Ketahui 5 kaedah hadapi cabaran dalam kerjaya guru
Ketahui 5 kaedah hadapi cabaran dalam kerjaya guru

Ketahui 5 kaedah hadapi cabaran dalam kerjaya guru

Roshlawaty Md Raieh
09 Nov 2022 05:57pm
A
A
A

Orang ramai melihat kerjaya seorang guru itu sangat menyeronokkan. Ini kerana, golongan pendidik dibekalkan dengan himpunan cuti yang banyak dan juga gaji yang cukup tinggi.

Bagaimanapun, kerjaya ini sebenarnya banyak tanggungjawab dan cabaran yang perlu dipikul.

Jika tidak kuat dari segi mental dan fizikal, pastinya akan ‘rebah’.

Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan berkata kepada Sinar Bestari, guru masa kini perlu berhadapan dengan ragam dan perangai murid dan ia bukanlah perkara yang mudah diuruskan.

Banyak tugas perlu dilaksanakan yang bukan merangkumi mendidik murid sahaja tetapi lebih daripada itu.

Menurut Ustaz Quszaini lagi, tugas-tugas lain seorang guru seperti mengambil kehadiran murid, pengurusan Rancangan Makanan Tambahan, pengurusan susu sekolah, latihan rumah sukan, latihan badan beruniform, kelab, kelas tambahan, ceramah dan sebagainya memang memenatkan.

Ia ditambah pula dengan kewajipan untuk menghadiri pelbagai kursus atau mewakili sekolah untuk persidangan dan pelbagai aktiviti sampingan lain.

Sambung Ustaz Quszaini lagi, skop tugasan seorang guru sememangnya begitu mencabar.

“Cabaran di sini membawa maksud sesuatu hal atau perkara yang menguji kemampuan dan ketabahan seseorang yang ada kaitannya dengan sesebuah organisasi.

“Oleh itu, guru mesti sabar, tabah dan kuat dalam mengharungi cabaran dalam dunia pendidikan hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, ada beberapa kaedah yang boleh diamalkan warga pendidik di sepanjang mereka bergelar cikgu.

Kepada Sinar Bestari, Ustaz Quszaini kongsikan lima kaedah penting tersebut.

Jom baca!

Kaedah hadapi cabaran sebagai guru

1) Kuasai ilmu pengetahuan yang setaraf dengan era globalisasi. Guru-guru perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan alatan yang semakin canggih dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Kalau kita lihat dahulu teknologi dan instrumen dalam bidang pendidikan amat terhad dan guru-guru tidak berpeluang mendedahkan diri kepada teknologi dalam bidang pendidikan. Hal ini menyebabkan sebahagian guru tidak mahir menggunakan teknologi. Isu ini harus dibendung segera kerana guru seharusnya mengikut perkembangan semasa dan mengajar teknologi ini kepada pelajar. Contohnya, guru perlu memahirkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat agar dapat maklumat terkini dengan pantas dan berkualiti. Oleh itu, guru haruslah mempelajari teknologi yang pelbagai dalam pendidikan dan usaha memajukan diri agar dapat mengikuti perkembangan semasa.

2) Menjadi pemimpin pengajaran yang berkesan

Guru perlu bertindak sebagai ketua (leader) dan menguasai ilmu kepimpinan dengan berkesan. Menurut Glickman (1990), peranan kepimpinan guru dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya pemimpin tersebut mempunyai tiga kategori iaitu keperluan menguasai ilmu pengetahuan yang luas; tugasan, tanggungjawab dan keperluan mempraktik kemahiran serta kepakaran. Apabila memberi tugasan kepada murid, guru harus memberi penekanan kepada matlamat setiap tugasan dan murid perlu tahu prosedur menimba ilmu dan penemuan diri.

3) Jangan malu bertanya dan menimba pengalaman dari guru berpengalaman.

Dalam usaha menimba pengalaman, guru baharu perlu banyak menimba ilmu selok belok perguruan dari guru berpengalaman.

Ini kerana, tidak semua yang dipelajari di Institut Pendidikan Guru (IPG) dapat diimpelementasi dalam pengajaran di sekolah. Orang lain tidak boleh membantu melainkan dengan inisiatif dari guru itu sendiri. Kepakaran setiap guru adalah pelbagai. Jadi, timbalah ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin dalam usaha membina anak bangsa yang berilmu, berketrampilan dan berwawasan.

4) Guru perlu memikirkan kaedah dan wujudkan kajian tindakan terhadap permasalahan murid di sekolah.

Cuba selesaikan kajian tindakan terhadap murid sendiri di sekolah. Ini dapat memberi kefahaman yang menyeluruh berdasarkan kajian dan statistik. Sebagai contoh dalam subjek Pendidikan Islam, sekiranya murid tidak dapat membezakan huruf shin atau tsa, guru boleh menggunakan kaedah tertentu atau memperkenal suatu alat bagi memastikan murid dapat membuat perbezaan dengan baik dan faham. Secara asasnya memudahkan murid adalah paling penting dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.

5) Guru perlu sentiasa mengemaskini pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pendidikan serta berusaha mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran dan pendidikan terkini.

Artikel berkaitan 

Kerana kasih seorang guru, Ustaz Ismail sanggup ke sekolah di pedalaman kongsi ilmu robotik

Susherrie kebanggaan suku Semai, jadi anak Orang Asli Perak pertama terima ijazah kelas pertama di London

3 kaedah mudah tangani keciciran murid Orang Asli, ini perkongsian Ustaz Quszaini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan