Tip pemakanan sihat semasa bulan Ramadan

Roshlawaty Md Raieh
04 Apr 2022 01:11pm
A
A
A

Seharian sudah kita menahan lapar dan dahaga, tibanya waktu Maghrib untuk kita berbuka puasa bersama keluarga.

Namun, adakah anda sudah membuat pemilihan makanan yang betul untuk berbuka?

Adakah semua makanan yang akan dinikmati itu berkhasiat dan mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh setelah seharian berpuasa?

Menurut Pegawai Dietetik, Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah Mahamad Sobri, 35, makanan yang sesuai untuk berbuka adalah jenis yang memberi tenaga cepat dan kembalikan tahap hidrasi badan terlebih dahulu.

“Digalakkan berbuka dengan makanan yang mengandungi gula ringkas dan air kosong untuk mendapat tenaga serta air yang diperlukan. Bagi saya, antara makanan baik yang boleh memberi tenaga dengan cepat adalah dari kumpulan buah-buahan. Justeru, pengambilan buah selepas berbuka sangat bermanfaat untuk memberi tenaga dengan cepat.

“Makanan lain yang manis seperti kuih atau pencuci mulut boleh diambil tetapi utamakan sumber buah-buahan kerana selain mendapat tenaga cepat, ia juga kaya dengan pelbagai vitamin dan serat yang memberi manfaat lain. Jika ingin mengambil makanan manis lain jangan melebihi satu hidangan iaitu potongan atau bahagian sebesar tapak tangan anda,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Sambungnya lagi, untuk pengambilan makanan waktu bersahur pula, orang ramai digalakkan mengambil menu yang membantu mereka mendapat tenaga sepanjang hari dan juga tahan kenyang.

Baca juga

“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” – Cikgu Norazri

7 tugas utama Ketua Panitia Subjek

Dan untuk mencapai matlamat ini, anda perlu mengambil makanan daripada tiga kategori makanan iaitu karbohidrat, protein dan serat.

“Karbohidrat adalah sumber utama untuk badan mendapat tenaga supaya kekal bertenaga sepanjang hari. Tanpa makanan dari kumpulan ini yang mencukupi anda akan cepat penat, mengantuk dan sukar untuk beribadah. Karbohidrat tidak terhad kepada nasi sahaja sebaliknya ia termasuk dalam senarai makanan seperti mi, mihun, kuetiau, roti, sayuran berubi dan makanan berasaskan tepung.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Protein pula adalah kategori makanan yang bukan sahaja menjadi asas utama pelbagai struktur utama badan terutamanya sel darah merah dan otot, tetapi ia juga membantu anda kenyang untuk tempoh yang lama. Tanpa protein yang mencukupi, selain mudah merasa penat dan lapar, ia cuma bertahan tiga hingga empat jam selepas bersahur.

“Serat pula adalah kategori makanan yang boleh membantu mengelak pengambilan makanan yang berlebihan, mengelak rasa sembelit dan ia juga membantu rasa kenyang lebih lama.

“Perlu ada ketiga-tiga kategori makanan ini ketika bersahur tetapi boleh ambil dalam bentuk pelbagai menu. Contoh nasi bersama lauk ayam dan sayur, atau mihun sup dengan carikan ayam dan sayur ataupun masakan Barat seperti sandwich telur. Gunakan pinggan suku-suku separuh sebagai panduan kuantiti makanan yang diperlukan dengan tambahan sebiji buah,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Hafizah turut berkongsi beberapa tip lain yang perlu diamalkan oleh umat Islam sepanjang bulan Ramadan.

Tip memilih makanan agar kekal sihat dan cergas

  • Kurangkan penggunaan lemak ketika menggoreng dan menumis.
  • Hadkan pengambilan makanan serta minuman yang tinggi kandungan gula bagi mengelakkan pelbagai jenis masalah kesihatan.
  • Kurangkan pengambilan makanan tinggi kandungan garam terutama ketika bersahur.
  • Pengambilan makanan masin boleh meningkatkan rasa dahaga semasa berpuasa.
  • Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar (membekalkan vitamin, mineral dan serat).
  • Lebihkan pengambilan air dengan sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari. Tingkatkan juga pengambilan air melalui makanan seperti sup, bubur dan puding.

Tip membeli makanan di bazar Ramadan

  • Tulis dahulu makanan atau minuman yang ingin dibeli supaya boleh fokus dan tidak mudah tersasar.
  • Jangan bawa jumlah wang yang banyak sebaliknya bawa dalam kuantiti yang mencukupi. Lebih banyak wang yang ada, kemungkinan untuk membeli pelbagai makanan lain sangat tinggi.
  • Hadkan pilihan untuk  makanan. Jika hendak beli air atau kuih, beli satu jenis sahaja. Sentiasa ingat, esok boleh kembali semula ke bazar dan beli menu yang lain.

Tip mengurangkan berat badan di bulan puasa

  • Utamakan pengambilan air kosong sewaktu berbuka daripada air manis.
  • Berbuka dengan kurma, buah atau kuih, satu hingga dua biji dan air kosong kemudian solat Maghrib sebelum sambung makan.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi gula, lemak dan berminyak ketika moreh. Misalnya, dari kuih muih tukar kepada buah-buahan.
  • Jika mampu untuk bersenam, lakukan waktu malam untuk elak dehidrasi ataupun hypoglysemia akibat kurang makan dan pengambilan air.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan