WhatsApp Image 2021-06-16 at 11.47.59 AM
WhatsApp Image 2021-06-16 at 11.47.59 AM

‘Nak jadi doktor sebab tak nak ayah jadi pemandu teksi lagi’ - Quzandria Balqis

A
A
A

Anak bongsu daripada empat beradik ini memasang cita-cita ingin menjadi seorang doktor bagi membalas jasa kedua ibu bapanya.

Membesar dalam keluarga yang sederhana, ia sudah cukup untuk mendidik Quzandria Balqis Abd Hamid menjadi anak yang tinggi nilai akhlaknya.

Keputusan cemerlang yang diraihnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini satu langkah awal buat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, ini mengorak langkah dengan lebih jauh.

Walaupun ‘perjalanannya’ baru bermula, Quzandria Balqis ingin membuktikan tiada apa yang mustahil sekiranya ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Berkongsi kegembiraan bersama GPSBestari, Quzandria Balqis begitu teruja menceritakan impiannya satu hari nanti.

Dalam sesi temubual tersebut, Quzandria Balqis memberitahu dia ingin berjaya dan menunaikan segala keinginan kedua orang tuanya.

Bagi Quzandria Balqis, pengorbanan kedua orang tuanya tidak mungkin terbalas dengan belaian wang ringgit semata-mata, namun menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan keselesaan ibu bapanya yang telah banyak memerah keringat demi memastikan dia mencapai kejayaan seperti hari ini.

“Insya-ALLAH, saya ingin menjadi seorang doktor seperti kakak dan buktikan kepada semua dengan usaha yang berterusan, cita-cita selama ini boleh menjadi kenyataan.

“Begitu, saya tidak mengehadkan skop bidang kerja dan sekiranya tidak dapat menyambung pelajaran dalam bidang perubatan, saya bercadang untuk meneruskan cita-cita kedua iaitu bidang perundangan,” ujarnya.

Bagi Quzandria Balqis, apa juga kerja yang diceburinya nanti bukanlah matlamat utamanya kerana yang penting dia ingin menjadi seorang anak yang dapat membahagiakan ibu bapanya.

Dia juga berharap satu hari nanti dia dapat menyara ibu bapanya agar bapanya tidak lagi perlu bersusah payah memandu teksi untuk menyara keluarga.

Katanya, kos sara hidup yang tinggi hari ini menyebabkan segala-galanya ‘mahal’. Oleh itu, Quzandria Balqis berharap impian dan cita-citanya akan menjadi kenyataan dan dengan keputusan cemerlang yang diperolehinya itu, dia berpeluang menyambung pelajaran dalam salah satu bidang yang diimpikannya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok