b671ac26-916d-4529-b14a-aa672599d299
b671ac26-916d-4529-b14a-aa672599d299

Matrikulasi buka peluang belajar ke luar negara

A
A
A

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini, mungkin meletakkan ramai pelajar dalam situasi keliru atau dilema untuk memilih bidang pengajian yang ditawarkan.

Senario ini sering berlaku apabila pemikiran mereka mula dikuasai perasaan risau untuk menentukan hala tuju masing-masing, memandangkan ramai yang berpendapat pendidikan selepas SPM sangat penting bagi menentukan masa depan yang cemerlang.

Biarpun pelbagai program ditawarkan di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Program Matrikulasi, Politeknik, dan sebagainya namun masih ramai yang keliru untuk membuat pilihan.

Susulan kekeliruan ini, GPSBestari ingin berkongsi kelebihan satu program yang membuka peluang cerah kepada masa depan para pelajar.

Mesti ramai yang tidak tahu program Matrikulasi juga, memberi banyak kelebihan kepada para pelajar dalam mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih baik.

Paling menarik, program Matrikulasi juga turut membuka peluang kepada setiap pelajar untuk menyambung pengajian ke luar negara.

Sehubungan itu, Anis Solehah, 22, bekas pelajar program Matrikulasi yang kini menuntut di sebuah universiti terkemuka, University of Melbourne, Australia, mengatakan, program Matrikulasi adalah satu program yang sangat menarik kerana dengan mengikuti program ini, para pelajar akan menjadi seorang yang lebih berdisiplin.

Menurut Anis Solehah lagi, keadaan dan jadual pembelajaran yang disediakan oleh kolej Matrikulasi sangat berbeza dengan suasana di universiti di mana kehidupan pelajar akan lebih teratur serta tersusun dan para pelajar didedahkan untuk mendisiplinkan diri sendiri.

“Program Matrikulasi sangat sesuai sebagai permulaan untuk pelajar-pelajar kerana keadaannya membuatkan kita berasa seperti berada di sekolah dan perkara ini akan membentuk kita menjadi seorang yang lebih teratur untuk memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap pembelajaran,” ujarnya.

Berikutan itu, tempoh pengajian jangka masa pendek yang ditawarkan oleh Matrikulasi memberi kelebihan kepada para pelajar untuk melangkah ke pendidikan seterusnya dalam usia yang masih muda.

Sambung Anis Solehah, pendidikan yang ditawarkan oleh Matrikulasi juga turut memberi satu kejutan kepada pelajar di Australia apabila hampir semua ilmu yang dipelajarinya di sana, telah dipelajari semasa dia menuntut di kolej Matrikulasi.

“Ada di antara mereka yang terkejut dan mengatakan pendidikan yang ditawarkan di Malaysia sangat bagus dan kata-kata mereka membuatkan saya berbangga kerana selama ini kita sebagai rakyat Malaysia sendiri berasa kurang yakin dengan program yang ditawarkan di Malaysia,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai peluang untuk pelajar lepasan Matrikulasi menyambung pelajaran ke luar negara, Anis Solehah berkata, ramai masyarakat yang mempunyai persepsi bahawa Matrikulasi tidak mempunyai keistimewaan tersendiri, namun ramai yang tidak tahu bahawa usaha gigih pelajar semasa belajar di kolej Matrikulasi akan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja peluang untuk belajar di dalam negara bahkan juga ke luar negara.

Berikutan itu, para pelajar perlu mengubah persepsi untuk lebih bersikap terbuka terhadap program Matrikulasi ini agar lebih ramai anak muda dapat merasai manfaat demi kebaikan masa depan.

Bagaimanapun, setiap program pendidikan yang ditawarkan di Malaysia mempunyai kelebihan dan kemampuan tersendiri. Oleh itu, para pelajar perlu bijak membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan minat agar proses pembelajaran semasa berada di mana-mana institusi berjalan dengan lancar.

Semoga perkongsian ini, mampu memberi pencerahan kepada para pelajar dalam membuat keputusan dan pilihan yang terbaik demi masa depan yang cerah.

Sumber: Youtube Nid Ikhmal, pelajar dari University of Melbourne.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok