Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan
Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

Roshlawaty Md Raieh
19 Jul 2022 09:14am
A
A
A

Walaupun menggunakan peralatan yang sudah lusuh dan reput ketika berlatih, tetapi guru-guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Choh, Rawang, Selangor tetap bersemangat menjalani latihan ragbi.

Bagi mereka, peralatan lusuh dan reput seperti bola dan jersi itu bukanlah satu halangan untuk mereka aktif berlatih dalam sukan tersebut.

Apa yang mereka mahukan, bawa pulang kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Kerana sentiasa berlatih dan berusaha tanpa mengenal erti jemu, baru-baru ini SK Sungai Choh telah muncul johan dalam Kejohanan Ragbi Rimau B12 Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD) Hulu Selangor - kategori Cup (Trophy) dengan menewaskan sekolah-sekolah cemerlang dan berprestasi tinggi di daerah tersebut.

Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Efindi Che Haat berkata, kejayaan merangkul johan begitu bermakna buat warga sekolah, lebih-lebih pada pasukan ragbi sekolah ini.

“Memang tak sangka. Dalam kekurangan berkaitan peralatan, pasukan ragbi sekolah mampu membuktikan yang mereka boleh berjaya seperti pasukan lain.

“Sebagai wakil guru, sudah tentu kami sangat bangga dan gembira di atas pencapaian mereka yang tidak pernah merungut walaupun terpaksa menggunakan bola reput dan lusuh untuk berlatih dan memakai jersi lama yang telah digunakan sejak dua dekad yang lalu,” katanya dengan menambah, kali terakhir SK Sungai Choh muncul johan ragbi Cup Rimau adalah pada 2007.

Tarik perhatian AJK PIBG yang baharu

Kisah bola reput dan jersi lama yang digunakan pasukan ragbi SK Sungai Choh ini telah menarik perhatian ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang baharu dilantik Jun lalu.

Salah seorang AJKnya iaitu Nursalwana Tamin telah menemui Cikgu Efindi untuk berbincang dan menyenaraikan peralatan yang diperlukan bagi penambahbaikan pasukan berkenaan.

Katanya, PIBG SK Sungai Choh akan berusaha membantu pihak sekolah yang mungkin memerlukan pertolongan dalam aspek-aspek tertentu.

“Kami AJK PIBG yang baharu tidak mahu menoleh kebelakang lagi dan mencari kesalahan. Kami percaya setiap AJK yang dilantik punya cara tersendiri dalam memimpin.

“Insya-ALLAH, barisan AJK PIBG yang baharu dilantik ini akan membantu dan membawa banyak perubahan pada SK Sungai Choh pada masa hadapan,” ujarnya.

https://www.tiktok.com/@wanatamin1/video/7117167348708052250?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1

Selain peralatan sukan, Nursalwana berkata, PIBG SK Sungai Choh juga turut berbincang bersama pihak sekolah untuk mewujudkan pelbagai jenis sukan baru dibawah program RINTIS PIBG dengan membawa tagline #SKSCBANGKITBERSAMA.

“Kami telah mengenal pasti jenis sukan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang boleh dibawa ke program Rintis PIBG. Antaranya adalah ragbi, bola jaring, memanah moden, catur, tenis, badminton dan bola sepak.

“Pihak PIBG juga cukup berpuas hati dan berterima kasih kepada Guru Besar, Shukri Sulong yang sentiasa berfikiran terbuka dan memberi sokongan padu serta memudahkan urusan PIBG dalam berbagai aspek,” katanya dengan berkongsi maklumat di mana Yang Dipertua PIBG SK Sungai Choh, Mohd Hafiz Maarof dan barisan AJK PIBG lain telah membuat pelan tindakan untuk memohon sumbangan daripada badan swasta dan kerajaan bagi membantu pihak sekolah menambah baik keperluan murid dan guru serta sekolah berkenaan.

Dengan barisan AJK PIBG 2022 dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB), pihak sekolah percaya yang pasukan ragbi ini dapat mara ke peringkat kebangsaan kelak, insya-ALLAH.

Artikel berkaitan 

Kepakaran penyelidik UTM dan UiTM dalam teknologi 3D berjaya hasilkan tangan palsu untuk mangsa ragut

Rifqah dan Munajjah unggul dalam sukan catur, pasangan adik beradik aktif catur sejak dari kecil

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan