Teknik mudah menulis karangan cara Cikgu Ayu, murid pasti boleh buat
Teknik mudah menulis karangan cara Cikgu Ayu, murid pasti boleh buat

Teknik mudah menulis karangan cara Cikgu Ayu, murid pasti boleh buat

Roshlawaty Md Raieh
07 Nov 2022 02:51pm
A
A
A

Idea yang pelbagai tidak menjanjikan seseorang murid itu dapat menghasilkan karangan yang baik.

Ini kerana, penulisan sesebuah karangan yang menarik memerlukan rujukan dan panduan khas sebelum menghasilkannya.

Cikgu Ayu menerusi blog CIKGU AYU DOT MY ada memuat naik perkongsian berkenaan cara-cara yang perlu murid lakukan sebelum menulis karangan yang berkualiti.

Katanya dalam blog tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan oleh para murid.

Antara perkara tersebut ialah

1) Apakah yang perlu dilakukan sebelum menulis karangan?

Murid hendaklah membaca dan memahami soalan yang diberikan dan pastikan anda memahami kehendak soalan, tajuk serta bentuk karangan yang hendak ditulis. Kegagalan memahami kehendak soalan, tajuk dan bentuk karangan yang hendak ditulis menyebabkan karangan murid kekurangan isi dan mungkin akan terkeluar daripada tajuk. Justeru, catatkan isi-isi penting yang hendak anda tulis berdasarkan tajuk karangan. Susun isi-isi penting berkenaan mengikut keutamaannya iaitu isi paling penting ditulis dahulu dikuti dengan isi yang kurang penting.

2) Apakah yang perlu dilakukan semasa menulis karangan?

Karangan yang baik mestilah ada tiga bahagian utama iaitu pendahuluan, isi dan penutup

- Pendahuluan

Karangan hendaklah dimulakan dengan pendahuluan dalam satu perenggan sahaja. Pendahuluan mestilah berkaitan dengan kehendak soalan dan ada daya penarik. Perenggan pendahuluan adalah mencukupi dengan dua atau tiga baris ayat sahaja. Jangan masukkan isi ke dalam perenggan pendahuluan.

- Isi

Bahagian isi adalah bahagian yang terpenting dalam sesuatu karangan. Menurut kehendak peperiksaan, karangan haruslah mempunyai empat isi utama dan setiap isi itu hendaklah ditulis dalam satu perenggan yang berasingan. Kemudian, isi-isi penting haruslah diutamakan dan kembangkannya dalam bentuk perenggan dengan menggunakan ayat dan cerita yang menarik. Isi adalah bahagian yang paling penting dalam sesebuah karangan. Oleh itu, isi karangan mestilah ditulis dengan bahasa yang menarik dan mudah difahami. Isi-isi yang diceritakan haruslah berkaitan dengan soalan. Jangan ceritakan isi-isi secara meleret-leret dan tidak dapat diterima akal.

- Penutup

Setiap karangan haruslah mempunyai penutup. Penutup yang baik merupakan kesimpulan tentang apa yang telah kamu tuliskan sebelumnya. Penutup juga tidak perlu ditulis dengan panjang lebar. Dua atau tiga baris ayat sudah memadai untuk menulis penutup.

3) Apakah yang perlu dilakukan sesudah menulis karangan?

Semak dan baca semula karangan setelah selesai menulisnya. Pastikan tiada isi penting yang tertinggal. Cari kesilapan yang mungkin ada seperti kesalahan tatabahasa, penggunaan perkataan, ejaan dan tanda baca. Kemudiannya betulkan setiap kesilapan tersebut. Baiki tulisan cakar ayam dan sukar dibaca.

Ciri-ciri karangan yang baik

1) Pemahaman terhadap tajuk mestilah tepat iaitu segala keterangan dan penjelasan serta contoh yang diberi mestilah tidak terkeluar daripada tajuk.

2) Setiap karangan mestilah mempunyai isi yang menepati maksud atau kehendak soalan. Sebuah karangan yang baik dan menepati kehendak pemeriksa mesti mempunyai empat isi utama.

3) Pendahuluan sesebuah karangan mestilah sesuai dengan isi dan menepati tajuk serta dapat menarik pembaca untuk membaca karangan itu sehingga selesai.

4) Isi karangan mestilah dikembangkan dengan baik. Isi yang mencukupi belum tentu dapat menjadikan karangan murid itu menarik sekiranya anda tidak bijak menghuraikan isi-isi tersebut dengan baik.

5) Untuk bahagian penutup pula, murid hendaklah menulis satu kesimpulan yang kemas tentang karangan yang telah dituliskan itu.

6) Penggunaan tatabahasa yang betul dalam karangan dapat mempengaruhi markah karangan. Oleh itu, cara murid membentuk ayat-ayat dalam karangan mestilah berpandukan tatabahasa yang betul.

7) Karangan hendaklah menggambarkan bahawa penulisnya mempunyai fikiran atau pendapat yang matang.

8) Pengolahan karangan hendaklah menarik sehingga dapat memberi kesan di hati pembaca.

Setelah memahami segala panduan dan tip yang diberikan Cikgu Ayu ini, Sinar Bestari berharap selepas ini murid-murid dapat menghasilkan karangan dengan baik. Insya-ALLAH.

Sumber: Blog CikguAyu.My

Artikel berkaitan 

Pelajar sukar bina karangan panjang dan seragam, mungkin teknik cabang ini dapat membantu!

Gua Tempurung menjadi destinasi murid SKM cabar diri

Sering tertekan? Berikut 12 tip elak tekanan dalam kalangan Guru Perpustakaan dan Media


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan