IMG_8349
IMG_8349

Bidang fesyen dan tekstil janji peluang cerah, pelajar perlu lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran

Nor Azma  Muhamat Laila
20 Sep 2021 07:15pm
A
A
A

Melihat kepada perkembangan industri fesyen dan tekstil di negara ini yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat jelas menunjukkan bidang ini menjanjikan masa depan cerah jika seseorang itu bijak mengatur strategi berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

Meskipun permintaan terhadap produk fesyen dan tekstil agak menurun ketika ini kerana pandemik Covid-19 tetapi pakaian tetap menjadi barang keperluan yang terus kekal relevan walaupun zaman dan teknologi berubah dengan pantas.

Perkembangan industri fesyen dan tekstil dalam mendepani cabaran musim pandemik ini juga membuatkan ramai pereka fesyen dan tekstil tampil lebih bijak meneroka peluang dengan menghasilkan pelbagai rekaan yang mampu menarik perhatian pengguna dari dalam dan luar negara.

Pensyarah Fesyen dan Pakaian, Kolej Komuniti Raub, Pahang, Fara Azeerin A Karim, berkata peningkatan yang baik dalam industri fesyen dan tekstil dapat dilihat berdasarkan penerimaan positif pengguna ke atas pelbagai produk batik dan songket.

Menurut beliau, perkembangan industri ini juga membuka lebih banyak peluang pengajian kepada pelajar yang berminat mendalami bidang fesyen, pakaian dan tekstil di peringkat kolej atau universiti.

Tingkat kemahiran diri

“Bagi pelajar yang berminat dalam bidang penghasilan pakaian, mereka perlu memilih program pengajian berkaitan fesyen manakala bidang tekstil bagi mereka yang berminat dengan penghasilan fabrik.

“Pastikan pelajar membuat pilihan yang betul kerana kedua-duanya adalah jurusan yang berbeza di mana fesyen melibatkan seni reka dan penghasilan pakaian, tekstil pula penghasilan fabrik sama ada batik, cetakan ataupun tenunan,“ ujar beliau.

Di Malaysia, banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) yang menawarkan jurusan fesyen dan tekstil seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik dan Kolej Komuniti, Kolej Vokasional (KV) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

Mengulas mengenai kemahiran yang perlu ada dalam diri pelajar sekiranya mahu mendalami bidang fesyen dan tekstil ini, Fara berkata minat untuk merancang reka bentuk pakaian saja tidak mencukupi kerana menjadi pereka fesyen tidak mudah seperti yang disangkakan.

Jelas beliau, cabaran yang menanti sebaik saja pelajar menyertai industri ini juga tidak kurang hebatnya kerana perlu berdepan persaingan sengit daripada pereka fesyen tempatan dan antarabangsa.

Fara memberikan konsultasi bagi penghasilan gaun labuh untuk pelanggan yang akan digunakan dalam penggambaran iklan televisyen.

Peluang kerjaya cerah

“Seseorang yang ingin menjadi pereka fesyen atau fabrik memerlukan bimbingan, kepakaran serta pengalaman untuk berjaya selain memastikan kemahiran sedia ada sentiasa digilap dengan latihan yang betul.

“Pelajar juga perlu tahu trend semasa dan belajar mengenai penggunaan teknologi kerana bidang ini mula menggunakan perisian untuk rekaan digital terutama bagi penghasilan corak atau motif pada pakaian, selendang, tudung dan fabrik,“ tutur Fara yang pernah bertugas sebagai penata gaya di organisasi media terkemuka di negara ini.

Berpengalaman selama 20 tahun dalam industri fesyen dan tekstil di Malaysia, Fara berpendapat bidang rekaan fesyen dan tekstil menjanjikan peluang kerjaya yang cerah pada masa depan.

“Menjadi graduan dalam bidang fesyen dan tekstil bukan hanya terhad kepada kerjaya sebagai tukang jahit atau pembuat batik semata-mata kerana perkembangan teknologi hari ini membuka lebih banyak jawatan baharu dalam industri.

“Salah satunya ialah kerjaya sebagai pereka ilustrasi fesyen (fashion illustrator) yang dilihat semakin mendapat permintaan pada hari ini berikutan kemunculan lebih banyak jenama tempatan yang menghasilkan produk seperti tudung, selendang dan pakaian ready to wear.

“Selain itu, lulusan bidang ini juga boleh menjadi pereka tekstil, penata gaya, pereka aksesori dan penata gaya hijab. Dalam industri pengilangan bahan teksti pula, ia kini turut diguna pakai dalam bidang automotif, dekorasi dan perabot,“ sambung beliau lagi.

Sebelum mengakhiri perbualan, Fara turut menitipkan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan oleh pelajar sekiranya ingin menceburi bidang fesyen dan tekstil seterusnya menjadi individu berjaya dalam industri pada masa depan.

“Paling utama ialah pelajar perlu kreatif dalam menampilkan gaya dan idea rekaan baharu serta mempunyai kemahiran melukis yang sangat baik supaya dapat menterjemahkan idea atau jenis pakaian yang ingin dihasilkan dengan baik kepada pelanggan.

“Pereka fesyen juga perlu mempunyai sentuhan unik (signature style) yang tersendiri bagi membezakan produk anda dengan orang lain, memiliki komunikasi yang baik terutama jika bekerja dalam kumpulan dan keterbukaan untuk bekerja dengan ramai pelanggan,“ ujar beliau.

BIODATA

Nama: Fara Azeerin A Karim

Umur: 38 Tahun

Kelayakan akademik:

Diploma Seni Lukis & Seni Reka Tekstil UiTM

Sarjana Muda Seni Reka Fesyen UiTM

Sarjana Teknologi Reka Bentuk UiTM

Pengalaman industri:

Penata gaya Astro (2007-2011)

Penata gaya Media Prima (2011-2012)

Pereka ilustrasi fesyen bagi jenama Amin Jauhari, Paris Fairies, Najjah

Penulis buku “Cikgu Pun Kena Cantikkan?”

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok