Forum kerjasama Asia Pasifik jalin hubungan pengakap serantau
Selama lebih seabad pengakap sebagai sebuah gerakan pendidikan belia global telah membawa transformasi kepada kehidupan ramai golongan muda.
Dengan lebih 50 juta ahli seluruh dunia, ia merupakan antara pergerakan belia yang terbesar dan paling berpengaruh di dunia.
Sepertimana ditekankan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM), misi berpengakap adalah untuk menyumbang kepada pendidikan golongan muda, menerusi sebuah sistem nilai berdasarkan Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, untuk membina sebuah dunia yang lebih baik di mana orang dapat memenuhi diri sebagai individu dan memainkan peranan yang membina dalam masyarakat.
Dalam pergerakan pengakap, sebanyak 30.8 juta atau 75.36 peratus daripada keahlian global itu adalah di rantau Asia Pasifik.
Rantau yang luas ini memiliki pelbagai budaya, bahasa dan tradisi. Namun di sebalik kepelbagaian ini, pergerakan pengakap telah menjadi antara kuasa penyatuan di rantau ini dengan menghimpunkan golongan muda daripada semua lapisan masyarakat serta memperkasakan mereka untuk berkerjasama ke arah matlamat yang sama.
Rantau Asia Pasifik sendiri memiliki sejarah yang panjang dan kaya di dalam pergerakan pengakap. Pengakap telah memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan golongan muda di Asia Pasifik. Hari ini, rantau ini terus menjadi antara tunggak utama kepada pergerakan pengakap global dengan penglibatan jutaan ahli secara aktif dalam aktiviti dan program yang dianjurkan.
Sehubungan itu, baru-baru ini, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah menganjurkan Forum Kerjasama peringkat Rantau Asia Pasifik di Kuala Lumpur.
Antara objektif forum adalah untuk menjalin hubungan, komitmen semula dan melakukan penyelarasan dalam kalangan Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO) dengan organisasi rakan kongsi.
Perkara-perkara ini adalah kritikal kepada kejayaan program-program kepengakapan di rantau ini.
Usaha membina kolaborasi dan perkongsian adalah penting untuk membolehkan NSO-NSO mengadakan program dan aktiviti yang bermanfaat kepada orang muda terutama di rantau yang luas dan pelbagai seperti Asia Pasifik.
Salah satu manfaat utama langkah menjalin hubungan dan komitmen semula adalah ia dapat membantu dalam pembinaan rangkaian kepercayaan dan memupuk semangat ke arah matlamat bersama dalam kalangan NSO-NSO dan organisasi rakan kongsi.
Selain itu, forum berkenaan juga merupakan platform untuk meneroka peluang-peluang kerjasama dan amalan terbaik terutama yang melibatkan pengurusan geran, pendanaan khalayak, kerjasama strategik dan mobilisasi sumber.
Forum ini melibatkan penceramah-penceramah yang berpengalaman supaya peserta-peserta memperoleh perspektif yang lebih meluas berhubung bidang-bidang tertentu. Forum ini juga diharap dapat mewujudkan komuniti untuk rangkaian, berkongsi sumber, kaedah dan pengetahuan bagi mengembangkan lagi perkongsian berdasarkan Panduan Pembangunan Kerjasama WOSM.
Menurut Pengarah Forum, Muhammad Naufal Othman, forum kerjasama ini selaras dengan hasrat PPM dan WOSM untuk mennyumbang ke arah Pelan Pembangunan Mampan ke-17 iaitu menjalinkan kerjasama untuk mencapai matlamat.
Katanya, WOSM dan PPM khususnya telah mewujudkan hubungan baik dengan rakan kongsi dan organisasi lain seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam memastikan lebih banyak program berimpak tinggi dapat dianjurkan bersama.
“Forum kerjasama peringkat Rantau Asia Pasifik ini akan menjadi peluang pembelajaran dan pembangunan bagi semua NSO terutama mereka yang berminat untuk mengoperasikan strategi dan pengurusan inisiatif kerjasama mereka. Selain itu, ia juga menjadi penanda atas bagi insiatif dan amalan kerjasama di negara-negara serantau.
“Seterusnya, forum ini juga menjadi landasan kerjasama dan rangkaian PPM serta menjadi batu loncatan untuk pembangunan golongan belia remaja agar menjadi lebih yakin dan berkebolehan merancang serta menguruskan program di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, geostrategis, Dr Azmi Hassan berpandangan, momentum daripada Forum Kerjasama peringkat Rantau Asia Pasifik juga perlu diteruskan dengan penganjuran program serupa di peringkat ASEAN. Beliau menarik perhatian, gerakan kepengakapan adalah penting dalam memupuk disiplin dan kerjasama antara satu sama lain.
“Sebab itu, adalah penting terutama sekali dalam kalangan negara ASEAN untuk menjalin kembali kerjasama kepengakapan antara negara-negara rantau ini supaya sikap kerjasama, toleransi dan usaha memahami antara rakyat berbeza negara dapat dipupuk melalui pasukan seperti ini.
“Jadi bagi saya, jika diadakan forum seperti ini pada masa akan datang, lebih baik dijuruskan kepada kalangan negara ASEAN dan dalam Malaysia sendiri supaya kesedaran (terhadap gerakan kepengakapan) itu lebih menonjol lagi,” jelas beliau.
Maklumat Penulis
Penolong Setiausaha Eksekutif Komunikasi Korporat, Persekutuan Pengakap Malaysia, Sofian Baharom