pexels-polina-tankilevitch-6927363
pexels-polina-tankilevitch-6927363

Manfaatkan duit raya anak-anak dengan 5 tabung simpanan pendidikan

Adlan Farhan Azwan
09 May 2022 11:42am
A
A
A

Bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri, budaya memberi duit raya kepada kanak-kanak sudah hampir menjadi satu ‘kewajipan’ malah ada yang menganggap ia menjadi satu bebanan bagi segelintir individu yang kurang berkemampuan.

Harus diingatkan bahawa amalan memberi duit raya ini bukanlah satu kewajipan dan dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu menerapkan sifat bersyukur dalam diri anak-anak.

Sekiranya anak-anak masih menerima duit raya, ibu bapa harus bertanggungjawab bagi memastikan kesemua duit tersebut dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Pelbagai perkara berfaedah yang boleh dilakukan dengan duit raya yang diterima oleh anak-anak. Namun, amat digalakkan agar membuat simpanan bagi menjamin masa depan mereka.

Baca juga

Guru muda wajib tahu, panduan asas dalam pengurusan kewangan

(VIDEO) “Terima kasih cikgu, bagi duit dekat saya untuk buat cermin mata”

Jadi, kali ini Sinar Bestari kongsikan dengan anda semua terutamanya ibu bapa atau penjaga di luar sana mengenai lima tabung simpanan pendidikan yang boleh digunakan untuk menyimpan duit raya anak-anak.

1. Amanah Saham Bumiputera Didik (ASB 3 Didik)

Khusus bagi golongan bumiputera, ibu bapa boleh memilih untuk menyimpan duit anak ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera Didik (ASB 3 Didik). Simpanan yang dilakukan ke dalam akaun ini akan menyediakan keperluan kewangan masa depan untuk perbelanjaan pendidikan anak.

Dengan hanya kadar serendah RM100, ibu bapa atau penjaga sudah boleh membuka akaun ASB 3 Didik dan seterusnya membuka “Akaun Bijak” yang dijadikan sebagai tabung pendidikan anak-anak. Jika anak telah mencapai usia 18 tahun, status akaun ini akan ditukarkan secara automatik kepada akaun dewasa.

2. Tabung Haji

Selain daripada mendaftarkan anak untuk menunaikan ibadah Haji, Tabung Haji juga merupakan pilihan yang terbaik buat ibu bapa atau penjaga yang beragama Islam sebagai tabung pendidikan anak.

Kebiasaannya, kebanyakan ibu bapa memilih akaun simpanan Tabung Haji untuk menyimpan duit raya anak-anak kerana ia dijamin oleh kerajaan dan patuh syariah.

Kita sedia maklum bahawa giliran untuk menunaikan ibadah haji semakin panjang saban hari. Jadi, ibu bapa amat digalakkan membuka akaun Tabung Haji sewaktu anak masih bayi dengan syarat jumlah wang minimum RM1,300.

Selain itu, Tabung Haji juga menawarkan kadar dividen dan bonus yang akan memberikan pulangan tambahan kepada akaun anak anda.

3. SSPN-i Plus

Skim Simpanan Pendidikan Negara (SSPN-i Plus) ialah skim simpanan pendidikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai satu usaha untuk membantu rakyat Malaysia menabung bagi tujuan melanjutkan pengajian tinggi. Bukan itu saja, perancangan simpanan pelajaran SSPN-i Plus juga menawarkan perlindungan takaful.

Ibu bapa juga dapat menikmati faedah menyimpan duit anak-anak untuk pendidikan seperti pelepasan cukai sebanyak RM6,000 setahun.

Selain itu, perlindungan takaful percuma juga akan disediakan untuk pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 ke atas dengan penawaran kadar dividen yang kompetitif.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

4. Akaun Simpanan

Akaun simpanan merujuk pada akaun bank yang membolehkan ibu bapa atau penjaga menyimpan wang simpanan dengan selamat. Ibu bapa boleh membuka akaun simpanan dengan amaun serendah RM1 bergantung pada bank pilihan kerana setiap bank mempunyai polisi yang berbeza.

Walaupun kadar faedahnya lebih rendah berbanding dengan platform tabung pendidikan lain yang telah disebutkan di atas, akaun simpanan ini masih lagi pilihan yang baik sebagai tabung simpanan pendidikan untuk anak-anak berbanding menyimpan dalam tabung biasa.

5. Simpanan tetap

Pertimbangkan untuk melabur sebahagian wang anda ke dalam akaun deposit tetap Islam untuk mendapatkan keuntungan. Untuk pengetahuan anda, penggunaan simpanan tetap lebih cenderung kepada sesiapa yang berhasrat untuk memperoleh keuntungan selain daripada mengetepikan wang untuk tabung kecemasan.

Ibu bapa atau penjaga perlu membuat penyelidikan terlebih dahulu tentang pemilihan bank untuk memulakan penyimpanan pendidikan di dalam akaun simpanan tetap atas faktor terma dan kadar keuntungan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan