Untitled design (8)
Untitled design (8)

5 tip untuk pemula dalam kerjaya 'voice over'

Azleenda Sahaludin
10 Nov 2022 04:37pm
A
A
A

Sejak negara berdepan dengan pandemik Covid-19, ramai yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan lebih-lebih lagi melibatkan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Berpunca daripada itu, masyarakat dilihat mula mengambil peluang dengan menggunakan serta menjadikan media sosial sebagai tempat untuk menjana pendapatan sampingan.

Pelbagai perkara boleh dilakukan dalam usaha menambah pendapatan dan antaranya berniaga tidak kira yang berupa barangan ataupun tidak seperti suara.

menjadi artis 'Voice Over'.

Siapa sangka dengan hanya berbekalkan suara, ia boleh membantu menjana pendapatan sampingan harian antara RM500 hingga RM1,000.

Mereka yang menjual suara ini lazimnya dikenali sebagai artis ‘voice over’ dan kerjaya ini terbuka kepada sesiapa sahaja terutamanya pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini dilihat bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malahan ia turut memberi peluang kepada pelajar yang menceburi bidang ini mencipta penjenamaan diri sendiri.

Guru Sejarah, Sekolah Menengah Kebangsaan Serian, Sarawak, Cikgu Muhammad Syahdad Naquiuddin Hadi Suhardi berpendapat, untuk menjadi seorang artis 'voice over', ia tidak memerlukan kelunakkan suara atau bakat yang terpendam kerana ia boleh dipupuk melalui latihan yang berkala.

Cikgu Muhammad Syahdad ketika melakukan 'voice over'.

“Ada bezanya 'voice over' dulu dengan hari ini. Kalau dahulu, kebiasaannya suara yang mendalam itu lunak didengar.

“Tapi hari ini, zaman sudah berubah dan kebanyakan iklan di pasaran sudah mula memvariasikan suara latar bagi menarik perhatian umum.

“Jadi, tidak semestinya perlu ada suara yang sedap didengari baru boleh menjadi artis 'voice over', tetapi sekiranya ada, itu bonus,” katanya.

Selain itu, beliau yang pernah mengendalikan lebih kurang 200 majlis rasmi turut menjadi suara latar untuk beberapa iklan, antaranya Pengungsian Bangunan (Pengumuman Keselamatan Awam) untuk Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tambah Cikgu Muhammad Syahdad, ada beberapa tip yang boleh digunakan sekiranya ingin menjadikan bidang suara latar untuk menambah pendapatan sampingan.

Kepada Sinar Bestari, Cikgu Muhammad Syahdad kongsikan lima tip untuk yang baru mula hendak mencuba bidang ini.

Jom baca!

Tip asas dalam 'voice over'

1) Latihan yang berkala dapat membantu pelajar membiasakan diri supaya selesa dan tidak gugup semasa sesi rakaman. Pelajar perlu tahu, sekiranya mereka gugup atau gementar ia boleh menganggu proses rakaman sehingga boleh menimbulkan getaran dalam suara. Oleh itu, pelajar perlulah kerap menjalani latihan sama ada secara bersendirian ataupun bersama tenaga pengajar bidang suara latar yang lain. Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengurangkan rasa gementar dan lontaran suara akan jelas didengari.

2) Sebutan artikulasi yang jelas juga merupakan tip penting dalam bidang ini. Pelajar perlu tahu sebutan yang jelas dapat menjadikan sesebuah iklan itu menarik dan mudah difahami oleh pendengar.

3) Pengetahuan asas untuk suasana atau emosi video iklan yang diperlukan. Pelajar diingatkan untuk membuat kajian dahulu dengan meneliti skrip suara latar. Dari sini, pelajar boleh mengkategorikan suasana atau emosi yang bersesuaian dengan suara latar.

4) Pelajar juga perlu tahu cara mengawal pernafasan dengan betul. Mereka hendaklah sentiasa mengawal pernafasan agar rakaman suara tidak terlalu laju sehingga kedengaran tercungap. Selain itu, kesihatan emosi, mental dan fizikal juga perlu dijaga supaya dapat menghasilkan rakaman suara latar yang baik.

5) Ketahui juga cara menjaga suara mengikut kesesuaian badan masing-masing. Penjagaan suara ini adalah untuk memastikan tiada sebarang gangguan, contohnya suara yang serak. Hal ini kerana, ia akan menganggu rakaman suara latar yang telah dihasilkan. Bukan itu sahaja, penjagaan suara adalah perlu agar dapat menjaga kualiti hasil kerja mereka dalam bidang ini.

Artikel berkaitan

Ciri ‘voice typing’ dalam Google Docs bantu pelajar ambil nota dengan mudah

Ketahui 5 kaedah hadapi cabaran dalam kerjaya guru

Faedah bekerja sambilan dalam kalangan pelajar IPT


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan