Kredit foto; Pexels.
Kredit foto; Pexels.

3 waktu terbaik untuk bersenam dalam bulan puasa

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAINFIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
22 Mar 2023 06:05pm

Esok umat Islam di seluruh dunia dijangka akan mula menyambut Ramadan di mana ia memerlukan kita untuk menjalani serta menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

Setiap kali menjelangnya bulan puasa, antara cabaran yang sentiasa dihadapi rata-rata masyarakat muslim adalah untuk menjimatkan penggunaan tenaga bagi melakukan tugasan harian mereka terutamanya mereka yang rajin melakukan aktviti senaman dan bersukan.

Puasa tidak menjadi halangan untuk kita tetap melakukan aktiviti senaman demi menjaga kesihatan serta kecergasan badan.

Malahan dengan bersukan ketika berpuasa boleh membantu membakar kalori dengan lebih efektif.

Namun begitu, sebaiknya aktiviti-aktiviti sukan ini tidak dilakukan secara sembarangan dan antara perkara yang harus dititikberatkan sebelum bersukan mahupun bersenam adalah masa serta intensiti senaman tersebut bagi mengelakkan daripada puasa terganggu ataupun menyebabkan dehidrasi (kehilangan air dalam badan yang berlebihan).

Pembaca juga diingatkan supaya berwaspada kerana bersenam berlebihan semasa perut kosong dan haus boleh memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan anda.

Ia boleh membuatkan anda merasa sangat letih, pening kepala dan pelbagai lagi kemungkinan termasuk juga dehidrasi jika dibuat secara sembarangan.

Untuk itu, Sinar Bestari ingin kongsikan kepada pembaca waktu yang terbaik untuk bersukan ketika di bulan puasa.

Artikel Berkaitan:

Jom baca!

1) Satu jam sebelum waktu berbuka puasa

Dengan bersenam satu jam sebelum waktu berbuka anda boleh membakar lemak yang ada di dalam badan dengan lebih banyak.

Ini kerana bersenam dengan keadaan perut yang kosong membantu menjadikan proses pembakaran lebih berkesan.

Setelah bersenam menggunakan sisa tenaga yang dimiliki anda boleh makan dengan lebih berselera semasa berbuka bagi menggantikan tenaga yang hilang.

Namun diingatkan supaya tidak bersenam secara berlebihan kerana baki tenaga yang badan anda miliki hanyalah sedikit jika bersenam di dalam tempoh tersebut.

Untuk itu, anda boleh melakukan aktiviti yang berintensiti ringan sahaja.

2) Dua atau tiga jam selepas berbuka puasa

Waktu ini adalah waktu yang terbaik untuk anda melakukan sebarang senaman dan bersukan di dalam bulan puasa.

Ini kerana dalam tempoh tersebut badan anda sudah menghadam makanan yang dimakan ketika berbuka dan sudah bersedia untuk ditukarkan menjadi tenaga bagi disalurkan kepada badan.

Waktu ini badan sudah kembali bertenaga dan dalam tempoh ini anda boleh melakukan apa-apa jenis aktiviti yang dimahukan serta dengan intensiti diinginkan daripada senaman ringan sehingga berat.

3) Selepas waktu sahur

Sahur adalah waktu untuk umat Islam makan dan minum di awal pagi sebelum azan Subuh. Selepas bersahur boleh digunakan untuk bersenam kerana badan menerima tenaga daripada makanan yang diambil sewaktu bersahur.

Melakukan senaman pada waktu ini juga boleh membuatkan badan anda bertambah cergas serta segar sepanjang hari.

Namun diingatkan senaman pada waktu ini lakukan aktiviti-aktiviti yang berintensiti ringan kerana anda perlu menyimpan tenaga yang ada di dalam badan sepanjang hari.

Oleh itu, jangan melakukan senaman yang berlebihan pada waktu ini.

Sinar Bestari ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada pembaca beragama Islam di negara ini serta mereka yang berada di seluruh dunia.

Selamat berpuasa!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp