
Cikgu SMT Tuanku Jaafar antara 18 pendidik terbaik dunia!
Guru Matematik dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, Cikgu Lee Chye Mei bukanlah guru biasa.
Beliau kini antara 18 pendidik terbaik dunia apabila terpilih menyertai Program Fulbright Teaching Excellence and Achievement (TEA) Spring 2025 di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Lebih membanggakan, beliau merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya menembusi tapisan ketat ribuan permohonan dari seluruh dunia sekali gus melakar sejarah peribadi dan negara di pentas pendidikan antarabangsa.
Menurut guru hebat ini, pengalaman yang diraih dalam program berkenaan telah mengubah caranya dalam melihat dunia pendidikan.
"Saya belajar bagaimana pelajar boleh menjadi lebih aktif, kritis dan yakin apabila guru bertindak sebagai fasilitator, bukan sekadar penyampai ilmu,” katanya yang turut diberi peluang mengajar di North Atlanta High School, Amerika Syarikat selama enam minggu.
Seterusnya, Cikgu Chye Mei turut mengambil peluang memperkenalkan budaya Malaysia kepada komuniti sekolah dan rakan-rakan dari negara lain dalam program sama.
"Saya bercerita tentang Malaysia. Ia bukan sekadar tentang makanan atau pakaian tetapi tentang semangat rakyat, nilai kekeluargaan dan harapan masa depan,” katanya.
Sementara itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE) yang melihat potensi dirinya dan memberi ruang untuk berkembang di peringkat global.
"Tanpa dorongan mereka, saya mungkin tidak berada di sini. Mereka melihat potensi kecil yang mampu memberi impak besar," katanya.
Bagi Cikgu Chye Mei, seorang guru bukan sekadar mendidik di bilik darjah sahaja sebaliknya mereka turut membina keyakinan dan jati diri dalam setiap anak murid.
"Bila pelajar tanya soalan dengan yakin, saya tahu sesuatu sedang berubah. Dan perubahan itu bermula dari dalam," katanya.
Sinar Bestari mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Cikgu Chye Mei atas pencapaian luar biasa ini.
Semoga kisah beliau terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik di Malaysia untuk terus berkarya, bermimpi dan membina generasi hebat.