HomeGen ZIkonProfesor Gred Khas ‘A’ bidang komposit, saintis terbaik dunia, Malaysia terima anugerah...

Profesor Gred Khas ‘A’ bidang komposit, saintis terbaik dunia, Malaysia terima anugerah khas

Profesor Gred Khas ‘A’ dalam bidang bahan komposit, Ir Dr Mohd Sapuan Salit meluahkan rasa terharu apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor kategori Anugerah Khas Akademia Putra daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan berkata, anugerah sebegitu bukanlah pertama kali diterima daripada UPM yang sentiasa menghargai usaha beliau selaku warga akademik.

“Saya sudah berkali-kali menerima pelbagai anugerah hingga ke peringkat antarabangsa, selain merupakan antara dua peratus saintis terbaik dunia, Standford University, Amerika Syarikat.

“Saya juga pernah menjadi penilai untuk Saintis Muda Negara dan sentiasa positif serta sering mencari idea yang baharu kerana saya tidak suka pada stereotaip.

“Apabila membuat sesuatu perkara saya akan melakukannya juga sehingga berjaya sebab saya selalu berpegang sekiranya orang lain boleh buat di peringkat antarabangsa kenapa kita tidak boleh buat,” ujar beliau kepada pemberita UPM.

Mengulas lanjut, pihak luar negara sering memanggil beliau bagi membuat penilaian terhadap kertas cadangan geran antarabangsa seperti di Belgium, Arab Saudi dan Switzerland.

Hal ini kerana Mohd Sapuan tidak pernah putus menyumbangkan idea dalam bidang bahan biokomposit, bahan komposit polimer dan kejuruteraan serempak.

“Saya sejenis yang tidak akan mudah berpuas hati dengan anugerah khas yang diterima hari ini, malah tetap akan berusaha lagi untuk sentiasa menabur ilmu kepada insan sejagat.

“Saya akan meneruskan penerbitan buku yang mana bidang ini tidak banyak diceburi oleh ahli akademik dan melaluinya, bakal memberikan ‘visibility’ seseorang kepada masyarakat.

“Buku merupakan satu kaedah supaya mudah dikenali kerana apabila kita taip di Google, nama dan wajah kita akan keluar, di samping cara ini secara tidak langsung menonjolkan keistimewaan jurnal saya,” katanya yang telah menulis lebih dari 880 makalah jurnal, 180 bab dalam buku dan menjadi editor lebih dari 50 buah buku, selain menjadi editor jemputan bagi 33 isu khas jurnal antarabangsa.

Artikel berkaitan

Profesor Dr Sharifudin dilantik Naib Canselor USIM yang baharu 

Ahli akademik Malaysia terima anugerah kehormat daripada Presiden Uzbekistan 

Graduan UiTM terima Anugerah Khas, keluarga dan pensyarah pembakar semangat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok