Hasbullah Hakimi (tiga dari kanan) bersama ahli  keluarganya ketika mendaftar di UiTM Kampus Dengkil baru-baru ini.
Hasbullah Hakimi (tiga dari kanan) bersama ahli keluarganya ketika mendaftar di UiTM Kampus Dengkil baru-baru ini.

'Dia seorang yang baik, beradab dengan orang tua dan berakhlak' - Bapa sebak kongsi kejayaan anak

ROSHLAWATY MD RAIEH
06 Sep 2023 05:18pm
A
A
A

Kegembiraan jelas terbayang pada wajah Mohamad Khairul Hisam Mohd Salleh, 44, ketika menemui wartawan Sinar Bestari baru-baru ini, bagi berkongsi cerita tentang kejayaan anaknya, Hasbullah Hakimi.

Menurut Mohamad Khairul Hisam, anaknya yang berusia 19 tahun itu baharu sahaja mendapat tawaran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil dalam jurusan Asasi Undang-Undang.

"Dia akan belajar selama setahun di sana.

"Saya dan isteri, Rozita Othman, 50, begitu seronok dan sebak kerana akhirnya impian melihat anak menyambung pengajian ke universiti tercapai jua," ujarnya dengan nada gembira.

Selain gembira melihat anak ke UiTM, Mohamad Khairul Hisam juga meluah rasa syukurnya terhadap Hasbullah Hakimi kerana berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

"Syukur alhamdulillah, saya direzekikan mempunyai anak seperti dia.

"Dia anak yang berbudi bahasa, rajin, bertanggungjawab, beradab dengan orang tua dan juga berakhlak.

“Sejujurnya, mempunyai anak seperti dia bagaikan satu kebanggaan buat kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Hasbullah Hakimi
Hasbullah Hakimi

Mengulas lanjut, Mohamad Khairul Hisam yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Pemasaran di Kumpulan Media Karangkraf berkata, Hasbullah Hakimi merupakan anak kedua daripada tiga adik beradik.

Dua anaknya lagi iaitu Nurul Auni, 21 dan Raudhah Fathani, 17 juga adalah cahaya mata yang cemerlang dalam pelajaran masing-masing.

Sementara itu, Sinar Bestari menghubungi Hasbullah Hakimi bagi mendapatkan beberapa tip menghafal al-Quran.

“Saya tiada sebarang rahsia cuma amalan yang dilakukan adalah sentiasa mengaji al-Quran setiap hari.

“Wajib konsisten setiap hari dan sepanjang masa supaya diri semakin mahir dalam membaca al-Quran,

“Saya yakin, jika kita fokus, insya-ALLAH, ALLAH akan memudahkan segala gerak kerja kita dalam mengapai redaNya,” ujarnya yang merupakan bekas pelajar Ma'ahad Tahfiz Integrasi Sains (MATIS) Madinatul Huffaz, Gombak, Kuala Lumpur.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok