajar Biologi di atas akan bermanfaat sekiranya pelajar melaksanakannya dengan kesungguhan hati disertai niat dan motivasi tinggi, penuh konsentrasi, dilakukan secara teratur dan harus sering diulang.

Selamat mencuba dan semoga berhasil.

Artikel berkaitan

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!

Ustaz Quszaini kongsi 4 kaedah mudah hafal surah

7 punca anak-anak jadi pembuli, ibu bapa mesti tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok