Teknik '3S' untuk calon UPKK 2022 amalkan. Penting!
Debaran peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2022 makin terasa.
Walaupun tarikh pelaksanaannya dipinda kepada 28 November hingga 1 Disember dan 5 Disember depan, namun calon-calonnya masih tetap gelisah dan gementar untuk berdepan dengan hari peperiksaan itu.
Bagaimanapun, Sinar Bestari percaya dalam keadaan itu, mereka masih gigih membaca, memahami, membuat latihan dan menghafal segala fakta berkaitan subjek Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Jawi dan Khat; Adab dan Lughah al-Quran.
Menurut Guru UPKK (Sirah), Sekolah Rendah Agama Puncak Alam, Selangor, Ustazah Munera Hashim, 39, rasa takut dan gelisah itu adalah perkara normal bagi setiap calon peperiksaan.
Cuma mereka dinasihatkan untuk tidak gelisah secara berterusan kerana boleh mengganggu persediaan yang telah dilakukan sebelum ini.
“Nasihat saya, jika ada murid-murid yang resah, tidak tenteram dan gagal menumpukan perhatian, seelok-eloknya berehatlah sekejap daripada mengulang kaji pelajaran.
“Bila keadaan sudah reda, lakukanlah sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian daripada keresahan tadi seperti berjalan di taman, menonton televisyen dan lain-lain lagi,” katanya yang sudah bergelar pendidik selama 15 tahun.
Sementara itu, Ustazah Munera yang berasal dari Felda Gunung Besout, Perak berkata, untuk cemerlang dalam UPKK, setiap calon perlu mengamalkan tip belajar yang berkesan dan bersesuaian dengan mereka.
Bagi membantu calon-calon ini, Ustazah Munera kongsikan teknik menjawab UPKK untuk murid-murid amalkan.
“Saya harap perkongsian ini dapat membantu mereka beroleh kejayaan yang cemerlang dalam UPKK nanti, insya-ALLAH,” ujarnya.
Teknik ‘3S’ iaitu sebelum, semasa, selepas
SEBELUM
1) Berdoa - Berdoalah dengan cara yang betul dengan menyebut segala hajat yang diinginkan, mohonlah pada ALLAH setinggi-tinggi permintaan. Sentiasa meminta ibu bapa dan guru mendoakan kejayaan kita. Jangan lupa mendoakan orang lain iaitu rakan-rakan seperjuangan kerana setiap doa kita untuk orang lain akan berbalik kepada kita.
2) Maaf - Mohon keampunan daripada ibu bapa dan guru. Jika kita mendapat restu keampunan, insya-ALLAH akan dipermudahkan oleh ALLAH dalam segala urusan.
3) Wuduk - Jadikanlah amalan mengekalkan wuduk semasa mengulang kaji pelajaran dan ketika peperiksaan. Apabila kita berwuduk, maka kita berada dalam keadaan bersih dan apabila bersih, syaitan tidak akan menghampiri kita untuk mengganggu pemikiran, emosi dan hati.
4) Solat - Amalkan sebelum mengulang kaji pelajaran dengan melakukan solat sunat dua rakaat. Adalah lebih baik melakukan solat duha pada setiap pagi dan solat hajat pada setiap malam kerana dalam solat ada doa, kemaafan dan ketenangan.
5) Surah al-Mulk - Jadikan amalan dengan membaca al-Mulk. Ia juga amat baik dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPKK.
SEMASA
1) Nota - Mengulang kaji pada saat akhir adalah tidak sesuai untuk murid membaca buku teks kerana boleh mengganggu emosi dan hilang ketenangan tetapi murid perlu membaca nota penting yang menarik dan mudah faham.
2) Ambil tahu - Soalan yang kerap keluar dalam peperiksaan kebiasaannya akan keluar lagi. Oleh itu, murid perlu mengulang kaji soalan UPKK lima tahun sebelumnya dan secara tidak langsung dapat mengesan soalan yang kerap keluar. Soalan yang langsung tidak pernah keluar juga perlu diberi perhatian.
3) Tulis - Bagi memantapkan ingatan, isi penting yang telah dihafaz, ulang dengan menulis semula tanpa melihat nota.
4) Soal jawab - Melakukan sesi soal jawab isi penting yang telah dihafaz. Sama ada secara lisan atau bertulis.
5) Basmallah - Jangan lupa masuk ke dewan dengan langkah kaki kanan dan membaca basmallah.
SELEPAS
1) Berdoa dan bertawakal - Teruskan amalan ‘SEBELUM’ sebagai kekuatan doa dan tawakal kita kepada ALLAH. Jangan lupa ucapkan alhamdulillah.
Tip Menjawab Peperiksaan UPKK
1) Pastikan diri sentiasa berada dalam keadaan berwuduk semasa ujian atau peperiksaan supaya beroleh ketenangan akal dan jiwa.
2) Sebelum membuka kertas soalan, mulakan •dengan bacaan surah al-Fatihah, al-Insyirah, selawat ke atas Nabi dan membaca doa. Jika anda terlupa apa yang dipelajari, perbanyakkan berselawat.
3) Buka soalan dengan bacaan basmallah. Dengan basmallah kita memohon kasih dan sayang daripada ALLAH supaya dilapangkan fikiran, dicambahkan idea, diluaskan ingatan dan dijauhi daripada segala gangguan.
4) Murid perlu baca dan faham semua arahan soalan supaya tidak melakukan kesalahan dan kelalaian semasa menjawab soalan.
5) Murid perlu melihat keseluruhan soalan di setiap muka surat supaya dapat mengesan soalan yang mudah dan yang disukai.
6) Murid perlu memulakan dengan menjawab soalan objektif kerana kebiasaannya soalan aneka pilihan ini lebih mudah dan merupakan soalan penenang bagi calon. Bulatkan pada nombor soalan yang belum dijawab supaya tidak lupa untuk menjawab.
7) Pastikan anda membaca soalan sehingga habis dalam keadaan tenang. Tandakan kata kunci yang terdapat pada soalan bagi mengelak kekeliruan. Bagi soalan petikan, cari kata kunci yang sama pada soalan yang terdapat pada petikan kemudian gariskan jawapan.
8) Pastikan anda menjawab semua soalan dan jangan dibiarkan kosong tanpa jawapan. Jangan lupa 30 minit sebelum masa tamat, semak semula semua soalan dan pastikan semuanya dijawab.
Artikel berkaitan
Ketua Pengarah Jakim umum tarikh baharu UPKK
8 tip yang perlu diamalkan sebelum UPKK bermula!
5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!