Jaga ibu OKU, rezeki Alia capai keputusan antara terbaik STPM di Perlis

webadmin
31 Dec 2020 01:22am
A
A
A

KANGAR - Hasil kesabaran menjaga seorang ibu yang lumpuh kedua-dua kaki  sambil mengulang kaji pelajaran, Alia Batrisyia Rosman, 20, muncul antara 12 pelajar terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Perlis yang diumumkan hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Syed Alwi, Kangar itu memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

"Saya tidak menduga akan memperoleh keputusan cemerlang ini kerana banyak habiskan masa bantu ayah menjaga ibu yang terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” kata Alia Batrisyia kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya beliau juga sering kali menghantar ibunya merupakan guru di sebuah sekolah menengah di sini bagi mendapatkan rawatan di hospital serta menjaganya apabila dimasukkan ke wad kerana ayahnya yang juga seorang guru terpaksa menguruskan dua lagi adiknya yang masih bersekolah.

"Ibu saya pada asalnya normal tetapi lumpuh akibat kencing manis,” kata Alia Batrisyia yang menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi untuk mengejar impiannya menjadi pendidik.

Alia Batrisyia berkata dia juga menggunakan masa terluang semasa menjaga ibunya di hospital untuk mengulang kaji pelajaran.

Sebelum itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Izmi Ismail mengumumkan tujuh daripada sembilan sekolah di Perlis mencapai keputusan lulus penuh 100 peratus dan tiada sekolah yang gagal.

Katanya Perlis mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.89 berbanding 2.82 pada tahun sebelumnya selain mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan 2.80. - BERNAMA

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok