8 tip yang perlu diamalkan sebelum UPKK bermula!
8 tip yang perlu diamalkan sebelum UPKK bermula!

8 tip yang perlu diamalkan sebelum UPKK bermula!

Roshlawaty Md Raieh
02 Oct 2022 03:06pm
A
A
A

Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2022 akan bermula 28 November hingga 1 Disember depan.

Ketika ini, semua murid Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) yang menggunakan sukatan pelajaran kurikulum Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pastinya sedang membuat persiapan rapi sebelum menduduki peperiksaan tersebut.

Bagi Guru Bahasa Arab, SK Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan, UPKK adalah peperiksaan yang menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid-murid dalam bidang Pengajian al-Quran; Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah); Sirah; Adab (Akhlak Islamiyah); Jawi, Imlak dan Khat; Asas Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, Ustaz Quszaini berkata, setiap murid sudah tentu menginginkan keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam peperiksaan UPKK 2022.

Latihan dan ulang kaji yang berterusan semestinya sedang dilakukan oleh murid-murid Tahun Lima ini.

“Saya mahu berkongsi beberapa tip mudah untuk anak-anak UPKK amalkan sebelum peperiksaan bermula.

“Insya-ALLAH, jika anda amalkan sekarang, keputusan cemerlang boleh diperoleh,” jelasnya.

Untuk perincian lanjut mengenai tip tersebut, Sinar Bestari sertakan di sini sebagai rujukan murid Tahun Lima dan juga para ibu bapa.

Semoga cara ini dapat membantu adik-adik semua.

1) Lapang dada dan tumpukan perhatian

Ketika ini, tentunya murid-murid bertungkus lumus menyediakan nota dan persediaan terakhir sebelum menduduki peperiksaan UPKK. Dalam kekalutan itu, murid dinasihatkan agar tidak panik! Mohon berlapang dada dan beri tumpuan dalam keadaan tenang. Insya-ALLAH, anda pasti berjaya.

2) Semak jadual

Semakan jadual terkini peperiksaan UPKK amat penting bagi menentukan masa mencukupi atau pun tidak untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir. Setelah semakan dilakukan, buat latihan dan ulang kaji sebagai persediaan untuk peperiksaan ini.

3) Ulang kaji

Kunci bagi peperiksaan adalah ulang kaji. Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu. Ini penting bagi mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Kebiasaannya, banyak latihan yang dibuat, akan banyak kekuatan mengingat untuk sesuatu topik. Jangan sesekali jemu untuk membuat ulang kaji. Langkah ini adalah untuk membiasakan anda dengan soalan standard dan seterusnya membolehkan ingatan murid kekal dan berpanjangan.

4) Gunakan gambar rajah dan carta alir

Semua murid suka pada bahan atau alat bantu visual. Ia sangat membantu apabila menyemak semula topik-topik yang hendak diulang kaji. Gariskan dengan pen atau terangkan mana-mana isi yang penting. Pada permulaan sesuatu topik, pastikan anda menulis semua perkara yang sudah anda hadam dan barulah seterusnya ke sub-sub yang masih belum dikuasai. Manakala apabila hampir dengan peperiksaan, cuba letakkan nota semakan anda ke dalam rajah satu muka surat. Buatkan gambarajah atau carta alir dalam format ringkas. Ini dapat membantu murid untuk cepat mengingat semua fakta yang telah dipelajari.

5) Guru bersama murid membincangkan koleksi soalan UPKK

Guru boleh mengajak murid bersama-sama membincangkan soalan lepas UPKK. Ini adalah untuk membiasakan murid dengan soalan. Murid dapat mengenali bentuk soalan yang akan dijawab pada peperiksaan nanti. Guru akan tahu kelemahan murid pada soalan dan topik tertentu. Ini merupakan bonus kepada guru untuk memberi penekanan kepada tajuk yang rumit dan sukar. Latihan dan pembetulan perlu diteruskan untuk menjadikan murid bersedia dengan peperiksaan sebenar.

6) Banyak mengingat dan membuat kajian

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan oleh semua calon dan terdapat pelbagai cara yang boleh anda gunakan untuk mengingat. Antaranya membaca secara berulang untuk mengingat sesuatu fakta. Apa pun cara dan teknik masing-masing, pastikan matlamat untuk mengingat dapat dicapai dengan sebaiknya.

7) Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon untuk cemerlang dan berjaya.

a) Sebelum peperiksaan dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan. Tidur hendaklah mencukupi supaya anda dalam keadaan selesa dan dapat memberikan tumpuan sama ada belajar di rumah atau di sekolah. Kesihatan yang baik perlu untuk menjamin keselesaan ketika peperiksaan nanti. Buat seketika lupakan dahulu perkara-perkara yang anda minat, sebaliknya terus mengulang kaji pelajaran. Begitu juga dengan pengambilan makanan seharusnya seimbang. Cuba makan makanan berzat dan boleh membantu mencergaskan minda. Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan. Antaranya peralatan menulis seperti pensel 2B, pemadam dan penajam pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa di bawa pada hari peperiksaan. Sebaiknya tidur awal dan makan terlebih dahulu sebelum ke sekolah.

b) Pada hari peperiksaan, pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah dan tidak dapat menumpukan pada hari peperiksaan. Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian semestinya diperlukan. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel.

c) Setelah selesai menduduki sesuatu peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dahulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan dari timbul serba salah dan kerunsingan murid tersebut.

8) Minum banyak air

Murid adalah dinasihatkan untuk minum banyak air. Minum air adalah baik dan penting untuk otak bekerja dan berfungsi dengan baik. Pastikan anda menyimpan banyak air sepanjang mengulang kaji dan juga pada hari peperiksaan.

Artikel berkaitan 

Pencapaian SK Nanga Pakan dalam aliran agama membanggakan!

Panitia Matematik perkenal 9 kaedah mudah untuk murid mahir subjek itu

Siswazah Malaysia kongsi 13 tip peperiksaan di Universiti Al-Azhar, Mesir


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok