HomeGen ZTip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir

Tip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir

Pelajar tahun akhir baik di universiti awam atau swasta pastinya perlu menyiapkan projek tahun akhir (FYP), di mana ia memerlukan pelajar menghasilkan satu kajian ilmiah bagi melengkapkan pengajian mereka.

FYP merupakan kursus wajib yang perlu diambil dan perlu lulus bagi memenuhi keperluan graduasi pelajar dalam program ijazah sarjana muda.

Sekiranya pelajar memandang remeh perkara ini, ia akan mengundang kepada kegagalan mereka untuk menamatkan pengajian mengikut masa yang telah ditetapkan.

Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi USM, Dr Saifudin Saleh.

Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohamad Saifudin Saleh atau lebih dikenali sebagai Dr Sai mengatakan, kegagalan pelajar menyiapkan tugasan FYP ini bukan sahaja membuang masa dan tenaga malahan ia turut meninggalkan imej buruk terhadap pelajar itu sendiri sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak.

”Oleh itu, sering saya ingatkan kepada pelajar untuk mula mencari idea dalam penghasilan FYP sejak mereka masih di tahun ketiga pengajian.

“Ini akan mendorong mereka untuk sentiasa bersedia dan proses menyiapkan FYP tidak mengambil masa yang lama agar mereka juga boleh fokus menyiapkan tugasan lain,” katanya kepada wartawan Sinar Bestari, baru-baru ini.

Tambah Dr Sai yang kini mengetuai penyelidikan mengenai gaya hidup lestari, pelajar tahun akhir sememangnya bakal berdepan dengan cabaran dan rintangan dalam menyiapkan FYP mereka.

Untuk itu, pelajar perlulah sentiasa berfikiran positif dan sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.

“Cabaran FYP ini selalunya melibatkan komunikasi yang kurang lancar antara pihak yang terlibat terutamanya pensyarah yang menyelia.

“Justeri itu, ingin saya sarankan kepada pelajar untuk mengamalkan komunikasi antara personal yang baik dan kompeten agar proses menyiapkan FYP ini berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Sai turut berkongsi tip yang boleh diaplikasikan oleh pelajar tahun akhir untuk menyiapkan tugasan ini mengikut masa yang telah ditetapkan.

Jom baca.

1- Sebelum menjalankan projek FYP ini, pelajar diingatkan untuk tidak memilih tajuk yang sukar dicapai atau dilakukan. Pelajar hendaklah memilih tajuk yang bersesuian dengan bidang yang dipelajari dan mempunyai minat yang mendalam. Ini kerana, sekiranya pelajar membuat keputusan dengan memilih tajuk tanpa mempunyai perancangan yang teliti, ia akan mengundang kepada kesukaran yang besar memandangkan projek ini memerlukan komitmen yang tinggi.

2- Pelajar perlulah mempunyai kesedaran kendiri mengenai pengaplikasian pengetahuan ke dalam projek ini sebelum melangkah keluar ke alam pekerjaan. Pelajar yang menyedari akan kepentingan menyiapkan FYP akan mendorong mereka untuk menikmati setiap proses dan mengurangkan rasa bebanan yang ditanggung. Malah, dengan kesedaran kendiri yang baik juga terutamanya untuk menjana pengalaman, ia dapat mendorong pelajar meraih gred yang cemerlang.

3- Sentiasa merujuk kepada penyelia yang bertanggungjawab menyelia projek FYP masing-masing. Pelajar dikehendaki untuk sentiasa merujuk dan bertanya kepada penyelia dalam penghasilan FYP mereka. Ia akan dapat membantu memudahkan urusan mereka di samping memupuk hubungan baik antara pelajar dan pensyarah.

4- Pelajar juga perlulah bijak dalam pembahagian masa lebih-lebih lagi di tahun akhir ini mereka akan banyak terlibat dengan aktiviti sama ada pelajaran atau kokurikulum yang lain. Untuk itu, mereka mestilah berupaya membahagikan masa agar dapat mengelakkan rasa terbeban sehingga tidak dapat memberikan tumpuan yang baik terhadap projek FYP berkenaan.

Artikel berkaitan

Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM

7 tip tarik minat anak-anak belajar subjek Matematik

Jangan abaikan 7 tip penting ini untuk menjadi guru yang cemerlang


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok