rugbi2
rugbi2

Ini dia 4 tip bermain ragbi

Norliza Wasilan
22 Aug 2022 02:09pm
A
A
A

Mengenali sukan ragbi, mungkin ramai daripada kita berpendapat ia permainan yang cukup lasak dan kasar.

Bagaimanapun, apabila mula mengenali sukan itu, kita akan tahu ragbi boleh membentuk disiplin dan stamina pelajar sekolah yang menceburkan diri dalam bidang ini.

Ketua Jurulatih Ragbi Tujuh Sebelah (7s) atau lebih dikenali sebagai Skuad Bunga Raya, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, 39, berkongsi pandangannya tentang kaedah sukan itu boleh membantu dan memberi manfaat kepada pelajar.

Beliau yang membantu pasukan ragbi kebangsaan meraih beberapa pingat di peringkat antarabangsa berkata, sukan itu memang boleh menjadikan seseorang pelajar memiliki tahap disiplin tinggi dan pada masa sama menguatkan stamina.

“Sukan ini bagus kerana mampu membentuk disiplin serta stamina setiap pemain dan dalam ragbi juga mereka perlu pastikan keadaan kesihatan berada dalam keadaan baik. Disiplin diterapkan bagi memastikan permainan dijalankan mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan sukan itu di sekolah, Mohd Saizul tidak menafikan hari ini semakin ramai murid sekolah yang meminati ragbi.

Berikutan itu, beliau melihat perkara berkenaan sebagai sesuatu yang positif memandangkan ragbi adalah antara sukan dilihat mempunyai masa depan cerah.

“Saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang amat positif kerana kita boleh nampak makin banyak sekolah sudah menubuhkan pasukan ragbi masing-masing.

"Sukan ini juga mempunyai masa depan yang baik, ini dibuktikan dengan adanya pemain (ragbi di negara ini) yang dapat bermain bersama pasukan di luar negara,” tuturnya lagi.

Kepada pelajar yang mahu menjinakkan diri dalam sukan lasak ini, Mohd Saizul ada berkongsi beberapa panduan untuk anda antaranya membabitkan aspek kesihatan, latihan, disiplin dan semangat berpasukan.

Kepada peminat ragbi, Ketua Jurulatih Kebangsaan itu juga berkongsikan empat tip kepada pembaca. Jika ini dipatuhi, Insya-ALLAH ia sangat membantu anda nanti.

5 jenis kecederaan yang selalunya berlaku dalam sukan ragbi

  1. Koyak otot hamstring

    Ini terjadi apabila berlaku regangan atau koyak pada gentian otot dan tisu sekeliling. Rawatannya pula bergantung pada tahap kecederaan bermula daripada konservatif sehinggalah membawa kepada pembedahan.

  2. Kecederaan muka dan kepala

    Kecederaan seperti lebam ini selalunya berlaku kepada pemain posisi depan.

  3. Sendi terseliuh membabitkan buku lali dan bahu

    Kecederaan membabitkan ligamen lateral koyak adalah yang paling kerap berlaku membabitkan pemain. Ini sekali gus membawa risiko kepada kecederaan berulang akibat sendi buku lali yang tidak stabil. Sendi bahu yang terseliuh selalu berlaku pada sendi akromio-klavikular disebabkan oleh rempuhan pihak lawan atau terjatuh.

  4. Patah – tulang jari dan tulang selangka

    Patah pada tulang jari berlaku apabila pemain cuba menangkap bola tetapi pertembungan berlaku pada hujung jari.

  5. Sendi terkeluar – bahu

    Biasanya berlaku apabila pemain terjatuh dengan tangannya terbuka keluar. Keadaan ini memerlukan rawatan segera daripada doktor.

Tahap Kesihatan

Ragbi amat mementingkan keselamatan dalam permainan kerana sukan ini memerlukan ketangkasan dalam mencari mata. Oleh itu, pelajar yang mahu terbabit dengan sukan ini mestilah sihat dan tidak mempunyai sejarah kesihatan berkaitan jantung.

Latihan bebanan

Jika pemain tidak mempunyai otot yang cukup kuat untuk menahan hentakan ketika perlawanan, maka risiko untuk mengalami kecederaan sangat tinggi. Latihan bebanan antaranya merujuk kepada cara meningkatkan kekuatan otot, iaitu kemampuan melakukan aktiviti untuk mengatasi rintangan atau mengangkat beban dengan menggunakan daya yang maksimum.

Disiplin

Setiap pelajar wajib memiliki ilmu pengetahuan mengenai perkara ini, tanpa disiplin tentulah banyak kecederaan boleh berlaku sehingga menjejaskan keseluruhan permainan. Kecederaan yang biasa berlaku dalam ragbi antaranya ialah membabitkan muka, koyak otot, hamstring dan terseliuh pada sendi membabitkan bahu dan buku lali. Kecederaan buku lali dan sendi pada bahagian bahu juga kerap berlaku membabitkan pemain akibat rempuhan daripada pihak lawan ketika perlawanan. Oleh itu, aspek kemahiran dalam sukan ini memainkan peranan cukup penting kerana ia membantu mengurangkan kecederaan sama ada membabitkan ahli dalam pasukan atau pasukan lawan.

Semangat kerjasama

Memandangkan ragbi bukan sukan individu, maka semangat kerjasama dan komunikasi dalam pasukan menjadi perkara yang amat penting. Tip ini tidak hanya membabitkan ragbi saja, tetapi juga dalam sukan lain.

Artikel berkaitan

Dani, ikut jejak bapa otai ragbi, Rayyan, antara pelapis skuad Sekolah Kebangsaan Sungai Choh

Sukan ragbi serlah bakat murid-murid SK Bandar Tun Hussein Onn (2)

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan