IMG_0212
IMG_0212

Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM

Adlan Farhan Azwan
11 Oct 2022 06:22pm
A
A
A

Sidang Akademik sesi 2022/2023 telah menyaksikan seramai 4,283 pelajar telah menerima tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) dan Diploma di Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam kelompok tersebut, terdapat kembar tiga beradik lelaki yang telah menerima tawaran menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di Kampus Induk USM, Pulau Pinang.

Mereka adalah Mohamed Azmin Dawlath Mohamed, Mohamed Azwan Dawlath Mohamed dan Mohamed Azrul Dawlath Mohamed, 22.

Menurut Mohamed Azmin, sejak zaman persekolahan lagi, mereka tidak pernah berpisah sehinggalah melanjutkan pengajian di peringkat universiti dan mempunyai matlamat yang sama untuk bersama-sama menyambung pengajian di USM.

Mohamed Azwan, Mohamed Azrul dan Mohamed Azmin, merakamkan saat berharga itu ketika di Dewan Utama Pelajar (C) di USM. Kredit foto: USM

“Kami belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan kemudiannya kami belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Tun Uda, Bayan Lepas dalam aliran Sains.

“Seterusnya kami menyambung pengajian diploma di Politeknik Seberang Perai dalam bidang yang sama iaitu perakaunan dan turut mendapat anugerah dekan ketika mengikuti pengajian di politeknik tersebut.

“Kami tidak pernah berpisah dan rasa bersyukur diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di USM kerana semua perkara yang kami lakukan adalah bersama-sama,” katanya ketika sesi ramah mesra bersama pelajar baharu di Kampus Induk USM, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, mereka bertiga mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang Pendidikan dan bercita-cita untuk menjadi guru dan pensyarah.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang turut menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Datuk Gs Dr Narimah Samat berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan semua pelajar menerima kualiti pengajian yang terbaik di samping mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar.

Tambahnya, USM turut menyediakan 1,000 kit keperluan asas percuma kepada penuntut baharu kelompok B40 bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Kit keperluan asas ini merangkumi selimut, cadar, bantal, baldi, beg kanvas dan keperluan lain bagi memudahkan penuntut baharu memulakan kehidupan sebagai pelajar di USM,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

Jangan lepaskan peluang! Permohonan program-program Penajaan JPA Tahun 2022 kini dibuka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok