ezgif-7-2efbda18a8d4
ezgif-7-2efbda18a8d4

Dua dekad ceburi bidang pengacaraan, Ally Iskandar tetap merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Oct 2021 04:25pm
A
A
A

Nama Ally Iskandar Mohd Mardzi bukan lagi asing dalam bidang pengacaraan. Pengalaman lebih dua dekad sebagai pengacara sudah selayaknya menjadikan selebriti ini salah seorang ikon yang disegani kerana kemahirannya mengendalikan pelbagai program atau majlis.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, jejaka berumur 45 tahun ini mula menceburi bidang pengacaraan pada tahun 1999 apabila diterima menjadi pengacara program hiburan Kuiz Mana Popular yang disiarkan di TV3.

Selepas itu Ally Iskandar mula diserap menjadi wartawan penyiaran sepenuh masa di TV3 pada 2002 dan bertugas untuk program berita jenayah popular iaitu 999 serta diberikan kepercayaan mengendalikan pelbagai program termasuklah Malaysia Hari Ini (MHI) bersama nama besar dalam bidang penyiaran seperti Suhaimi Sulaiman dan Nizal Mohamad.

Pada tahun 2008, Ally Iskandar diberi peluang menerbit dan mengendalikan rancangannya sendiri iaitu ALLY serta turut mengacarakan beberapa anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Skrin.

Ditanya kenapa beliau memilih bidang pengacaraan sebagai kerjaya pilihan, Ally Iskandar menjelaskan dirinya memang meminati bidang media, tidak kira sama ada di depan atau belakang kamera.

"Sehubungan itu juga saya membuat keputusan menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem, University of the Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat.

"Mungkin sesetengah orang berpendapat lulusan akademik saya tiada kena mengena dengan bidang komunikasi tetapi sebenarnya ia sangat berkait rapat malah membantu dalam kerjaya sehinggalah ke hari ini," katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Selain popular sebagai pengacara MHI, baru-baru ini Ally Iskandar diberi peluang menjadi penyampai radio Buletin FM, mengendalikan slot pagi bersama rakan penyampai yang juga pembaca berita Buletin Utama TV3, Hawa Rizwana.

Kongsi pengalaman

Berkongsi serba sedikit pengalaman sepanjang menceburi bidang pengacaraan, selebriti yang pernah mengacarakan program Mentor itu berkata, terlalu banyak momen indah yang dilalui sepanjang terbabit dalam bidang komunikasi dan media ini.

"Antara pengalaman paling berharga ialah apabila saya berpeluang menemu bual seniman dan seniwati legenda sezaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, seperti Allahyarham Datuk Aziz Sattar, Zaiton, Datuk Rosnani Jamil dan lain-lain.

"Dapat mendengar perkongsian pengalaman bekerja bersama Seniman Agung P Ramlee daripada mulut mereka sendiri dan kisah orang-orang lama seperti mereka amat saya hargai dan dijadikan panduan serta pedoman menempuh kehidupan khususnya dalam industri ini," kongsinya lagi.

Menjadikan pengacara tersohor seperti Larry King, David Letterman, Edward Murrow, Oprah Winfrey sebagai idola, Ally Iskandar berpendapat keupayaan dan kemahiran berkomunikasi adalah paling penting dalam bidang pengacaraan supaya dapat menyampaikan maklumat dengan baik kepada penonton.

"Ketampanan atau kecantikan paras rupa adalah bonus, yang menjadi antara daya tarikan kepada penonton. Bagi orang seperti saya yang tidak memiliki kelebihan itu, memadai dengan penampilan yang sesuai dengan tuntutan tugas dan sekuntum senyuman.

"Dalam pada itu, jika seseorang ingin menceburi bidang pengacaraan, kelayakan akademik juga perlu seiring dengan kemahiran yang ada kerana mereka yang konsisten menimba ilmu dan kemahiran menunjukkan dia punya kesungguhan untuk belajar bagi mendapatkan apa yang diingini dan tidak bergantung semata-mata kepada bakat atau paras rupa," ujarnya lagi.

Persiapan seorang pengacara

Sebagai pengacara berpengalaman, Ally Iskandar turut berkongsi beberapa persiapan yang perlu dilakukan oleh seorang pengacara sekiranya mereka perlu bersiaran di kaca televisyen atau mengendalikan majlis.

Tambah beliau, persiapan fizikal perlu dilakukan untuk memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik dan rehat secukupnya agar dapat menjalankan tugas dengan tenang.

"Persiapan mental juga penting kerana pengacara perlu memahami dan mendalami maklumat yang bakal disampaikan selain persiapan emosi iaitu memastikan ia stabil supaya dapat melaksanakan tugas dengan profesional.

"Bagi individu di luar sana yang berminat menceburi bidang pengacaraan, mereka perlu bekerja keras, sentiasa mendalami ilmu dan perbaiki serta perbaharui kemahiran diri, hormati orang lain tidak kira tua atau muda serta gunakan bakat untuk memberi manfaat kepada semua," jelasnya lagi.

Profil

Nama: Ally Iskandar Mohd Mardzi

Tarikh lahir: 13 Januari 1976

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Status: Berkahwin

Kerjaya: Pengacara dan penerbit

Pendidikan: Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem, University of the Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat

Idola: Larry King, David Letterman, Edward Murrow, Oprah Winfrey

Pengalaman:

Menjadi pengacara Kuiz Mana Popular, Sinaran Pasport kegemilangan, Ally, Singgah Sahur, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin, Konsert Jomheboh, Mentor, Wawancara Khas bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, Wawancara Khas bersama Datuk Seri Najib Razak dan penyampai radio Buletin FM.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok