Untitled (5)
Untitled (5)

Kemahiran pemain berbeza ikut posisi, perlu kekalkan stamina dan kecergasan ketika di padang

Nor Azma  Muhamat Laila
25 Oct 2021 05:01pm
A
A
A

Sukan bola sepak adalah salah satu permainan yang tertua di dunia dan mula diperkenalkan di Malaysia oleh tentera Inggeris pada tahun 1825.

Permainan ini terus berkembang dengan tertubuhnya Persatuan Bola Sepak Malaya pada 1926 yang kini dikenali dengan nama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta menyaksikan negara mula menganjurkan pelbagai siri pertandingan seperti Piala FA, Piala Sumbangsih dan Liga Perdana.

Bermain bola sepak memerlukan kerjasama pasukan dan kemahiran tertentu supaya pemain mampu menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan kumpulan masing-masing.

Pemain tengah pasukan Kuala Lumpur FC, Muhammad Izreen Izwandy berkata, perkara paling utama yang perlu ada dalam setiap atlet sukan bola sepak, tidak kira yang masih baru atau sudah berpengalaman ialah kesungguhan dalam sesi latihan dan tidak jemu menimba ilmu.

Menurut beliau, pemain muda sepertinya memerlukan kemahiran dan usaha yang lebih untuk menarik perhatian jurulatih bagi memberikan peluang kepadanya membarisi 11 pemain utama dalam pasukan.

"Sebagai pemain yang masih baru dalam sukan ini, saya perlu meletakkan usaha lebih tidak kira dalam sesi latihan bersama jurulatih atau secara bersendirian untuk mengekalkan kecergasan, stamina dan kemahiran asas lain seperti mengelecek bola atau membuat hantaran.

"Oleh itu, sekiranya ada masa terluang, saya akan membuat latihan tambahan sama ada larian di trek, joging atau pergi ke gimnasium supaya kemahiran yang ada setanding dengan atlet senior," katanya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Pemain muda ini membuat penampilan sulung dalam Liga Super pada tahun ini ketika Kuala Lumpur FC menentang UiTM FC dan prestasi yang ditunjukkan mendapat pujian daripada jurulatihnya, Bojan Hodak.

Kemahiran asas

Berkongsi mengenai kemahiran asas secara keseluruhan yang perlu dikuasai oleh seorang atlet bola sepak pula, anak muda yang dilahirkan di Pulau Pinang itu berkata, ia termasuklah menendang, menyerkap, menanduk, melakukan hantaran dan mengelecek bola.

Ujar Muhammad Izreen yang kini beraksi untuk posisi sayap kiri, selain teknik yang betul, seseorang pemain dapat menendang dengan baik sekiranya mempunyai kekuatan otot dan kuasa yang sesuai di bahagian kaki.

"Berdasarkan pengalaman saya sebagai pemain tengah pula, kemahiran tambahan lain turut penting iaitu perlu mempunyai penglihatan yang baik dan memiliki ketenangan bermain di ruang yang sempit.

"Selain itu, pemain tengah juga perlu mempunyai kebolehan 'dribble' iaitu mengiring bola dan mampu menjaringkan gol," katanya yang pernah membantu menjaringkan dua gol untuk pasukan Kuala Lumpur FC.

Tambahnya lagi, setiap pemain memang memerlukan kemahiran berbeza berdasarkan kepada posisi mereka ketika di atas padang dan sudah tentunya mempunyai kelebihan sekiranya memiliki sentuhan tersendiri.

Sentuhan unik

"Sentuhan tersendiri atau keunikan yang ada dalam diri pemain ini saya anggap sebagai satu kebolehan yang dianugerah oleh ALLAH kepada pemain seperti rembatan kaki kiri yang padu oleh Safawi Rasid dan kemahiran mengelecek serta 'body feints' yang dapat dilihat pada Akhyar Rashid," tuturnya lagi.

Menceritakan serba sedikit mengenai pembabitan awal dalam sukan bola sepak, Muhammad Izreen berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam sukan berkenaan apabila datuknya sering membawa ke kelab-kelab bola sepak sekitar Pulau Pinang seawal usia enam tahun.

Datuknya yang digelar ‘Tok Wan’ itu sentiasa membawa Muhammad Izreen ke stadium setiap kali adanya perlawanan bola sepak malah kejayaannya menyarung jersi kebangsaan untuk pasukan bawah 19 tahun pada 2018 menjadi kebanggaan keluarga khususnya Tok Wan.

"Melaka United adalah kelab bola sepak pertama yang saya sertai secara rasmi sebagai pemain profesional melalui sesi pemilihan pada tahun 2018 dan seterusnya berpindah ke Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 2019 serta Kuala Lumpur FC pada tahun lalu.

"Sepanjang aktif dalam sukan ini, sudah tentunya saya berharap akan mendapat lebih banyak peluang beraksi bersama pasukan seterusnya membantu menjaringkan lebih banyak gol untuk Kuala Lumpur FC di masa depan.

"Bagi generasi muda di luar sana yang berminat menceburi sukan bola sepak pula, saya berharap mereka memiliki kesungguhan dan disiplin tinggi kerana persaingan dalam sukan ini sangat sengit, mereka yang terbaik saja mampu membarisi 11 pemain utama dalam setiap pasukan," ujarnya.

Profil

Nama penuh: Muhammad Izreen Izwandy

Umur: 21 tahun

Tempat lahir: Pulau Pinang

Posisi: Pemain tengah (sayap kiri)

Tinggi: 166sm

Berat: 56.5kg

Pasukan kegemaran: Barcelona

Pemain kegemaran: Akhyar Rashid dan Lionel Messi

Pencapaian:

2015 - Menyertai KelayakanPiala AFC Bawah 16 Tahun (B-16)

2017 - Tempat Kedua Piala Belia B-19 Melaka

2020 - Pasukan Kuala Lumpur FC Naib Juara Liga Perdana

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok