9 teknik taktikal
9 teknik taktikal

Atlet boling muda negara kongsi 9 teknik taktikal boling

Rasyidah Zulkifi
20 Sep 2022 12:21pm
A
A
A

Berbakat dalam sukan boling sejak berumur 4 tahun telah melayakkan Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh, 18, menjadi salah seorang atlet Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Program Pelapis Kebangsaan ketika berada di Tingkatan Empat.

Pada mulanya, anak bongsu daripada dua beradik itu bermain boling sekadar untuk mengisi masa lapang bersama keluarga.

Apabila menginjak ke Tahun Dua, kebolehannya dalam permainan dalaman itu semakin terserlah selepas dia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL).

“Saya mengambil masa lebih kurang 10 tahun untuk menjadi pemain profesional kerana di awal pembabitan saya tidak serius berlatih.

“Ketika berada di Tingkatan Dua dan Tiga, baru saya betul-betul menumpukan sepenuh perhatian dan menjalani latihan dengan lebih serius.

“Saya mendapatkan khidmat kejurulatihan daripada jurulatih kelab Sunway Mega Lanes,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Hari ini Shaqeem Izwan berada di bawah Program Pelapis Kebangsaan anjuran MSN untuk mengasah bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Pulangan berbaloi

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya di dalam sukan boling, Shaqeem Izwan yang lebih mesra disapa Shaqeem memberitahu, pengorbanannya selama berbelas tahun telah membuahkan hasil.

“Berjaya mengharumkan nama negara membuatkan pengorbanan saya selama ini amat berbaloi.

“Terbaharu hujung bulan lalu saya telah menyertai Kejohanan Remaja Asia Ke-21 2022 di Bangkok, Thailand,” tuturnya lanjut.

Diminta mengulas mengenai teknik bermain boling kepada pemula, beritahunya pelajar-pelajar perlu memupuk minat terlebih dahulu untuk ‘pergi jauh’ dalam sukan itu.

“Biasakan diri melihat strategi pemain-pemain ternama untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang sukan boling dan dari situ minat akan mulai bercambah,” jelasnya.

Untuk itu, Shaqeem berkongsi sembilan teknik taktikal dalam sukan boling kepada pemula.

**

Shaqeem Izwan Teh

POSTUR BADAN

Keadaan badan ketika bermain boling hendaklah tidak terlalu menegak, tidak terlalu membongkok ke depan, membengkok kiri atau kanan.

PANDANGAN

Pandangan pula hendaklah ke arah anak panah bola boling itu ingin dibalingkan. Elakkan memandang ke arah pin sebab boling ini ada minyak yang disapu di setiap lorong. Minyak yang digunakan juga lain-lain, jadi perlu pandang ke arah anak panah itu supaya ia tidak tersasar.

PILIH BERAT BOLA BOLING

Misalnya 15 pound atau apa-apa berat mengikut kemampuan tangan. Pastikan berat bola itu ideal dengan diri pemain bagi memastikan cengkaman tangan betul-betul selesa.

BEDAK

Ini bagi meningkatkan prestasi seseorang yang mempunyai masalah tangan berpeluh. Bedak juga boleh digunakan, jika pemain gementar ketika kejohanan berlangsung.

KAWALAN FOKUS

Pemain perlu melatih kekuatan mental antaranya menarik nafas sedalamnya untuk meneruskan pertandingan walaupun ada penyokong pihak lawan yang bersorak. Sorakan ini bertujuan memberi tekanan kepada pemain sehingga boleh mempengaruhi pencapaian.

GERAKAN LEMBUT

Semasa bermain boling perlu melakukan gerakan lembut dan teknik ini tidak ramai pemain boleh melakukannya. Jadi, perlu perbanyakan latihan ini untuk memastikan balingan yang dibuat cemerlang dan dapat menumbangkan pin seperti yang disasarkan.

TAHAP KELAJUAN

Untuk kelajuan lakukan dalam tempoh enam saat, kemudian bagi kelajuan bola pula 27 kilometer dalam masa dua saat. Elakkan daripada sikap tidak sabar dan tergopoh gapah. Untuk menjadi pemain terbaik perlu berada di tahap pertengahan, tidak terlalu lambat ataupun terlalu laju ketika melakukan aksi dalam kejohanan.

STAIL

Gaya balingan boling ‘cranking’ banyak bergantung kepada penggunaan tangan di bahagian pergelangan. Pemain akan menjarakkan bahu untuk mendapatkan kelajuan bola yang diinginkan dan melakukan ‘backswing’ yang tinggi.

LEPASKAN BOLA

Sebelum melepaskan bola, tangan mesti berada di belakang, tiga jari dimasukkan ke dalam lubang bola boling itu.

Artikel berkaitan 

Atlet MMU banggakan Malaysia dengan 5 emas di Thailand 

Atlet sukan berkuda perlu ada minat, kemahiran penunggang perlu selari dengan prestasi kuda 

Atlet silat dan taekwondo UMK menang Anugerah Atlet Terbaik Universiti MASUM 2019


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok