10 tip menyiapkan kerja sekolah cara Cikgu Ziera
10 tip menyiapkan kerja sekolah cara Cikgu Ziera

10 tip menyiapkan kerja sekolah cara Cikgu Ziera

Roshlawaty Md Raieh
09 Nov 2022 01:52pm
A
A
A

Sebagai seorang pelajar, sudah semestinya anda mempunyai pelbagai kaedah dalam menyiapkan kerja sekolah yang diberikan guru.

Antara kaedah yang digunakan pelajar adalah menyiapkan kerja sekolah pada waktu petang bersama adik beradik lain.

Tidak kurang juga ada yang lebih selesa menyiapkan kerja sekolah pada waktu malam sambil mendengar lagu kesukaan.

Baru-baru ini, Cikgu Ziera menerusi laman sosial YouTubenya memuat naik video berkaitan tip mudah menyiapkan kerja sekolah.

Video yang dikongsi sekitar penghujung tahun 2021 itu menyiarkan 10 cara untuk pelajar lakukan dalam menyiapkan kerja yang diberi guru.

Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian video yang mendapat jumlah tontonan sebanyak 1,415.

Sehubungan itu, Sinar Bestari paparkan di sini koleksi tip diberikan Cikgu Ziera sebagai rujukan pelajar.

Jom baca koleksi tip tersebut.

1) Dengar lagu sambil membuat kerja sekolah

Dengar lagu sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan tekanan. Bagaimanapun, para pelajar diingatkan untuk tidak mendengar lagu versi rock sebaliknya disarankan mendengar lagu berentak perlahan.

2) Buat perancangan jadual

Tip ini amat sesuai untuk melatih pelajar supaya lebih berdisiplin dan menepati masa. Buatlah jadual mengikut kesesuaian dan mudah diikuti. Jangan terlalu padat sehingga membebankan diri masing-masing.

3) Tentukan kerja sekolah mana yang lebih penting

Ini memerlukan pelajar menyusun kerja sekolah yang penting dan perlu diselesaikan mengikut jadual supaya ia berjaya disiapkan dalam kadar segera.

4) Buat kerja sekolah yang senang dahulu

Bila kerja sekolah yang pelajar buat itu senang dan mudah, anda akan lebih gembira berbanding buat yang susah dahulu.

Sebaliknya, jika kita buat yang susah dahulu, ia akan membuatkan pelajar mudah tension dan tertekan.

5) Jangan suka menangguh

Jangan sesekali menangguh sekiranya terdapat banyak kerja sekolah. Sikap ini boleh menimbulkan masalah dan pastinya tidak disukai oleh semua orang.

6) Siapkan kerja yang diberikan di sekolah

Jika kerja sekolah yang diberikan oleh cikgu terlampau banyak, apa kata ambil sedikit masa untuk siapkannya di sekolah. Mungkin pelajar boleh gunakan masa rehat atau ketika pertukaran subjek atau guru.

7) Rujuk atau bertanya jika sukar untuk menyiapkan kerja sekolah

Sekiranya kerja sekolah para pelajar sangat susah, apa kata rujuk atau berjumpa dengan guru atau rakan. Ringankan mulut untuk bertanya segala persoalan. Dengan cara ini, pelajar pasti akan berjaya menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

8) Jangan buat kerja sekolah sampai lewat malam

Seorang pelajar tidak digalakkan untuk tidur lewat kerana akan memudaratkan kesihatan. Biasakan tidur sebelum jam 10 malam.

9) Buat kerja sekolah sambil makan

Sambil buat kerja sekolah, para pelajar bolehlah menikmati apa sahaja makanan ringan seperti coklat, snek, kek, gula-gula dan sebagainya. Bila amal cara ini, ia akan menjadikan aktiviti menyiapkan kerja sekolah bertambah seronok.

10) Siapkan kerja sekolah di tempat yang cerah

Maksud cerah adalah tempat yang ada lampu seperti di meja belajar masing-masing. Dinasihatkan tidak mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah di atas katil kerana cara ini akan membuatkan pelajar mudah tertidur.

Semoga tip kali ini memberi banyak manfaat buat para pelajar. Semoga berjaya.

Sumber: YouTube Cikgu Ziera

Artikel berkaitan 

Cikgu Aimi kongsi 4 langkah mudah menjadikan pembelajaran Komsas lebih menarik

8 rahsia kejayaan Cikgu Sofizah yang ramai tidak tahu 

Mile kongsi 8 tip untuk menjadi pelukis grafiti dan mural berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan