Alyssa Zyra
Alyssa Zyra

Dijangkiti Covid-19 ketika SPM, hikmah buat Alyssa raih keputusan cemerlang

Adlan Farhan Azwan
16 Jun 2022 06:01pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu telah melumpuhkan sistem pendidikan negara.

Sepanjang tempoh tersebut, para pelajar di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) terpaksa menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Banyak rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pelajar-pelajar ini dalam usaha menimba ilmu terutamanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, ia bukanlah satu halangan bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, Alyssa Zyra Mohd Zailan, 18, yang berjaya meraih keputusan cemerlang 9A bagi SPM 2021.

Menurutnya, ketika dia menduduki peperiksaan SPM pada minggu pertama, nasib tidak menyebelahinya apabila dia dijangkiti Covid-19.

“Apabila saya dijangkiti dengan Covid-19, ia telah memberi kesan terhadap ‘mood’ saya untuk menghadapi peperiksaan pada minggu seterusnya.

“Ketika itu, apa yang saya fikirkan adalah untuk menjawab kertas peperiksaan secepat mungkin.

“Bagaimanapun, di sebalik kesukaran yang terpaksa dihadapi, ia telah memberi ruang kepada saya untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih tekun disebabkan masa lapang yang sedia ada kerana perintah kuarantin,” katanya kepada Sinar Bestari, ketika ditemui

disekolahnya selepas mengambil keputusan peperiksaan SPM, hari ini.

Mengulas lanjut, Alyssa Zyra berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaannya hari ini adalah sistem sokongan daripada rakan serta guru sekolah.

“Seperti yang kita dapat dengar sebentar tadi, sorakan padu yang dilaungkan oleh pelajar-pelajar SMK (P) Sri Aman ialah antara bukti sokongan yang baik antara satu sama lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia telah merancang untuk menjadi seorang peguam dan berharap agar diterima masuk di Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Program Asasi Undang-Undang.

“Saya berharap dengan keputusan ini saya dapat membuat program asasi di UiTM dan juga menerima biasiswa daripada mana-mana pihak.

“Seterusnya, saya memilih Universiti Malaya untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi (ijazah),” ujarnya mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan

1,803 calon di Selangor peroleh A bagi semua subjek dalam SPM 2021

Hala tuju pelajar lepasan SPM

Program empowerNCER-Akademik bantu tingkatkan kecemerlangan pelajar SPM 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok