heliza5
heliza5

Heliza dan Hazwani aktif sertai misi kemanusiaan, berdepan pelbagai cabaran sebagai aktivis dan sukarelawan

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Jan 2022 12:02pm
A
A
A

Nama Datin Seri Heliza dan Hazwani Helmi sudah tidak asing lagi dalam misi kemanusiaan dan aktiviti kesukarelawanan di Malaysia mahupun luar negara sehingga pernah dilantik sebagai ikon untuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Adik beradik ini juga menjadi antara selebriti yang sering memperjuangkan isu ummah di Gaza dan Syria malah mereka pernah beberapa kali menyertai misi kemanusiaan ke negara berkenaan bagi menyampaikan sumbangan dan membantu rakyat di sana.

Bagi Heliza, pembabitan sebagai sukarelawan bermula ketika dirinya masih menuntut di universiti dan mula bergiat secara serius selepas menyertai misi kemanusiaan ke Kemboja pada tahun 2010.

Katanya, pembabitan dirinya sebagai aktivis kemanusiaan dan sukarelawan berlaku kerana izin ALLAH dan beliau bersyukur kerana dijentik hati dan dibukakan ruang untuk dirinya membantu mereka yang memerlukan.

“Selain itu, saya tergerak untuk menyertai kerja-kerja sukarelawan ini apabila mendengar hadis Nabi Muhammad SAW iaitu sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.

“Dari situ terdetik di dalam hati apakah manfaat yang saya berikan kepada orang lain, maka teka teki ini ALLAH jawab dengan beri ruang dan peluang untuk bergiat aktif dalam bidang kesukarelawanan dan misi kemanusiaan.

“Tidak dinafikan masing-masing ada cara tersendiri dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan sukarelawan itu adalah rezeki ALLAH bagi pada saya dan Hazwani,” katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Sejak bergiat aktif sebagai aktivis kemanusiaan, Heliza dan Hazwani pernah menyertai pelbagai misi di dalam dan luar negara termasuklah ke Gaza, Syria, Yaman, Sepanyol, Bangladesh dan Indonesia.

Antara pertubuhan dan NGO yang disertai mereka pula ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Aman Palestin, Muslim Care, Muslim Volunteer Malaysia, Ukhwah For Ummah (U4U) dan My Aqsa Defenders.

Sokongan ibu bapa

Sementara itu, Hazwani pula berkata Heliza adalah orang yang pertama membawa dirinya menyertai kerja sukarelawan menerusi misi bantuan banjir ke Kelantan pada 2014, sebaik saja dirinya selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Meskipun begitu, semua ini berlaku kerana ALLAH yang pilih. Melakukan misi kemanusiaan ini adalah makanan kepada hati dan rohani kita kerana ia mendidik jiwa serta melatih diri untuk sentiasa memperbanyakkan rasa syukur.

“Ini kerana saya belajar daripada insan yang diuji, mereka adalah guru yang sangat hebat, majoriti orang diuji dahsyat tidak pernah lekang dari mulut mereka mengucapkan 'Alhamdulillah Ala Kulli Haal' (Segala puji bagi ALLAH atas segala perkara),” kongsinya.

Heliza dan Hazwani yang turut terkenal dengan nama The Helmis sangat berterima kasih kepada kedua ibu bapa kerana sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam setiap misi kemanusiaan dan aktiviti kesukarelawanan yang disertai selama ini.

Hazwani turut menjadikan arwah Ahmad Ammar dan Razan al-Najjar sebagai sumber inspirasi untuk terus berbuat kebaikan dan sentiasa istiqamah serta ikhlas dalam melakukan misi kemanusiaan.

Cabaran sebagai aktivis

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang bergiat aktif sebagai aktivis kemanusiaan, Heliza berkata, pengalaman menyertai misi ke negara bergolak pada 2015 menjadi momen yang tidak akan dapat dilupakan sehingga ke hari ini.

“Apabila menyertai misi ke negara yang dalam peperangan atau bergolak, sudah tentunya kita akan berdepan dengan isu keselamatan dan kejadian dikejar dengan bom sehingga terpaksa masuk ke dalam liang lahad memang sangat memberi kesan sekali gus membuatkan saya terfikir bahawa nyawa kita ini sangat rapuh, bila-bila masa ALLAH boleh ambil.

“Melakukan kerja sukarelawan ini juga bukan mudah kerana kita perlu menjaga hati dan niat kita supaya tidak alpa dan merasakan semua ini berlaku kerana kudrat dan kelebihan diri sendiri sedangkan ia kerana izin ALLAH,” jelas Heliza yang baru saja mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu.

Lain pula halnya dengan Hazwani yang bergiat aktif sebagai aktivis kemanusiaan dan dalam masa yang sama bergelar pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sekali gus menuntut dirinya untuk sentiasa bijak membahagikan masa supaya kedua-duanya berjalan seiring.

Bagi generasi muda di luar sana yang berminat menceburi bidang kesukarelawanan dan menjadi aktivis kemanusiaan, Heliza dan Hazwani menitipkan pesanan supaya mereka menitikberatkan keperluan orang sekeliling terlebih dulu sebelum membuat keputusan berbakti kepada ummah.

Biodata Heliza

Nama penuh: Nur Heliza Helmi

Tarikh Lahir: 3 Februari 1986

Tempat Lahir: Kuala Terengganu, Terengganu

Nama Ibu: Latifah Muhammad

Nama Ayah: Helmi Mohd Hasbi

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains, Biologi dan Kimia), Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Biodata Hazwani

Nama penuh: Nur Hazwani Afiqah Helmi

Tarikh lahir: 29 Januari 1997

Tempat lahir: Kuala Terengganu, Terengganu

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu (Psikologi) UIAM

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok