Gua Tempurung menjadi destinasi murid SKM cabar diri
Gua Tempurung menjadi destinasi murid SKM cabar diri

Gua Tempurung menjadi destinasi murid SKM cabar diri

Roshlawaty Md Raieh
20 Oct 2022 12:36pm
A
A
A

Seramai 40 murid yang terdiri daripada empat buah Sekolah Kurang Murid (SKM) sekitar Perak, mencabar diri mereka meneroka Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak.

Aktiviti yang mencabar mental dan fizikal itu telah mengujakan mereka apabila berpeluang melihat setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza di gua tersebut.

Malah, cabaran berhalangan semula jadi di dalam Gua Tempurung memberikan murid-murid keyakinan diri untuk menghadapi kesukaran dalam hidup.

Aktiviti meneroka Gua Tempurung itu adalah sebahagian daripada pengisian Program Kem Jati Diri Kepimpinan yang disertai empat buah sekolah di bawah SKM Zon Parit, Perak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Banjar, SK Chopin, SK Belanja dan SK Bukit Chupak.

40 pesertanya terdiri daripada barisan kepimpinan murid yang terpilih dari sekolah-sekolah tersebut dan 42 guru turut terlibat sebagai urusetia dan fasilitator.

Para peserta menginap di Murni Camp, Gopeng bagi Program Kem Jati Diri Kepimpinan.

Sementara itu, Guru Besar SK Belanja, Adenan Morad berkata, program tersebut bertujuan menanam sifat kerjasama, bertolak ansur dan menyemai perpaduan dalam kalangan murid dan juga guru.

Di samping itu, ia juga dapat melahirkan murid yang kreatif dan seterusnya menjadi bakal pemimpin.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Chopin, Hamzah Zakaria pula berpendapat, pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan dalam program itu seperti ‘ice breaking’, larian berhalangan dan latihan dalam kumpulan (LDK) akan dapat menyemai semangat berpasukan dalam kalangan murid-murid.

“Pengisian slot kerohanian seperti solat berjemaah dan kuliah agama serta motivasi kepimpinan oleh penceramah jemputan pula dapat menyulam semangat untuk melaksanakan tugas yang di pertanggungjawabkan dengan amanah dan jujur,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti meneroka Gua Tempurung, Guru Besar SK Bukit Chupak, Zazli Sulaiman berkata, aktiviti itu mampu memberi pengalaman berharga kepada semua peserta.

Akhir sekali, Guru Besar SK Changkat Banjar, Mohd Yusof Sudin mengharapkan program tersebut dapat memberikan pengetahuan dan membangkitkan semangat jati diri serta memupuk kerjasama khususnya peserta di dalam kumpulan.

“Saya berharap agar program ini dapat melahirkan barisan kepimpinan murid yang aktif dan cergas,” jelasnya.

INFO

Gua Tempurung ialah sebuah gua batu kapur yang terletak di Gopeng, Perak. Namanya diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9 kilometer dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi.

Gua Tempurung terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dengan setiap kubah mempunyai bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza.

Selain itu, setiap kubah berbeza dari segi suhu, aras air dan kandungan batu kapur juga marmar.

Gua Tempurung merupakan salah satu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia.

Ia merupakan sebuah gua yang menjadi tumpuan pelancong yang merentasi satu kilometer dari Sungai Siput sehingga Kuala Dipang dan terdiri daripada lima siling kubah yang berbentuk tempurung.

Memandangkan gua ini menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri Perak telah memelihara dan memulihara kawasan gua ini supaya lebih menarik dan mesra pelancong.

Gua-gua kini dilengkapi lampu, tangga dan titi serta kemudahan awam lain turut disediakan.

Artikel berkaitan 

3 guru Sabah hasilkan projek ‘Dau-Dau’, gembira diumumkan finalis anugerah inovasi di United Kingdom

11 cara atasi murid mengantuk, guru wajib tahu ini

Ayah ‘pak guard’, ibu tukang cuci, penguat semangat untuk gadis ini sambung bidang kedoktoran


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok