“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” - Cikgu Norazri
“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” - Cikgu Norazri

“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” - Cikgu Norazri

Roshlawaty Md Raieh
08 Mar 2022 05:05pm
A
A
A

Dilantik untuk memegang pelbagai jawatan di sekolah jelas menunjukkan bahawa pendidik itu seorang yang berjaya dan bersemangat tinggi.

Bermula dengan Guru Akademik Biasa hingga melangkah kepada jawatan Guru Cemerlang, Guru Kanan, Guru Penolong Kanan dan Pengetua atau Guru Besar, ia dianggap sebagai satu pencapaian tertinggi cikgu berkenaan.

Namun demikian, ada sebahagian besar pendidik yang memilih kekal sebagai Guru Akademik Biasa biarpun mereka berstatus Gred DG41 hingga DG54.

Antara sebab mahu kekalkan jawatan Guru Akademik Biasa kerana kecintaan dalam tugas mendidik yang melebihi segala-galanya.

Bagi mantan Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut, Penampang, Sabah, Cikgu Norazri Mat Piah yang kini menjawat sebagai Guru Akademik Biasa DG54 berkata, tiada sesuatu yang pelik apabila beliau melepaskan jawatan Penolong Kanan satu ketika dahulu.

“Saya melepaskan jawatan Penolong Kanan pada 2019 tetapi terus mara mencari peluang dan ruang sebagai Guru Akademik Biasa demi kecemerlangan anak-anak pelajar di sekolah ini.

“Waktu itu, saya hanya fikirkan mahu mencurah ilmu untuk semua pelajar. Saya lakukan semua ini ikhlas daripada hati walaupun saya tahu tanggungjawab sebagai Guru Akademik Biasa cukup banyak,” katanya kepada Sinar Bestari.

Sejak mengambil semula jawatan Guru Akademik Biasa itu, Cikgu Norazri mula menyusun strategi. Beliau memulakan langkah dengan memperkenalkan inovasi Teknik Lipat 4 Dapat Sains Kimia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga membawanya menjulang anugerah Guru Inovasi peringkat Negeri Sabah 2021.

Kemudian, beliau dilantik menjadi mentor kepada tiga orang rakan sejawat sehinggakan guru-guru itu berjaya meraih Anugerah Guru Ikon Kajian Tindakan dan Anugerah Ikon Guru Inovasi Papar.

Selain daripada itu, dalam persediaan Peperiksaan Bersepadu Amali Sains SPM sebelum ini, kebanyakan sekolah tercari-cari rentak dalam berhadapan dengan peperiksaan amali era pandemik.

Namun, Cikgu Norazri berjaya membantu SMK Kinarut dengan melaksanakan Simulasi Amali Sains SPM Bersepadu sebanyak tiga kali bagi memantapkan persediaan pelajar.

Dalam perkembangan lain, Cikgu Norazri tidak ketinggalan melahirkan ramai pelajar yang merangkul kejayaan dalam pelbagai pertandingan antaranya Pertandingan PBL STEM Fiesta peringkat daerah Papar pada 2021 yang dimenangi tiga pelajar iaitu Safwanah Herman (johan), Nur Nadrah Natasya Kadir (naib johan) dan Nur Farya (tempat ketiga).

Mengakhiri perbualan bersama Sinar Bestari, Cikgu Norazri berharap agar sesetengah pihak tidak memandang rendah pada Guru Akademik Biasa yang bergred tinggi sebagai guru yang berprestasi lemah.

“Sebaliknya, jadikan mereka sebagai rakan sinergi yang boleh dikongsi pengalaman yang ada biarpun tidak dijulang dengan jawatan atasan,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!

5 tip pemakaian guru yang sesuai dipakai ke sekolah

Jurulatih Lili Murnni kongsi tip jadi atlet bola jaring berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok