6 cara mudah kawal murid dalam kelas
6 cara mudah kawal murid dalam kelas

6 cara mudah kawal murid dalam kelas

Roshlawaty Md Raieh
15 Sep 2022 02:00pm
A
A
A

Setiap murid mempunyai kerenah yang pelbagai ketika mengikuti sesi pembelajaran dalam kelas.

Ada yang banyak bercakap, ada yang terlalu pendiam, ada yang seakan tidak bersedia untuk belajar, ada yang suka membuat bising dan pelbagai lagilah kerenah yang boleh dilihat sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.

Dalam situasi sebegini, guru-guru dilihat perlu bijak memainkan peranan dalam mengendalikan murid-murid tersebut.

Walaupun teknik dan pendekatan yang digunakan itu mungkin tidak ‘menjadi’, namun tidak ada salahnya jika cikgu berkenaan tidak mengalah dan terus mencuba dalam apa jua cara.

Bagi membantu guru-guru mengawal dan mengendalikan murid ketika berada dalam bilik darjah, Sinar Bestari kongsikan enam cara mudah untuk mendepani perkara tersebut.

Perkongsian yang dibuat oleh Guru Cemerlang, Ustazah Aminah Mat Yusoff menerusi akaun Facebooknya itu, diharap dapat membantu semua guru di luar sana.

Jom semak beberapa tip mudah kawal murid dalam kelas cara Ustazah Aminah.

1) Mulakan kelas dengan disiplin dan adab yang sepatutnya

Ramai kawan bertanya bagaimana cara untuk mengawal kelas, misalnya suara cikgu tidak kuat tapi murid boleh senyap dan mendengar kata. Bila beraktiviti pula, murid riuh tetapi semuanya memainkan peranan.

Ini jawapan saya.

Pertama kali cikgu melangkah masuk kelas, pastikan semua murid berdiri tegak, tangan di sisi dan matanya memandang ke arah guru. Jika ada murid yang masih mengemas buku dan peralatan menulis tunggu sehingga mereka betul-betul bersedia.

Cara saya, saya akan mengucapkan salam dan murid menjawab dalam keadaan beradab kemudian semua murid menadah tangan dan saya doakan mereka. Langkah inilah yang paling penting. Sangat-sangat penting bagi saya seorang guru.

Walaupun ia dilakukan berulang kali tapi saya merasakan inilah senjata yang paling ampuh untuk saya mengawal murid.

2) Doa yang sangat mustajab di permulaan kelas ialah Surah Ibrahim ayat 40-41.

3) Kelantangan suara

Cikgu biasanya dianugerahkan suara yang kuat, makin ‘senior’ makin kuat suaranya. Mungkin kerana setiap hari mengasah suara di hadapan murid. Murid boleh mendengar dan fokus jika matlamat dan penerangan kita jelas, tidak semestinya menggunakan suara yang kuat.

Gunakanlah suara yang sederhana kerana ia lebih mesra pendengar. Murid yang dilatih bercakap dengan suara yang perlahan dan harmoni akan lebih menghormati guru, cepat faham, bersikap sederhana, tidak melawan dan lebih beradab.

4) Jangan tunjuk muka stres

Kepada semua cikgu, jika masuk ke kelas dinasihatkan tidak membawa hati yang stres. Ini kerana murid-murid pasti turut merasai perasaan guru terbabit. Banyakkan senyuman, sebarkan mahabbah dan kasih sayang kerana murid akan membalas kasih sayang guru dengan pelbagai cara.

Sesekali buatlah lawak depan murid dan ketawa sama-sama. Pasti seronok jadi cikgu. Guru yang bahagia melahirkan murid yang berjaya dan cemerlang.

5) Harapan

Gunakan masa, ruang dan peluang yang ada untuk kita bina harapan dan masa depan mereka. Selalu ceritakan kisah inspirasi kepada murid-murid supaya mereka jelas tujuan belajar dan ke sekolah.

Mengajar bukan semata-mata mahu menghabiskan tajuk dalam buku teks tetapi ada tujuan yang lebih besar iaitu membina karekter nilai dalam diri mereka. Rasa tidak berhasil sebuah pengajaran jika tidak mempu membangkitkan domain afektif murid.

6) Janji

Minta murid berjanji untuk amalkan apa yang cikgu berikan dalam kehidupan seharian. Jika cikgu hendak berjaya dalam urusan mendidik, jangan besarkan perkara negatif yang boleh menggagalkan usaha kita seperti terlalu memikirkan jika di rumah murid tidak ada kesinambungan, mak ayah tidak ambil kisah atau sebagainya.

Serahkan pada ALLAH, Dia pasti mendengar doa kita. Teruskan usaha dan yakin suatu hari nanti kita akan melihat hasilnya.

Artikel berkaitan 

Guru Cemerlang kongsi jalan pintas skor A+ Kimia SPM 2022

Tip kemahiran menggunting, guru dan ibu bapa boleh guna cara ini untuk ajar si kecil

23 cara memulakan PdPc, guru-guru boleh ambil tip ini sebagai rujukan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan