msu
msu

Pelajar perakaunan terbaik. Alumni MSU terima wang tunai RM500 dan biasiswa pengajian di ICAEW

Mariatul Qatiah Zakaria
01 Nov 2021 06:22pm
A
A
A

Alumni Management and Science University (MSU) Nisrin Nabihah Abdullah Sabri telah dianugerahkan Pelajar Perakaunan Terbaik MIA 2020 oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Bekas pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di Faculty of Business Management and Professional Studies (FBMP) itu telah memulakan perjalanan akademiknya di MSU pada Julai 2016.

Dia mengikuti program prauniversiti Foundation in Business dan berjaya memperoleh Anugerah Dekan sebanyak dua kali sepanjang setahun pengajian.

“Kejayaan memperoleh anugerah Dekan adalah usaha kolektif di antara para pensyarah serta rakan-rakan sekuliah.

“Mereka inilah yang banyak mendorong dan membantu saya dalam mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran.

"Pencapaian tersebut juga adalah hadiah saya kepada ibu bapa sebagai satu cara untuk berterima kasih kepada mereka yang tidak putus-putus memberikan motivasi agar saya berjaya dalam pelajaran,” kata Nisrin.

Sebaik menamatkan pengajian peringkat prauniversiti, Nisrin telah menyambung pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan memperoleh Anugerah Dekan sebanyak empat kali sehinggalah menamatkan pengajian pada Julai 2021.

Selain cemerlang dalam akademik, Nisrin juga merupakan pelajar yang aktif dalam aktiviti ko-kurikulum termasuk menyertai kelab MSU Young Accountants Club (YAC) dan Kelab Penyayang sebagai platfom untuk dia menyumbang bakti melalui aktiviti kesukarelawan selaras dengan aspirasi MSU dalam menerapkan budaya 2G (Giving and Grateful) dalam kalangan para pelajar dan graduan.

Pengalaman sepanjang belajar di MSU turut diperkasakan apabila mengikuti Global Mobility Programme (GMP) di Bilkent University, Turki selama enam bulan serta Global Leadership Programme (GLP) di Perth, Australia selama seminggu di mana dia turut berpeluang melawat ibu pejabat CPA Australia.

“Pendedahan peringkat antarabangsa yang merangkumi aspek kebudayaan, akademik serta kerjaya ini telah membentuk jati diri saya dalam mencapai cita-cita sebagai pelajar perakaunan seterusnya kerjaya sebagai seorang akauntan pada masa akan datang,” jelasnya.

Selaku penerima anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik MIA 2020, Nisrin turut menerima hadiah wang tunai RM500 dan biasiswa untuk menyambung pengajian professional di Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) serta plak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok