Untitled design
Untitled design

4 tip cara penjagaan haiwan peliharaan yang betul

Mariatul Qatiah Zakaria
22 Dec 2021 02:09am
A
A
A

Kucing, anjing, arnab, hamsters dan sugar glider antara haiwan yang sering menjadi pilihan masyarakat untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Selain sifatnya yang manja dan mudah untuk dijaga, haiwan-haiwan ini mampu mengubati kesunyian malah secara tidak langsung mampu membuatkan hari-hari anda ceria.

Menurut Doktor Veterinar, Dr Zulkefle Nizam, apabila membuat keputusan untuk memiliki haiwan peliharaan, ini bermakna kita bertanggungjawab sepenuhnya di atas kebajikan haiwan tersebut.

Nasihat Dr Zulkefle, kebajikan haiwan-haiwan tersebut yang perlu dijaga termasuklah makan, kesihatan dan juga kebersihan.

“Haiwan peliharaan ini perlulah diberi makan, dibersihkan dan paling penting diberikan perhatian.

“Untuk itu mana-mana individu yang ingin memelihara haiwan mereka perlulah tahu sedikit sebanyak mengenai haiwan yang ingin dipelihara,” ujarnya ketika dihubungi di kliniknya di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Tambahnya, dalam keadaan negara yang masih lagi dalam situasi pandemik Covid-19, aspek kebersihan harus menjadi keutamaan pemilik haiwan dan juga haiwan peliharaan masing-masing.

Oleh itu, cucilah tangan sebelum dan selepas menguruskan haiwan peliharaan masing-masing untuk kebaikan bersama.

Baca juga UUM meterai MoU martabatkan keusahawanan

Baca juga UMT terima HPLC, tawar perkhidmatan uji ketulenan madu

Sehubungan itu, dalam usaha memberi sedikit ilmu mengenai asas penjagaan haiwan peliharaan, Dr Zulkefle berkongsi dengan pembaca GPSBestari, empat tip cara penjagaan haiwan peliharaan yang betul.

  1. Berpengetahuan mengenai haiwan yang ingin dipelihara

Sebelum membuat keputusan untuk memelihara haiwan peliharaan, dapatkan maklumat daripada bahan bacaan sama ada di internet, buku atau kedai haiwan keperluan yang khusus untuk haiwan yang kamu minati. Anda juga boleh menyertai mana-mana kumpulan haiwan peliharaan untuk mendapatkan lebih maklumat dan juga berkongsi pengetahuan.

Ini adalah penting dalam usaha untuk penjagaan yang lebih teratur dan juga perpindahan habitat haiwan tersebut dari hutan ke dalam rumah.

2. Pemeriksaan berkala

Haiwan peliharaan juga memerlukan pemeriksaan berkala iaitu tiga bulan sekali serta harus diberikan imunisasi serta ubat cacing. Sebagai pemilik haiwan peliharaan, anda digalakkan mengambil darah haiwan tersebut dalam tempoh enam bulan atau setahun sekali. Ini bertujuan untuk menyimpan data kesihatan haiwan dan akan digunakan sewaktu kecemasan. Sebagai pemilik, anda dinasihatkan membawa haiwan peliharaan berjumpa doktor sekerap mungkin dan bukannya ketika sakit.

3. Peka pemakanan

Pastikan anda memilih dan membeli makanan haiwan peliharaan  yang berkualiti dari segi kandungan vitamin dan mineral. Baca setiap label kandungan pemakanan yang sesuai dengan haiwan tersebut. Sekiranya makanan yang diberikan tidak seimbang, haiwan peliharaan akan mendapat penyakit batu karang pada kemudian hari. Bagi kucing pula khususnya, makanan yang bernutrisi akan menjadikan bulu kucing kelihatan cantik dan lebat.

4. Kebersihan haiwan

Seperti manusia, haiwan peliharaan juga perlu dimandikan untuk tujuan kebersihan. Bagi kucing, bulu perlu disikat atau diberus. Kuku haiwan peliharaan ini juga perlu dipotong dan kesemua ini anda boleh melakukannya di rumah tanpa perlu membawa mereka ke kedai untuk grooming.

Bagi haiwan peliharaan yang ditinggalkan di luar rumah, seelok-eloknya mandikan mereka sebulan sekali manakala yang dibiarkan di dalam rumah sebulan atau dua bulan sekali. Ini juga termasuk bekas pembuang najis haiwan-haiwan ini. Pastikan ganti pasir apabila warna sudah bertukar. Anda juga dinasihatkan agar memilih pasir atau kristal yang bersesuaian dengan haiwan peliharaan anda.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan