Guru dan mak ayah, berikut 10 tip mudah pastikan anak suka mengaji al-Quran, mari amalkan
Guru dan mak ayah, berikut 10 tip mudah pastikan anak suka mengaji al-Quran, mari amalkan

10 tip pastikan anak suka mengaji al-Quran, mari amalkan

Roshlawaty Md Raieh
18 May 2022 03:53pm
A
A
A

Budaya membaca al-Quran dengan betul dan fasih merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam.

Begitu juga dalam kalangan pelajar sekolah. Amalan mengaji kitab suci ALLAH itu perlulah dilakukan sepanjang masa bagi mendapatkan hati yang tenang dan damai.

Bagaimana pula jika ada murid atau pelajar yang ‘ambil mudah’ berkaitan dengan membaca al-Quran? Apa yang harus mak ayah lakukan terhadap anak yang bersikap sedemikian?

Sinar Bestari kongsikan 10 tip untuk guru dan ibu bapa amalkan supaya anak-anak suka mengaji di rumah.

Cara yang diberikan ini sesuai untuk anak-anak berusia 12 tahun ke bawah dan masih berada di sekolah rendah.

Mari ikuti tip mudah hasil perkongsian daripada Dr Farhuda ini.

Semoga bermanfaat.

1) Mula perkenalkan anak kepada huruf hija’iyah

Mungkin boleh mulakan seawal usia seperti melalui flashcard, puzzle, lagu, video atau iqra’.

2) Perkenalkan dengan silibus mengaji yang mudah

Ada banyak pilihan di luar yang mak ayah boleh lakukan tinjuan serta buat pilihan sendiri. Ada yang diterbitkan dalam bentuk buku, flashcard, video dan macam-macam lagi. Antara silibus yang terbaik adalah iqra’. Susunan isi kandungan bagi setiap tahap iqra’ sangat mudah untuk diikuti oleh anak kecil. Tidak terlalu rumit dan tidak juga terlalu padat bagi satu-satu muka surat.

3) Belikan kelengkapan mengaji anak-anak sendiri

Jika punya tiga orang anak yang masih mengaji iqra’, belikan tiga iqra’ berbeza buat mereka. Sertakan juga dengan rehal/penunjuk al-Quran. Percayalah mereka akan lebih teruja ingin mengaji menggunakan barang masing-masing. Tanyakan pendapat mereka, rehal warna apakah yang menjadi pilihan hati. Raikan.

Jika anak yang sudah membaca al-Quran, cuba belikan mereka al-Quran yang telah dipecahkan kepada naskhah-naskhah kecil mengikut juzuk. Selain mudah untuk dibawa ke mana-mana, ia juga menjadi motivasi buat si anak untuk menghabiskan bacaan kemudiannya boleh beralih ke juz selepasnya.

4) Sistem ganjaran

Kenalkan anak kepada sistem ganjaran. Tidak perlu yang mahal, cukup walau sekadar pelekat yang ditampal di helaian yang telah lancar bacaannya. Tuliskan bersama tarikhnya. Nanti lama-lama (bila mereka semakin besar) mampu beralih bacaan kepada tahap yang seterusnya (naik iqra’ atau naik juz), hadiahkan anak dengan benda yang lebih menarik.

Contoh hadiah yang lebih besar daripada pelekat adalah buku, mainan, boleh pilih filem untuk tontonan atau sebagainya. Nampak macam mengajar anak mengaji tidak ikhlaskan, tapi percayalah it works!

Dahulu semasa masih kecil dan ketika baru mula-mula belajar mengaji, anak-anak sangat teruja untuk dapatkan ganjaran pelekat itu, namun percayalah, semakin lama mereka sudah tidak kisah dengan hadiah itu. Yang mereka tahu, setiap hari mesti mengaji dan hari ini bacaan mengaji haruslah lebih baik dari semalam.

5) Tetapkan waktu yang konsisten untuk sesi mengaji

Orang selalu kata tiga aktiviti keluarga ini kalau boleh cuba kita laksanakan setiap hari untuk tautkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

i. Makan bersama

ii. Solat bersama

iii. Menonton bersama

Kali ini kita tambah satu lagi iaitu mengaji. Cuba anda wajibkan waktu mengaji setiap hari. Pastikan seisi rumah mengaji setiap hari. Waktu yang terbaik adalah selepas Maghrib kerana pada waktu ini ibu ayah yang bekerja pun biasanya sudah sampai di rumah.

Awal-awal nanti memang terasa berat tapi lama-lama nanti alah bisa tegal biasa. Apabila ia dijadikan rutin, anak-anak pun automatik akan terus ambil iqra’ atau al-Quran sebaik sahaja habis solat tanpa perlu disuruh.

6) Ceritakan ganjaran pahala mengaji

Ajarkan kepada anak, kenapa perlu mengaji. Apa ganjaran yang akan diperoleh sekiranya kita selalu mengaji. Apakah kelebihan membaca surah tertentu dan ceritakan juga bacaan doa yang dipetik daripada ayat al-Quran bersama maksudnya sekali.

7) Ceritakan ibrah dan pengajaran dari setiap surah

Anak-anak lebih suka teknik penceritaan secara santai atau bercerita. Banyak kisah menarik yang boleh diceritakan kepada anak-anak. Mulakan sahaja dengan surah-surah lazim. Tidak perlu setiap hari pun, boleh jadi seminggu sekali atau sebulan sekali.

Jika kita mampu hidupkan kisah semasa kita kecil, boleh sahaja kita hidupkan macam-macam cerita yang terkandung dalam al-Quran itu juga sebenarnya.

8) Perdengarkan bacaan ayat al-Quran sejak dalam kandungan

Ibu yang mengandung digalakkan mengaji setiap hari. Antara surah-surah yang digalakkan untuk dibaca ketika hamil ialah Surah Luqman, Surah Yusuf dan Surah Maryam. Boleh juga menggunakan adjustable headphone yang boleh dipasang pada perut ketika hamil.

Ketika anak sudah besar sedikit, anda bukalah video mengaji kanak-kanak di YouTube. Macam-macam pilihan ada termasuklah cerita kartun namun latar belakangnya adalah bacaan ayat al-Quran. Percaya atau tidak, anak-anak pun mudah menghafal surah yang kerap mereka tonton dan dengar.

9) Doa ibu dan ayah

Rugi sekiranya kita tidak manfaatkan kelebihan doa oleh ibu ayah. Berdoalah apa sahaja untuk anak kalian setiap hari, jangan lupa untuk doakan mereka agar menjadi golongan yang cintakan al-Quran.

10) Contoh terdekat

Akhir sekali, ibu ayahlah yang harus memainkan peranan penting untuk menjadi contoh yang baik. Tidak seharusnya kita menyuruh anak mengaji setiap hari namun kita sendiri yang culas. Sebolehnya mengajilah pada waktu yang sama. Ingat, anak-anak kecil won’t follow your orders. They imitate you.

Artikel berkaitan

Mengapa murid asyik main game? Nah, ini 13 faktor yang buat mereka leka dan abaikan pelajaran

3 tip mudah yang boleh cikgu praktik untuk pastikan kasut tahan lebih lama

Panduan buat guru, urus fail panitia mudah dengan imbasan kod QR dan pautan ringkas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan