e6998c01-1785-423b-9bf9-1cca2b795aa8
e6998c01-1785-423b-9bf9-1cca2b795aa8

Mekanik muda, Syasya Mazdiana galak wanita ceburi bidang automatif

Roshlawaty Md Raieh
08 Nov 2021 04:58pm
A
A
A

Bukan sesuatu yang mudah bergelar seorang mekanik apatah lagi jika dia seorang wanita.

Namun tidak bagi Syasya Mazdiana Nor Azman, 22, yang merupakan antara mekanik wanita tempatan.

Dia yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, itu berjaya buktikan yang dirinya mampu mengejar kerjaya impian termasuklah dalam bidang  yang sering dimonopoli golongan lelaki.

Ketika dihubungi GPSBestari, Syasya Mazdiana berkata, mekanik wanita perlu ada kemahiran tertentu untuk berjaya dalam kerjaya tersebut.

“Yang pertama, perlu mengenali komponen dan fungsi asas sesebuah kenderaan. Misalnya pengetahuan asas berkaitan komponen enjin kenderaan seperti palam pencucuh, injap (valve), piston, piston ring, rod penghubung, pengaut dan sebagainya.

“Kedua, anda perlu mengetahui tip penyelenggaraan kenderaan berjadual. Ia amat penting untuk dilakukan bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, selamat dan mempunyai tahap operasi optimum,” kata bekas pelajar jurusan Diploma Teknologi Automatif dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka ini.

Syasya Mazdiana berkata, mekanik wanita perlu mahir mengenai jenis kerosakan kenderaan dan meminimumkan masalah sama daripada berulang.

“Kerosakan kenderaan ini pelbagai. Bukan sekadar menukar minyak hitam, alat ganti atau membaiki tayar dan pendingin hawa tetapi banyak lagi masalah lain.

Baca juga Huffaz UPM mengaji al-Quran secara maya bersama remaja New Zealand

Baca juga Cikgu Hailmi senaraikan 11 jenis makanan yang mengurangkan kepandaian otak, ini yang dikongsi beliau

“Kerana itu, mekanik wanita kena belajar dan tahu bagaimana berdepan kerosakan tersebut. Jangan cepat panik sebaliknya mencari alternatif menangani masalah berkenaan,” katanya yang juga atlet Johor dalam sukan jarak jauh.

Menjadi mekanik wanita berjaya

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, wanita yang berminat menjadi mekanik, tidak perlu berasa malu, takut atau segan untuk berada dalam industri automatif.

“Kerjaya ini memang nampak ‘comot’ dan ‘kotor’ kerana skop kerjanya sentiasa di bengkel. Namun, anda akan berjaya dengan cemerlang jika ada minat, ilmu dan ketahanan diri untuk berjaya,” jelasnya.

Ujarnya lagi, mekanik wanita perlu berjiwa kental kerana mereka terpaksa bersaing dengan kaum lelaki dalam apa jua perkara.

“Membaiki kenderaan bersama mekanik lelaki, itu perkara biasa. Jika ada kesilapan dan ditegur, itu juga perkara biasa.

“Dipandang remeh oleh orang sekeliling kerana kerjaya sebagai mekanik wanita juga, anda perlu anggap itu adalah asam garam dalam kehidupan,” jelas gadis ini.

Impi buka bengkel dan pusat latihan

Sebelum menyambung pengajian di ADTEC, Melaka, Syasya Mazdiana terlebih dahulu menimba ilmu dalam bidang automatif ketika belajar di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) selama dua tahun.

Di KYPJ, Syasya Mazdiana berjaya mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3.

Dia yang kini bekerja di Wangloo Motor JB Sdn Bhd (Honda) berkata, banyak ilmu yang dia perolehi di KYPJ dan ADTEC, Melaka, serta telah diaplikasikan dalam kerjayanya sekarang.

Syasya Mazdiana menimba banyak kemahiran dalam bidang automatif sepanjang mengikuti pengajian di ADTEC Melaka.

“Saya masih ingat lagi, lima subjek di ADTEC, Melaka, iaitu Rules And Regulations, Human Resources Management, Workshop Management, Marketing Strategy dan Inventory telah menjadikan saya sebagai mekanik wanita yang berjaya seperti hari ini.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Malah, ilmu di KYPJ dan latihan industri yang dijalani juga, banyak membantu,” katanya.

Akhiri sekali Syasya Mazdiana memasang impian mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan membuka sebuah pusat latihan penyelenggaran kenderaan khas untuk wanita.

Menukar minyak pelincir juga antara kerja yang perlu dilakukan Syasya Mazdiana.

“Saya tahu ramai wanita yang mempunyai bakat dan kebolehan dalam bidang automatif. Cuma mereka tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mengembangkan bakat tersebut.

“Justeru, dengan adanya pusat ini, besar harapan agar negara dapat melahirkan lebih ramai mekanik wanita kelak,” katanya.

BIODATA

Nama: Syasya Mazdiana Nor Azman

Umur: 22 tahun

Asal: Kota Tinggi, Johor

Sekolah: SK Mawai, Kota Tinggi, Johor; SMK Seri Aman, Kota Tinggi, Johor, KYPJ dan ADTEC, Melaka

Nama ayah dan ibu: Nor Azman Rejab dan Rubiah Saimin

Idola: Siti Jariah Arbain (tenaga pengajar KYPJ)

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok