photo6292076795029205426 (1)
photo6292076795029205426 (1)

Kerana kasih seorang guru, Ustaz Ismail sanggup ke sekolah di pedalaman kongsi ilmu robotik

Roshlawaty Md Raieh
08 Nov 2022 02:45pm
A
A
A

Pendidikan robotik dalam kalangan pelajar sekolah di pedalaman masih kurang berkembang berbanding pelajar di bandar.

Ini diakui sendiri Ketua Kelab Robotik, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ustaz Ismail Salleh kepada Sinar Bestari.

Beliau yang juga Guru Cemerlang Hifz al-Quran berkata, pendidikan robotik memerlukan kos yang tinggi untuk membeli alatan bagi kegunaan pelajar.

Justeru, mana mungkin sekolah di kawasan pedalaman mampu membeli segala keperluan tersebut untuk dijadikan alat bantuan mengajar.

Menurut Ustaz Ismail, dia begitu terkesan dengan apa yang dilalui anak-anak didik di pedalaman yang ketinggalan dalam ilmu robotik.

Dalam diam, Ustaz Ismail mula mencari solusi untuk membantu pelajar-pelajar di pedalaman dan akhirnya tercetuslah program Everyone Can Coding On Robotic iaitu program pengaturcaraan robotik yang membantu memperkasakan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan robotik dalam kalangan pelajar di sekolah luar bandar khususnya di daerah Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah.

Peserta Everyone Can Coding On Robotic khusyuk mengikuti program itu di SK Datin Fatimah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Ismail memberitahu, Sekolah Kebangsaan (SK) Datin Fatimah, Kuala Nerang, Kedah merupakan sekolah pertama yang mengikuti program pengaturcaraan robotik.

Mendapat kerjasama dengan beberapa syarikat iaitu Telaga Biru Sdn Bhd, Denakan Technologies, Tech Up Sdn Bhd dan beberapa badan korporat lain, ia menjadikan program pengaturcaraan robotik tersebut berjalan lancar.

Ujarnya, program sehari tersebut yang diadakan di SK Datin Fatimah telah disertai 15 orang murid dengan pelbagai aktiviti telah diadakan dan rata-rata para peserta begitu teruja.

Murid SK Datin Fatimah mengikuti aktiviti pengaturcaraan robotik yang dikendalikan oleh Ustaz Ismail.

“Menerusi program ini, saya berharap peserta akan dapat menguasai sedikit sebanyak asas pengaturcaraan robotik sekali gus memberikan mereka semangat untuk menguasai mata pelajaran STEM dan teknologi di sekolah,” ujarnya yang akan memperluaskan program robotik dalam komuniti kampung dan luar bandar tidak lama lagi.

Sementara itu, ulas Ustaz Ismail lanjut, SK Datin Fatimah merupakan sekolah lamanya.

“Sekolah ini banyak berjasa kepada saya. Jadi apa salahnya, kali ini giliran saya pula menyumbang segala kepakaran kepada anak-anak murid SK Datin Fatimah,” katanya mengakhiri perbualan dengan Sinar Bestari.

INFO

  • Ustaz Ismail merupakan penerima Anugerah Khas Inovasi Pendidikan Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan tahun 2021.
  • Beliau pernah membangunkan Inovasi Mushaf Digital iaitu aplikasi hafazan Smart Al-Quran Memorization (Smart Al-Q).
  • Aplikasi Smart Al-Q itu berkonsepkan pembelajaran menggunakan pancaindera seperti visual, auditori dan kinestatik.
  • Smart Al-Q berjaya meraih sembilan pingat emas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak ia dibangunkan pada 2019.

Artikel berkaitan 

Kenali 3 guru aktif di media sosial dengan pengikut yang ramai

ECS 4 pelajar Malaysia bawa tuah! Raih pingat emas pertandingan inovasi di Jerman

Pernah hampir dibuang universiti akibat gagal subjek Kimia, Cikgu Hailmi kini guru cemerlang Sains


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan