HomeGen ZKemahiran teknikal dan insaniah sama penting, doktor gigi perlu sentiasa belajar

Kemahiran teknikal dan insaniah sama penting, doktor gigi perlu sentiasa belajar

Kesedaran masyarakat di negara ini mengenai kesihatan gigi dan mulut mungkin masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju.

Bagi sesetengah individu, keputusan tidak mahu membuat pemeriksaan gigi mungkin berpunca daripada beberapa faktor termasuklah mempunyai masalah ‘dentophobia’ iaitu ketakutan kepada doktor gigi.

Dalam hal ini, kemahiran yang dimiliki oleh doktor gigi sangat memainkan peranan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam keadaan tenang dan selesa.

Minggu ini, Sinar Bestari berkesempatan mendapatkan pandangan daripada doktor gigi, Siti Syazwani Fickry Fickry, 32, mengenai kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang doktor gigi.

Kemahiran insaniah

Menurut beliau, kemahiran insaniah adalah perkara penting yang perlu dikuasai oleh seorang doktor gigi kerana proses komunikasi yang berkesan akan membuatkan pesakit berasa selesa ketika mendapatkan rawatan.

“Sebagai seorang doktor, kita kena tahu macam mana cara yang sesuai bercakap dengan pesakit kerana mereka mahu melihat sama ada doktor itu ambil berat atau tidak dengan masalah yang dihadapi.

“Selain itu, kemahiran insaniah yang baik juga dapat membantu doktor untuk meyakinkan pesakit mengenai jenis rawatan yang perlu dibuat atau pemilihan bahan dan teknik yang sesuai dalam menyelesaikan masalah kesihatan mulut,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Dr Siti Syazwani yang juga pemilik kepada rangkaian Klinik Pergigian Avisienna itu lagi, minat dan keberanian juga penting supaya seorang doktor mampu mengendalikan kes dengan baik.

“Keberanian itu penting supaya doktor mampu menguasai kemahiran teknikal yang diperlukan ketika merawat pesakit kerana bidang ini bukan membabitkan kerja-kerja cuci, cabut dan tampal gigi saja sebalik lebih daripada itu termasuklah membuat pembedahan.

“Di rangkaian Klinik Pergigian Avisienna, kami mempunyai kumpulan sokongan yang bertujuan membuat perkongsian dan memberi sokongan kepada doktor-doktor baharu supaya mereka lebih yakin untuk mengendalikan pesakit,” ujarnya.

Sentiasa belajar

Perkembangan teknologi yang ada pada hari ini juga menuntut doktor gigi untuk sentiasa belajar agar dapat melengkapkan diri dengan teknik-teknik dan material baharu yang digunakan dalam setiap rawatan.

Ujar anak keenam daripada lapan adik beradik itu, terdapat pelbagai kursus yang ditawarkan kepada doktor gigi untuk mereka mendapatkan ilmu mengenai teknik terkini yang diguna pakai dalam rawatan pergigian pada hari ini.

Dr Siti Syazwani.

“Kaedah imbasan gigi secara tiga dimensi (3D), fotografi pergigian dan teknik mencuci gigi menggunakan ‘air polishing’ antara teknologi baharu yang sudah banyak digunakan di klinik gigi di dalam dan luar negara ketika ini.

“Oleh itu, saya selalu tekankan kepada doktor yang baharu supaya menghadiri kursus untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan insaniah dari semasa ke semasa, tidak kisahlah secara fizikal atau dalam talian,” jelasnya.

Bagi pelajar yang ingin menceburi kerjaya ini di masa depan, Dr Siti Syazwani sempat menitipkan pesanan supaya mereka membuat pilihan berdasarkan minat kerana bidang berkenaan sama pentingnya dengan peranan yang dimainkan oleh doktor kesihatan awam.

“Bidang ini juga memiliki cabaran tersendiri, jadi sentiasa lengkapkan diri dengan ilmu, jangan malas untuk belajar kerana semua pengalaman itu akan digunakan ketika kita merawat pesakit nanti,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Bidang pergigian
Pergigian awam – Berkaitan dengan rawatan biasa seperti tampalan, cabutan dan pencucian gigi
Prosthodontic – Terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama ialah ‘removable’ seperti pembuatan gigi palsu penuh dan juga separuh. Yang kedua pula ialah tetap seperti crown, bridge dan implan.
Periodontic – Berkaitan dengan gusi dan tulang gigi.
Pedodontic – Rawatan gigi untuk kanak-kanak.
Orthodontic – Rawatan yang membabitkan kecantikan gigi termasuklah pemakaian pendakap gigi.
Pembedahan oral – Berkaitan dengan pembedahan mulut.
Pergigian forensik – Kajian mengenai bahagian muka dan gigi untuk tujuan forensik.

Artikel berkaitan

Perjalanan penuh liku Dr Muhammad Hafiz, kini mampu buka klinik gigi sendiri

7 watak penting di klinik pergigian kerajaan. Guru dan pelajar wajib kenali mereka!

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok