HomeGen ZPerniagaan dalam talian dapat tempat di Malaysia, pelajar perlu miliki kemahiran asas...

Artikel Berkaitan

Perniagaan dalam talian dapat tempat di Malaysia, pelajar perlu miliki kemahiran asas dunia perniagaan dalam talian

Perniagaan dalam talian, e-perniagaan atau e-dagang merupakan apa jua perniagaan atau transaksi perdagangan yang berlaku di dalam talian telekomunikasi, secara khususnya internet.

Tidak kisah apa juga istilah yang digunakan, secara khususnya, e-perniagaan, e-dagang atau perniagaan dalam talian wujud di seluruh dunia pada pertengahan 90-an ketika internet diperkenalkan sebagai platform menjalankan perniagaan melalui laman sesawang.

Penyelaras Sarjana Keusahawanan dan Inovasi Eksekutif, Pusat Kajian Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Noor Azuan Hashim, berkata di Malaysia, perniagaan dalam talian telah berlaku seawal akhir 90-an iaitu sejak internet diperkenalkan di Malaysia.

“Sungguhpun begitu, perniagaan digital di Malaysia ketika itu tidaklah serancak sehingga kedatangan Lazada.com ke Malaysia dan kemudian diikuti oleh Shopee malah masyarakat Malaysia, umumnya mereka di bandar sudah berani menjual dan membeli di dalam talian serta sudah dapat memahami undang-undang siber.

“Perkembangan perniagaan digital semakin popular apabila laman sosial seperti Facebook dan Instagram membenarkan pengiklanan dan perniagaan atas aplikasi mereka,” ujar beliau kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Tambah Dr Noor Azuan, laman sesawang GlobalData baru-baru ini mendedahkan platform e-dagang Malaysia mengumpulkan pendapatan sebanyak RM30.2 billion pada 2020 dan mereka menjangkakan pertumbuhan e-perniagaan sebanyak 14 peratus serta akan mencapai RM51.6 billion pada 2024.

Dr Noor Azuan bersama delegasi dari Malaysia ketika menyertai program pengantarabangsaan ke Jepun pada 2019.

“Pertumbuhan ini dijangka akan meningkat lagi terutama di masa pandemik Covid-19 kerana masyarakat Malaysia mempunyai kekangan berjual beli di luar rumah dan tertumpu banyak kepada dalam talian.

“Sementara itu, data dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melaporkan sebanyak 484,984 perniagaan didaftarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 1 Jun 2021 dan daripada jumlah itu, sebanyak 175,430 perniagaan didaftarkan berorientasikan dalam talian,” tutur beliau.

Bagi pelajar yang berminat menubuhkan perniagaan sendiri atau menceburi bidang perniagaan dalam talian, Dr Noor Azuan berkata, mereka perlulah menguasai ilmu asas perniagaan dahulu termasuklah tahu bagaimana hendak mengurus perniagaan, asas kewangan, asas pemasaran dan jual beli.

“Sejajar dengan perkembangan teknologi, aspek pemasaran digital yang kini semakin meluas penggunaannya juga perlu dititikberatkan oleh pelajar dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.

“Pemasaran digital terbahagi kepada dua komponen yang besar iaitu pemasaran digital dalam talian (seperti Facebook, Instagram dan sebagainya) dan juga pemasaran digital luar talian (seperti pemasaran televisyen, pemasaran radio dan sebagainya),” katanya.

Pemasaran digital
Mengulas lanjut mengenai aspek pemasaran digital, Dr Noor Azuan berkata, pemasaran digital dalam talian lebih diberi perhatian berbanding pemasaran digital di luar talian kerana pemasaran digital di luar talian agak mahal berbanding di dalam talian.

“Walaupun terdapat pelbagai pemasaran digital, buat masa sekarang, pelajar banyak didedahkan dengan pemasaran melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram yang lebih menjimatkan kos malah yang terbaharu, pelajar juga didedahkan penggunaan TikTok dan YouTube sebagai medium pemasaran digital melalui telefon pintar terutama melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

“Bagi pelajar yang memilih untuk mendalami aspek berkenaan, mereka boleh berbuat demikian dengan mengikuti kelas secara formal, belajar melalui YouTube atau belajar dengan pihak yang lebih pengalaman bagi membantu mereka untuk lebih bersedia berniaga secara dalam talian,” jelasnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Keusahawanan di sekolah
Menyentuh mengenai pendedahan aktiviti keusahawanan di sekolah, Dr Noor Azuan berkata, ada sekolah-sekolah yang telah memperkenalkan perniagaan dalam talian kepada pelajar melalui aktiviti kelab komputer sekolah.

“Perniagaan dalam talian ini mungkin tidak lagi didedahkan secara meluas kerana perlu ada perbincangan di antara pihak berkepentingan dalam menjaga kemaslahatan pelajar dan kajian menyeluruh mengenai kebaikan dan keburukan pelajar sekolah berniaga dalam talian agar pelajar tersebut tidak tersasar daripada apa yang diperlukan – ilmu atau wang?

“Ini penting terutama pada pihak pentadbir sekolah. Bagaimanapun, sesetengah pelajar sekolah telah didedahkan berniaga secara dalam talian oleh ibu bapa atau keluarga terutama semasa pandemik Covid-19 dan PKP, justeru itu terpulang kepada ibu bapa dan penjaga sama ada membenarkan anak mereka yang bersekolah berniaga dalam talian dengan melihat kebaikan dan kelemahan,” tambah beliau lagi.

Di peringkat universiti pula, aspek keusahawanan memang telah diterapkan secara meluas malah salah satu daripada objektif pengajaran program di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah kemahiran mengurus dan keusahawan.

Bagi menggalakkan lagi pembabitan pelajar universiti dalam bidang perniagaan dalam talian, Dr Noor Azuan mencadangkan supaya pihak universiti memperbanyakkan latihan kepada pelajar seperti “Belajar Berniaga dalam Shopee dan Lazada”, kursus membangun laman sesawang, kursus membangun mobile apps dan kursus pemasaran e-mel.

“Dalam konteks UKM, pihak FEP bukan sahaja menyediakan kursus dan latihan, malah pelajar dibawa ke premis perniagaan Shopee dan Lazada, Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Google malah pelajar Sarjana Keusahawanan dan Inovasi telah berjaya mengadakan lawatan ke Google Jepun di Tokyo serta disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif Google di sana,” jelas Dr Noor Azuan lagi.

5 Tip Untuk Berjaya Sebagai Peniaga Online
1) 2S (atau 2P) – Sabar (patience) dan semangat (passion) sangat penting untuk berniaga secara dalam talian – kalau tiada kesabaran dan semangat untuk berniaga, memang sukar untuk berjaya sebagai peniaga dalam talian.

2) Sentiasa terurus dan menjaga hubungan baik dengan pelanggan/pembeli dalam setiap aspek perniagaan bagi memastikan pelanggan memperoleh apa yang dikehendaki.

3) Sentiasa buat penyelidikan dan analisis mengenai apa yang ditawarkan oleh pesaing. Ini bagi memastikan perniagaan dalam talian sentiasa dalam senarai terkini dari segi produk dan perkhidmatan yang diberikan.

4) Perlu ada sambungan internet yang padu serta gajet (telefon/tab/komputer) yang bagus bagi mengambil tempahan, menjawab pertanyaan, mengemaskini laman sesawang dan media sosial. Lebih cepat seseorang peniaga dalam talian memberi maklum balas, lebih bagus reputasi peniaga.

5) Sentiasa terus belajar dengan mengikuti pelbagai latihan sama ada dalam atau luar negeri bagi menaiktaraf (upgrade) pengetahuan dan kemahiran agar peniaga dalam talian sentiasa terkini (up-to-date).

Artikel Terkini