Kulan photo 1 (1)
Kulan photo 1 (1)

4 tip keselamatan bas sekolah yang perlu murid ambil tahu

Roshlawaty Md Raieh
30 Nov 2021 12:35pm
A
A
A

Senario murid menaiki bas ataupun van sekolah setiap hari merupakan perkara biasa. Ini kerana, rata-rata ibu bapa tidak dapat menghantar atau mengambil anak-anak disebabkan tuntutan kerja.

Bagi pelajar di peringkat sekolah menengah, mungkin tidak menghadapi banyak masalah sepanjang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Namun, bagi murid yang masih berada di sekolah rendah, mereka harus diingatkan sepanjang masa mengenai keselamatan sebelum dan semasa menaiki bas sekolah.

Bagi membantu ibu bapa menangani perkara ini, Sinar Bestari kongsikan empat tip keselamatan untuk anda didik anak-anak agar mereka menjaga diri masing-masing sepanjang berada di dalam bas sekolah.

Peringatan ini diharapkan dapat memberi kebaikan kepada mereka yang mana akhirnya kanak-kanak akan menjadi penumpang yang sentiasa mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

  1. Menunggu bas

  • Tunggu di kawasan perhentian bas yang disediakan.
  • Tunggu dengan senyap dan jangan berdiri di tepi jalan raya.

2. Menaiki bas

  • Beratur dalam satu barisan untuk menaiki bas.
  • Pastikan bas telah berhenti sepenuhnya sebelum menaiki bas.
  • Beri laluan untuk penumpang yang ingin turun dahulu.

3. Di dalam bas

  • Pilih tempat dan duduk dengan segera.
  • Letakkan beg di atas riba atau di bawah tempat duduk.
  • Duduk di tempat duduk sendiri sehingga bas berhenti sepenuhnya.

4. Turun dari bas

  • Turun dengan berhati-hati dan jangan tolak menolak.
  • Jangan berdiri di tepi jalan raya sehingga bas telah bergerak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Kulanthayan K.C. Mani turut menyelitkan tujuh pesanan kepada pengguna jalan raya secara umum.

  1. Sebagai pemandu kenderaan, kita perlu mengetahui di sekeliling kenderaan terdapat banyak titik-titik buta (blind spot) yang menyebabkan penglihatan tidak mampu untuk melihat atau nampak kanak-kanak kecil yang berada berdekatan kenderaan. Sebagai pemandu, kita perlu lebih berwaspada dengan memeriksa sekeliling terlebih dahulu sebelum memulakan pergerakan dan mulakan bergerak secara perlahan-lahan.
  2. Pemandu kenderaan disyorkan untuk mengurangkan sumber bunyi dalaman kereta serta menurunkan tingkap kenderaan supaya bunyi pergerakan kanak-kanak atau pejalan kaki dapat dikesan dan perlanggaran dapat dielakkan.
  3. Pemandu kenderaan dinasihatkan untuk menemani kanak-kanak kecil semasa melintas jalan. Jika boleh semasa menurunkan dan menjemput kanak-kanak adalah dari arah laluan yang selari dengan sekolah supaya tidak perlu melintas jalan.
  4. Semasa mengundur kenderaan, lakukannya dengan perlahan dan sebaiknya kita jalan mengelilingi kenderaan untuk memastikan tiada kanak-kanak serta risiko lain. Gunakan kemudahan teknologi yang sedia ada dalam kenderaan seperti – kamera undur yang mampu memberikan pemandangan lebih baik dan menyeluruh di belakang kenderaan semasa kita ingin berundur.
  5. Kemudahan teknologi keselamatan untuk kenderaan perlu digunakan sebaik mungkin serta permintaan dan keutamaan untuk peralatan keselamatan perlu ditingkatkan dan diberi keutamaan oleh pengguna jalan raya semasa mereka membuat pilihan untuk membeli kenderaan baru.
  6. Pejalan kaki terutamanya kanak-kanak dinasihatkan melintas di belakang kenderaan dan bukannya di depan untuk dua sebab: kurangkan risiko perlanggaran daripada kenderaan yang paling hampir dengannya kerana kebiasaanya kenderaan akan bergerak ke depan. Jarang kenderaan bergerak ke belakang. Kedua, supaya kita tidak terlindung daripada kenderaan paling rapat dengan kita dan untuk memudahkan kita dapat dilihat oleh kenderaan yang datang dari arah laluan yang sama dari belakang.
  7. Pihak sekolah menyediakan zon penurunan dan pengambilan pelajar yang selamat. Pihak PIBG, operator pengangkutan sekolah serta pentadbiran sekolah sama-sama memastikan semua kenderaan yang bergerak di zon sekolah perlu mematuhi had kelajuan kenderaan maksima 30kmj.

Perlu kerjasama semua pihak

Mengulas lanjut mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak, Kulanthayan menegaskan, ia adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

Katanya, kerjasama dan pembabitan semua pihak amat diperlukan untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin terutama ketika pergi dan balik dari sekolah.

“Ingin saya ingatkan semua pihak, kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bersendirian di mana-mana kawasan terutama ketika berada di atas jalan raya dan sewaktu ingin melintas jalan raya.

“Ini kerana kanak-kanak mempunyai pelbagai limitasi seperti dari segi saiz badan, di mana tubuh badan kanak-kanak yang kecil menyebabkan operator pengangkutan (pemandu van atau bas) mudah terlepas pandang kewujudan mereka.

“Bukan itu sahaja dari segi penglihatan, pemandangan seorang kanak-kanak hanya satu pertiga daripada orang dewasa dan dari sudut pendengaran pula kanak-kanak boleh mendengar bunyi kenderaan tetapi tidak tahu arah mana bunyi kenderaan tersebut sama ada di kanan atau kiri mereka,” ujarnya.

Sambung beliau, masyarakat tidak boleh menyalahkan kanak-kanak kerana itu limitasi mereka dan bagi yang berusia bawah lapan tahun perlu sentiasa diiringi orang dewasa bagi mengelak kejadian murid dilanggar bas atau van sekolah.

Kulanthayan berkata, disebabkan itu, pihaknya berpendapat kanak-kanak tidak boleh bersendirian di atas jalan raya termasuk melintas jalan berseorangan kerana mereka tiada kemampuan untuk membuat keputusan yang tepat.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggunakan data kemalangan pada tahun 2011, dipercayai faktor-faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya di dalam negara adalah 80.6 peratus disebabkan kelalaian manusia, 13.2 peratus berpunca daripada keadaan atau kondisi jalan raya manakala kenderaan hanya menyumbang 6.2 peratus daripada kemalangan yang berlaku.

Daripada statistik di atas dapat dilihat kelalaian manusia adalah punca utama dan disebabkan itulah masyarakat dinasihatkan agar ambil serius dan iktibar dengan kemalangan yang berlaku.

“Sekiranya di kawasan sekolah, ada sesetengahnya mengambil perkhidmatan warden lalu lintas atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal dan tidak kurang ada yang membuat bonggol dalam usaha memperlahankan kelajuan kenderaan apabila berada di kawasan sekolah mahupun perumahan.

“Begitu juga bagi tempat-tempat transit seperti tadika dan taska di mana cikgu-cikgu atau tenaga pengajar perlu menunggu di hadapan pintu pagar untuk menerima kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa atau pun operator pengangkutan.

“Sekiranya mereka tidak menyediakan perkhidmatan ini, adalah menjadi tanggungjawab operator pengangkutan untuk turun dan memimpin anak-anak ini masuk ke kawasan persekolahan sehingga selamat,” tuturnya lanjut.

Had toleransi

Pada masa yang sama, Kulanthayan turut menasihati semua pemandu agar mematuhi had laju yang telah ditetapkan terutamanya ketika berada di kawasan sekolah dan juga kawasan perumahan.

Berkongsi fakta, beliau memberitahu, tubuh badan setiap individu mempunyai had toleransi kecederaan di mana bagi orang dewasa ia sehingga 30 kilometer sejam (kmj) manakala kanak-kanak kurang daripada itu.

Disebabkan inilah kebanyakan kemalangan yang berlaku pada kanak-kanak akan mengakibatkan maut sama ada di tempat kejadian ataupun ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Apabila berlakunya perlanggaran, perpindahan tenaga akan terjadi dan sekiranya lebih dari 30kmj akan terjadinya kemalangan maut kerana badan tidak mampu menerima pemindahan tenaga yang tinggi melebihi daripada had toleransi kita.”

“Itulah sebabnya kenapa kawasan sekolah dan juga perumahan dihadkan kelajuannya,” katanya.

Oleh yang demikian, Kulanthayan menasihatkan para pemandu agar memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi had laju terutama di kawasan sekolah.

Silibus sekolah

Berbicara pula mengenai silibus sekolah yang turut mempunyai modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang telah diserap masuk ke dalam subjek Bahasa Melayu, beritahu Kulanthayan, ia merupakan peluang guru-guru untuk membantu anak-anak berada dalam keadaan selamat.

PKJR diperkenalkan di sekolah secara formal hasil kerjasama pintar Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2008 kepada murid Tahun Satu secara berperingkat.

Bagi membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkesan, modul guru dan buku aktiviti PKJR dibekalkan ke setiap sekolah untuk kegunaan murid serta guru.

“Oleh itu, ibu bapa seharusnya turut serta dalam memberikan pengetahuan berkaitan ilmu keselamatan jalan raya kepada anak berdasarkan situasi sebenar ketika di jalan raya,” katanya.

Panduan umum keselamatan jalan raya

  • Berdiri di atas kaki lima
  • Perhatikan lalu lintas sekeliling
  • Pandang kanan, kiri dan kanan semula sebelum melintas jika tiada kenderaan
  • Jangan bermain-main semasa melintas jalan
  • Pandang ke arah kenderaan yang datang semasa melintas
  • Pegang tangan orang dewasa semasa melintas
  • Berjalan di lorong pejalan kaki sekiranya ada dan disediakan

Artikel berkaitan 

17 sukarelawan UTHM pupuk kesedaran keselamatan jalan raya

4 pelajar bangunkan inovasi yang mampu mengurangkan kemalangan jalan raya

Tip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan