periodic-table-gbed9b47fa_1280
periodic-table-gbed9b47fa_1280

Teknik mudah hafal jadual berkala unsur bagi subjek Kimia

Rasyidah Zulkifi
31 Jan 2022 05:16pm
A
A
A

Siapa sahaja yang mengambil subjek Kimia pasti tidak lari dengan jadual berkala unsur kalau tidak hafal pun, pasti wajib ada dalam beg sekolah.

Kalau tidak ada, sukarlah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dalam kelas kerana jadual tersebut amatlah penting.

Lagi-lagi ketika menjawab latih tubi, jika tiada jadual berkala unsur maka para pelajar akan buntu kerana banyak soalan Kimia berkisar tentang jadual tersebut.

Oleh itu, Sinar Bestari ingin berkongsi tentang teknik mudah menghafal jadual berkala unsur kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

  1. Teknik mengulang hafalan

Teknik pengulangan ini sangat penting dalam proses pembelajaran sejak dari kecil hingga dewasa.

Sesetengah pengkaji berpendapat bahawa teknik mengulang hafalan ini agak membosankan kerana kurang berkesan namun, kaedah ini menjadi jika pelajar mempunyai alternatif untuk menggabungkan kaedah lain bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Contohnya, pelajar boleh menghafal unsur Kimia melalui kaedah membacanya dengan kuat berulang kali.

Secara tidak langsung, kaedah ini boleh membentuk pelajar melakukan pembelajaran aktif.

2. Buat kad imbas

Tahukah para pelajar, teknik kad imbas ini menggalakkan lagi pembelajaran aktif kerana proses menulis dan membuat kad imbas memerlukan banyak interaksi dan akan membantu proses menghafal jadual berkala unsur.

Lagipun, kad imbas ini bersaiz lebih kecil dan spesifik berbanding jadual berkala yang saiznya lebih besar dan banyak unsur di dalamnya.

Jadi, para pelajar akan lebih mudah untuk fokus menghafal unsur-unsur Kimia yang terpilih pada waktu ulangkaji.

3. Teknik lagu

Sesi menghafal jadual berkala unsur ini akan lebih menyeronokkan dengan melagukannya dimana pelajar tidak akan tertekan ketika mengulangkaji pelajaran.

Contohnya, melagukan unsur-unsur peralihan dengan instrumental Faizal Tahir - Gemuruh.

Pelajar juga boleh membuat rakaman lagu dan mengulanginya setiap hari berterusan selama seminggu, pasti unsur tersebut akan diingati.

4. Hafal secara visualisasi

Merujuk pakar ingatan, mereka menggunakan teknik visualisasi dan mnemonik untuk menjadikan sesuatu hafalan lebih berkesan.

Cara ini membantu pelajar untuk mudah faham dan hafal unsur dengan cepat.

 

Kredit foto: Pexels

Sebagai contoh, unsur ‘H’ serupa dengan 'hydrant', jadi apabila pelajar membayangkan pili bomba yang dibalut dalam poster jadual berkala, maka secara tidak langsung akan mengingati 'hidrogen'.

Seterusnya, apabila pelajar membayangkan pili bomba dari tanah diangkat oleh belon helium besar, maka, itu mengingatkan kepada unsur ‘He’.

5. Teknik video

Jika pelajar mempunyai kelebihan dalam membuat animasi video, maka teknik ini boleh dilakukan seiring dengan kemajuan teknologi maklumat.

Proses menghafal 118 unsur Kimia menjadi lebih mudah dan ini merupakan teknik terpantas bagi pelajar untuk menghafal dalam masa singkat.

Sangat menakjubkan, hanya dalam satu malam sahaja pelajar boleh menghafal semua unsur Kimia tersebut.

Akhir kata, kejayaan yang hakiki itu tiada jalan pintas cuma selagi mana pelajar berusaha pasti akan menemui jalan penyelesaiannya.

Kami berharap calon-calon peperiksaan SPM akan datang yang mengambil subjek Kimia dapat menghafal jadual berkala unsur, seterusnya mendapat keputusan cemerlang.

Sumber: Memorize Academy

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok