SUKSIS-IPT-SINARBESTARI-2023 (1)
SUKSIS-IPT-SINARBESTARI-2023 (1)

Kor Suksis curah bakti kepada negara

nadzarul.amir
17 Jan 2023 09:02pm
A
A
A

Bergelar Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) bermakna mahasiswa tersebut menggalas satu tanggungjawab yang besar.

Para pelatih Kor Suksis bukan sahaja perlu menjalani latihan kepolisan selama tiga tahun tetapi akan terlibat secara langsung dalam program-program kemanusiaan dan kesukarelawanan.

Bahkan, mereka yang berjaya ditauliahkan kelak memiliki disiplin tinggi dan berpeluang untuk meneruskan kerjaya dalam pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dilengkapi pelbagai latihan kepolisan dan undang-undang.

Presiden, Kor Suksis Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Afnan Arzahari berkata, mereka yang meminati bidang itu di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) terlebih dahulu perlu menjalani sesi temu duga lisan dan fizikal.

Muhammad Afnan

“Selain itu terdapat syarat kelayakan yang perlu diikuti seperti berumur 18 hingga 26 tahun, memiliki penglihatan dan pendengaran yang baik.

“Bagi calon lelaki, mereka perlu memiliki ketinggian minimum 163 sentimeter (sm) dengan berat 50 kilogram (kg) manakala ketinggian wanita pula adalah 157 sm dan 48 kg,” kata lelaki berusia 23 tahun itu.

Penerima Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar Kor Suksis Zon Utara itu memberitahu, ketahanan diri dari segi mental dan fizikal merupakan antara aspek penting dalam Kor Suksis.

Jelas pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) tersebut, para pelatih Kor Suksis juga perlu bersedia dalam menabur bakti kepada masyarakat.

“Sebagai contoh, Kor Suksis UniMAP merupakan barisan hadapan yang akan menghulurkan bantuan apabila berlaku banjir dan sebagainya.

“Kami akan menjadi sukarelawan untuk memberi khidmat tenaga dalam pasca banjir dengan mengunjungi kawasan-kawasan terjejas,” ujarnya.

Kor Suksis UniMAP

Muhammad Afnan memberitahu, para pelatih Suksis akan membantu membersihkan kawasan-kawasan pasca banjir untuk meringankan beban masyarakat.

Dia memberitahu, kejadian banjir yang berlaku di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini turut mendapat bantuan sukarelawan Kor Suksis UniMAP bersama-sama membantu mangsa-mangsa terlibat.

“Kor Suksis UniMAP sentiasa bersedia apabila diperlukan untuk khidmat sukarelawan dan kemanusiaan,” sambungnya lagi.

Untuk itu, Muhammad Afnan berkongsi beberapa kemahiran yang perlu dimiliki Kor Suksis kepada pembaca Sinar Bestari.

Disiplin

Pelatih Kor Suksis perlu memiliki tahap disiplin yang tinggi kerana latihan yang dilaksanakan adalah daripada pegawai dan anggota PDRM.

Latihan dijalani pelatih-pelatih Kor Suksis merupakan silibus disediakan dan diluluskan oleh Bahagian Latihan Bukit Aman.

Justeru, ia adalah silibus yang wajib dipenuhi selama tiga tahun termasuk dari segi disiplin dan penjagaan kemasan diri.

Sebagai pelatih Suksis, imej mereka perlu dijaga sepanjang masa kerana menjadi teladan kepada badan beruniform lain.

Semangat berpasukan

Semangat berpasukan dan kerjasama amat penting apabila bergelar pelatih Kor Suksis. Ia untuk memastikan rakan-rakan dapat menjalani latihan dan ditauliahkan tanpa sebarang halangan.

Bermula daripada latihan kawad, pelatih harus menanam sikap bekerjasama untuk memastikan kebersamaan dari segi pertunjukan kawad dan menjalani pentauliahan.

Mental dan Fizikal

Sebelum menjadi pelatih Kor Suksis, calon perlu menjalani ujian fizikal dan sesi temu duga. Dari sini pelatih perlu bersiap sedia dari segi kecergasan diri dan mempunyai saiz fizikal serta Indeks Jisim Badan (BMI) sesuai.

Dalam sesi temu duga, pelatih akan diukur dari segi pengetahuan am dalam Struktur PDRM oleh Pegawai PDRM dan perlu menyerlahkan kelebihan diri serta kesanggupan untuk menyertai Suksis.

Selain itu, para pelatih perlu mempunyai jati diri tinggi dari segi mental dan fizikal kerana akan mengorbankan cuti dengan menjalani latihan.

Masa

Pelatih Kor Suksis akan menjalani latihan sebaik sahaja semester bermula selama 8 jam pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Para pelatih akan menyertai beberapa kursus sepanjang tiga tahun pengajian termasuk kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA), kursus etika dan integriti.

Undang-undang

Para pelatih Kor Suksis harus memiliki pengetahuan mengenai undang-undang yang terdapat di negara ini. Ini kerana pelatih akan menjalani pelbagai latihan melibatkan kepolisan dan undang-undang.

Artikel berkaitan

Disiplin tinggi, jiwa kental amalan Kadet Polis

Aktiviti kokurikulum bangkitkan semangat patriotik

Alumni PALAPES UniMAP bantu pegawai kadet tingkatkan kecemerlangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok