Lapan panduan yang perlu ibu bapa tahu untuk persekolahan anak berkeperluan khas
Melihat anak melangkah masuk ke sekolah buat kali pertama adalah momen paling indah buat mereka yang bergelar ibu bapa.
Ketika ini mak ayah hanya mahu melihat anak-anak gembira mengikuti pembelajaran dan dapat bergaul mesra dengan rakan-rakan baharu di sekolah.
Bagaimanapun, tidak semua ibu bapa mampu menghantar anak untuk belajar dek masalah tertentu.
Sebagai contoh, bagi mereka yang memiliki anak berkeperluan khas, banyak perkara difikirkan ibu bapa mengenai persekolahan mereka.
Secara ringkas, anak berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan penjagaan berbeza daripada kanak-kanak lain.
Gargiulo (2003) mendefinisikan mereka sebagai individu yang mempunyai kelainan dari aspek norma standard sosial dan komuniti.
Kelainan ini disebabkan perbezaan ketara dari segi fizikal, kognitif, sensori (deria) atau ciri-ciri tingkah laku.
Kebanyakan anak atau kanak-kanak ini memerlukan program pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan unik mereka bagi memudahkan proses pembelajaran berlangsung.
Selain itu, Gargiulo telah mengkategorikan individu-individu tersebut kepada sembilan kategori iaitu terencat akal; kurang upaya dalam pembelajaran; kecelaruan emosi dan tingkah laku; pintar, cerdas dan berbakat; masalah bahasa dan pertuturan; masalah penglihatan; masalah pendengaran; kecelaruan spektrum autisme serta kurang upaya fizikal dan masalah kesihatan.
Baru-baru ini, pengguna Facebook Mahfuzah Zainol memuat naik perkongsian mengenai persekolahan anak berkeperluan khas.
Tulisnya, anak berkeperluan khas perlu ke sekolah demi masa depan mereka.
Kata Mahfuzah lagi, banyak perkara yang perlu ibu bapa tahu tentang prosedur persekolahan anak-anak bagi kategori berkenaan.
Oleh itu, Sinar Bestari senaraikan di sini sebagai rujukan mereka yang mempunyai anak berkeperluan khas.
1) Wajib daftar anak untuk sesi persekolahan secara dalam talian
Ramai yang terlepas pandang perkara ini setelah mengetahui anak mereka ada masalah dan berkemungkinan tidak layak ke sekolah. Justeru, mereka terus tidak mendaftarkan anak masing-masing.
2) Muat naik Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas di laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Semua maklumat berkaitan pelaksanaan pendidikan murid berkeperluan khas (MBK) ada dalam dokumen tersebut. Jangan pandang rendah dokumen ini kerana ia masih lagi boleh dipakai sehingga satu surat pekeliling rasmi menafikan penggunaan dokumen ini.
Sekiranya tidak memahami isi kandungannya, sila dapatkan bantuan terdekat seperti di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana mereka lebih arif tentang pelaksanaan di lokaliti masing-masing.
3) Tahu tahap perkembangan semasa anak
Perkara ini sangat penting untuk menyediakan pelan pendidikan yang seterusnya. Jika anda merasakan yang anak sesuai ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), sila bersedia.
Seterusnya, ibu bapa perlu mengetahui maklumat Rancangan Pendidikan Individu (RPI) kerana ia adalah rujukan tahap perkembangan anak. Berhubung rapatlah dengan cikgu tentang hal ini kerana matlamat RPI mesti direalisasikan bersama guru dan ibu bapa.
4) Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas Kebangsaan (KSSRPK)
Jika anak belajar di PPKI, ibu bapa disarankan memuat naik dokumen berkaitan yang boleh didapati di Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM. Banyak info boleh diketahui berkenaan pembelajaran anak-anak.
Kepada cikgu yang mengajar murid kategori ini pula, anda perlu sentiasa proaktif mencari kurikulum alternatif sesuai dengan tahap murid. Ini kerana KSSRPK hanyalah sebagai rujukan sahaja.
5) Penangguhan persekolahan anak anda
Saya pasti ramai ibu bapa yang tidak yakin anak mereka boleh ke sekolah. Jangan risau, anda boleh tangguhkan namun perlu sediakan bukti-bukti kukuh yang diperlukan dalam Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas.
6) Homeschooling
Ada antara ibu bapa yang terfikir untuk menyekolahkan anak mereka di rumah. Perkara ini tiada masalah namun anda disaran merujuk Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas kerana ada prosedur yang perlu diikuti.
7) Sekolah swasta
Ini juga tidak menjadi masalah jika ibu bapa mahu meneruskan Early Intervention Program (EIP) di sekolah swasta. Cuma anda perlu pastikan yang sekolah berkenaan berdaftar dengan KPM.
Secara umumnya, jika berdaftar dengan KPM, pemantauan akan dilakukan secara berkala ke sekolah tersebut. Jika ke sekolah swasta, anak anda tidak layak mendapat sebarang keistimewaan sebagai MBK seperti di sekolah kerajaan.
Ada satu lagi tip yang saya ingin kongsi. Ibu bapa boleh mendaftar anak di sekolah kerajaan dan pada masa sama boleh menghantar anak ke sekolah swasta untuk EIP pada sebelah petang.
8) Kad Orang Kurang Upaya (OKU)
Jika anak layak mendapat kad OKU, mohon kerana banyak faedahnya. Ini kerana, anak yang memiliki kad OKU tidak perlu bersaing dengan calon tipikal lain dan ini satu kelebihan. Rebut selagi mampu.