Untitled
Untitled

Pegang rekod pingat emas terbanyak di Sukan SEA, Nurul Huda mahu atlet muda pecahkan rekod yang dicipta

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Dec 2021 10:38am
A
A
A

Siapa tidak kenal dengan bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, 49, yang beraksi cemerlang di pentas Sukan SEA sekali gus memegang rekod pemenang pingat emas terbanyak dalam kejohanan sukan berkenaan.

Meskipun pencapaian yang dibuat itu sudah lebih 30 tahun lalu, rekod 22 pingat emas dalam Sukan SEA yang dicipta Nurul Huda ternyata belum mampu dipecahkan oleh mana-mana atlet Malaysia sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, Nurul Huda sentiasa berharap satu hari nanti akan ada atlet negara yang mampu memecahkan rekod berkenaan sekali gus mencipta lebih banyak kemenangan dalam kejohanan sukan global.

“Sudah tentu saya berbangga dengan rekod yang dicapai dalam tiga kejohanan Sukan SEA iaitu pada tahun 1985, 1987 dan 1989 tetapi dalam masa yang sama berharap Malaysia terus melahirkan lebih ramai atlet yang beraksi cemerlang dalam sukan masing-masing sekali gus memecahkan rekod yang saya pegang sejak sekian lama.

“Sebelum ini, Shalin Zukifli hampir menyamai rekod yang dibuat oleh saya dengan jumlah keseluruhan 20 pingat dan atlet sukan terjun, Leong Mun Yee dengan 17 pingat,” katanya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Jaguh di kolam renang

Bukan sahaja menjadi jaguh di laman sendiri atau di peringkat serantau, Nurul Huda juga menyerlah di peringkat Asia. Beliau menjadi wanita dan rakyat Malaysia pertama yang berjaya memenangi pingat dalam acara sukan renang di Sukan Asia dan Kejohanan Renang Asia.

Selain itu, ketangkasannya di dalam kolam renang seolah-olah sukar dicabar apabila menjadi individu wanita pertama di peringkat Asia Tenggara yang berjaya memecahkan rekod dalam acara renang individu 400 meter.

Nurul Huda terus menjulang nama negara apabila turut menjadi wanita pertama Asia Tenggara yang berjaya memecahkan rekod 60 saat dalam acara 100 meter gaya bebas.

Pencapaian demi pencapaian yang diraih sepanjang kerjayanya sebagai atlet negara, maka tidak hairanlah Nurul Huda dinobatkan sebagai Olahragawati Negara untuk tempoh lima tahun berturut-turut bermula tahun 1985 sehingga 1989.

Nurul Huda bersama suami dan anak-anak.

Nurul Huda berkata, ibunya adalah tulang belakang kepada penglibatan beliau dalam sukan renang sejak awal apatah lagi pada usia yang sangat muda ketika itu.

“Ibu sentiasa menemani saya mengikuti kelas renang, menjalani sesi latihan, hantar dan ambil dari sekolah serta menemani saya ketika menyertai pertandingan. Dia memainkan peranan besar dalam kerjaya saya sebagai atlet renang.

“Siapa sangka, ketika berusia 13 tahun saya dapat mewakili Malaysia ke Sukan SEA 1985 di Bangkok, Thailand, untuk acara rampaian perseorangan, gaya bebas dan kuak kupu-kupu serta berjaya memenangi tujuh pingat emas,” ujarnya.

Cabaran bergelar atlet

Sudah menjadi asam garam dalam kehidupan, Nurul Huda yang kini bertugas sebagai seorang daripada Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) juga tidak dapat lari daripada berdepan pelbagai cabaran sepanjang bergelar atlet sukan renang.

Seawal usia 10 tahun, Nurul Huda terpaksa berpisah dengan keluarga kerana perlu menjalani latihan di Australia, sekali gus menuntut beliau untuk berdikari.

Nurul Huda beraksi cemerlang dalam tiga kejohanan Sukan SEA. - Gambar daripada internet.

“Saya juga disahkan menghidap talasemia ketika berusia 15 tahun sehingga menjejaskan sesi latihan kerana penyakit ini menyebabkan saya sering kepenatan tetapi semua itu berjaya diatasi perlahan-lahan dengan pemeriksaan dan pemantauan doktor serta penjagaan dalam aspek pengambilan makanan dan diet harian.

“Keputusan jurulatih saya ketika itu untuk bersara turut memberikan cabaran kerana beliau sudah lama membimbing saya sehingga mampu mencipta pelbagai kejayaan.

“Tidak dinafikan, kesukaran untuk membiasakan diri dengan rutin latihan dan bimbingan daripada jurulatih yang baharu serta beberapa isu lain yang timbul menyebabkan saya membuat keputusan untuk bersara ketika berusia 18 tahun,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Profil

Nama penuh: Nurul Huda Abdullah

Tarikh lahir: 31 Julai 1972

Asal: Selangor

Status: Berkahwin

Pencapaian:

Sukan SEA 1985 - Tujuh pingat emas

Sukan SEA 1987 - Tujuh pingat emas

Sukan Asia 1986 - Dua pingat perak dan dua pingat gangsa

Sukan SEA 1987 - Lapan pingat emas

Pernah mewakili Malaysia dalam tiga acara renang Olimpik yang diadakan di Seoul, Korea Selatan, pada tahun 1988

Dianugerahkan Trofi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dalam bidang Sukan dan Belajar pada tahun 1987.

Dilantik masuk ke dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada tahun 2004

Timbalan Chef-de-Mission Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Filipina

Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN)

Ahli Jawatankuasa Wanita & Sukan di bawah Majlis Olimpik Malaysia (2021-2025)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok