Gelisah bila tiba hari pencerapan? Perkongsian 6 tip Guru Besar Cemerlang ini mungkin membantu!
Gelisah bila tiba hari pencerapan? Perkongsian 6 tip Guru Besar Cemerlang ini mungkin membantu!

Gelisah bila tiba hari pencerapan? Perkongsian 6 tip Guru Besar Cemerlang ini mungkin membantu!

Roshlawaty Md Raieh
16 Aug 2022 11:48am
A
A
A

Perasaan gelisah, gundah gulana, gemuruh, berdebar dan sebagainya pasti akan dirasai para guru apabila tiba hari pencerapan.

Ini kerana, pencerapan atau penilaian yang dilakukan bukan perkara biasa kerana ia adalah hari penting buat semua guru.

Baru-baru ini, Guru Besar Cemerlang, Cikgu Halimi Md Rasip berkongsi enam tip penting khusus untuk barisan guru-guru generasi baharu yang bakal dicerap atau dinilai oleh pihak pentadbir.

Tip yang diberikan ini adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pendidik selama 25 tahun.

Cikgu Halimi yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Kepong, Kuala Lumpur, adalah seorang yang sangat berkaliber, berketerampilan dan disegani semua pihak.

Selain menjawat jawatan sebagai Guru Besar, Cikgu Halimi juga merupakan salah seorang Pemimpin Global School Leader (GSL) di mana objektif utamanya adalah menfokuskan peningkatan organisasi barisan pentadbiran sekolah melalui pelaksanaan program secara profesional, iaitu ke arah pembentukan budaya yang positif dan meningkatkan pembelajaran murid-murid di sekolah.

Untuk mengetahui lebih lanjut tip pencerapan oleh Cikgu Halimi, jom ikuti perkongsiannya.

Semoga memberi manfaat kepada semua.

1) Cuba fahami setiap aspek dalam Standard 4 SKPMg2

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 ataupun SKPMg2 merupakan satu elemen yang perlu dititikberatkan dalam persediaan guru menyediakan kualiti pengajaran yang berkesan dan berjaya.

Dalam SKPMg2 terdapat beberapa bidang pendidikan mencakupi kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid, pembelajaran dan pemudahcaraan dan kemenjadian murid. Namun, dalam Standard 4 iaitu pembelajaran dan pemudahcaraan menyatakan betapa guru berperanan untuk mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dan optimum.

Sebagai persediaan, molek kiranya kesemua enam tonggak dalam Standard 4 dijadikan panduan utama dalam memastikan pengajaran guru memenuhi kesemua elemen yang dinilai.

a) Guru sebagai perancang

b) Guru sebagai pengawal

c) Guru sebagai pembimbing

d) Guru sebagai pendorong

e) Guru sebagai penilai

f) Guru sebagai pembelajar aktif

2) Ambil kira keupayaan murid dalam merancang Rancangan Pengajaran Harian (RPH)

Penyediaan RPH merupakan perkara utama yang perlu diberi keutamaan di mana tiga tindakan yang perlu ada dalam sesebuah RPH iaitu mengandungi objektif yang boleh diukur, menentukan kaedah pentaksiran dalam pengajaran dan yang terakhir guru perlulah menyediakan bahan bantu mengajar (BBM) serta diselitkan dengan elemen Teknologi Maklumat dalam pengajaran guru tersebut.

Penyediaan BBM pula mestilah disediakan dengan lebih awal agar tidak berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini semasa pelaksanaan pencerapan. Persediaan mental dan fizikal pula perlulah diselarikan dengan persediaan elemen-elemen lain agar diri kita benar-benar mantap dan tampak bersedia di hadapan murid-murid serta pencerap.

Keadaan ini juga membolehkan kita untuk bersedia menerima penambahbaikan dan berlapang dada dengan sebarang teguran demi peningkatan kualiti pengajaran kita pada masa akan datang.

Berikut merupakan tiga tindakan yang perlu guru tahu apabila mengajar dalam sesebuah kelas.

i. mengikut pelbagai aras keupayaan murid

ii. mengikut peruntukan masa yang ditetapkan

iii. mengikut ketetapan kurikulum/arahan yang berkuat kuasa

3) Objektif pengajaran dan kriteria kejayaan mesti ditulis di hadapan kelas

Guru perlulah menulis objektif pengajaran dan kriteria kejayaan di hadapan kelas bagi memastikan pemantau dan murid-murid jelas dengan objektif utama pengajaran yang hendak dicapai dalam pengajaran yang disampaikan oleh guru tersebut.

Keadaan ini juga secara tidak langsung membantu guru itu sendiri untuk memastikan senantiasa berada dalam landasan betul yang perlu dicapai bagi memastikan pembelajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) berjaya dengan cemerlang.

4) PdPC berpusatkan murid (PAK21)

Terdapat 10 ciri Pembelajaran Abad ke-21 iaitu pembelajaran aktif, penggunaan teknologi, berpusatkan murid, murid faham dan patuh arahan, persekitaran kondusif, pembelajaran kendiri, saling menghormati, murid bertanggungjawab terhadap pelajaran mereka, penilaian berasaskan pencapaian dan pembelajaran kolaboratif.

Kesemua ciri ini sekiranya dijadikan panduan asas, sudah pasti pengajaran guru tersebut akan mencapai tahap yang ingin dicapai dalam Standard 4 SKPMg2. Guru juga perlu menyediakan tiga kemahiran kepada murid bagi memastikan elemen PAK21 meresap dalam diri seorang murid iaitu,

a) Kemahiran maklumat dan komunikasi

b) Kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah

c) Kemahiran interpersonal dan arah kendiri

5)‘Eye Contact’ dengan murid

Sebagai seorang guru yang prihatin, pandangan guru terhadap murid mempengaruhi kadar tumpuan mereka di dalam kelas. Murid-murid akan merasai kita selaku guru memberi perhatian terhadap mereka. Keadaan ini secara tidak langsung menggalakkan anak-anak didik untuk memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap butir pengajaran cikgu. Tambahan pula jika guru mengingati nama mereka.

Tidak dapat disangkal lagi murid-murid amat menyukai guru yang mengingati nama mereka di dalam kelas. Maka, sudah menjadi kewajipan guru-guru untuk sedaya upaya mengingati nama murid-murid. Ambil sedikit waktu untuk melihat senarai nama murid bagi kelas yang akan dipantau.

Baca berulang-ulang kali nama murid di dalam kelas tersebut sambil membayangkan wajah anak-anak tersebut. Proses pengajaran yang baik sudah tentulah disertakan dengan ‘eye contact’ tepat ke arah murid tersebut.

6) Pastikan kelas bersih dan meja tersusun

Sebelum memulakan sesi PdPC, ambil sedikit waktu untuk memastikan kelas dalam keadaan bersih dan kerusi meja tersusun dengan kemas pada kedudukannya.

Hal ini kerana, suasana pembelajaran yang bersih dan kondusif akan merangsang minat dan kadar tumpuan murid di dalam kelas tidak akan terganggu.

Tong sampah di dalam kelas pastikan tidak melimpah dan jangan biarkan sampah berterabur di atas lantai. Keselesaan murid-murid sudah tentunya menjamin keupayaan murid-murid untuk memberi kerjasama sepanjang sesi PdPC berlangsung.

Keadaan ini juga memberi keselesaan kepada guru pemantau yang berada di belakang kelas dalam mempengaruhi pemarkahan yang bakal beliau berikan.

“Bukankah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada iman!”

Semoga perkongsian ini mampu memberi impak dan inspirasi terhadap pembelajaran dan pemudahcaraan guru dalam menghadapi pencerapan sama ada oleh pihak pentadbir, jabatan mahupun Jemaah Nazir.

Seterusnya, berupaya melahirkan legasi guru yang kompeten, berdaya saing dan berupaya mengemudi pengajaran ke arah aspirasi pendidikan yang terunggul.

Diharapkan panduan ini dapat meredakan sedikit gundah gulana dalam menghadapi hari pencerapan tersebut.

Semoga berjaya!

Artikel berkaitan 

“Jangan bagi staf kita gementar”, kaedah pentadbir berperanan besar jadikan guru selesa semasa pencerapan 

Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!

Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan