fazdlun3
fazdlun3

Sukan bola jaring buka laluan kerjaya - Fazdlun

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
23 May 2022 12:17pm

Siapa yang tidak kenal dengan bekas peragawati dan atlet bola jaring kebangsaan, Fazdlun Abas, 40, yang kini melebarkan sayapnya dalam bidang perniagaan produk kesihatan.

Sebagai bekas atlet yang pernah berkecimpung dalam arena bola jaring lebih kurang lima tahun, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini mengakui sukan berkenaan menjadi batu loncatan kepada dirinya untuk memulakan kerjaya baharu.

“Selepas memilih untuk bersara sebagai atlet bola jaring pada 2003, saya mula menceburi bidang peragaan dan tidak dinafikan ia menjadi lebih mudah kerana orang sudah mengenali saya sebagai pemain bola jaring ketika itu.

“Selain itu, penyertaan sebagai atlet juga banyak melatih saya untuk lebih berkeyakinan bila berdepan khalayak ramai, sentiasa merendah diri, berdisiplin, belajar bertanya dan bijak berkomunikasi.

“Orang mungkin melihat sukan ini sekadar beraksi di padang atau dalam gelanggang tetapi sebenarnya banyak aspek tersembunyi yang dipelajari sepanjang proses latihan dan pertandingan itu sendiri,” katanya kepada Sinar Bestari.

Fazdlun mula terpilih mewakili negara pada 1998 ketika berusia 16 tahun dan berpeluang menyertai kejohanan Sukan Komanwel yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun itu.

Beliau juga terpilih dalam barisan skuad kebangsaan untuk menyertai Kejohanan Bola Jaring Dunia pada 1999, dua minggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada 2001 pula, Fazdlun yang merupakan lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membantu pasukan Malaysia meraih pingat emas dalam kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur.

Bagi pelajar di luar sana yang berminat menceburi sukan bola jaring, Fazdlun menitipkan pesanan supaya meneruskan hasrat berkenaan kerana sukan membuka banyak laluan pengajian dan kerjaya di masa depan.

“Kalau dulu-dulu orang cakap kerjaya dalam sukan ini tiada masa depan tetapi hari ini situasi itu sudah berubah dan kita boleh lihat sudah ramai bekas atlet berjaya mencipta kejayaan dalam bidang yang diminati.

“Proses menyambung pengajian ke peringkat universiti juga menjadi lebih mudah kerana bakat yang ada boleh diketengahkan untuk mewakili universiti dan negara.

“Oleh itu, buatlah keputusan yang bijak dan tunjukkanlah prestasi yang cemerlang kerana sukan bukan saja menjadikan anda sihat dan cergas tetapi juga membuka banyak peluang di masa depan,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp