
Diangkat pemenang RISE Educator Award 2025...'Cikgu Stefanus Superhero Pendidikan Khas!'
Setiap tahun, penganjuran RISE Educator Award anjuran Taylor's College sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat, khususnya dalam kalangan warga pendidik dan pencinta dunia pendidikan.
Anugerah berprestij ini bukan sekadar sebuah pengiktirafan, malah menjadi simbol penghormatan tertinggi kepada para guru luar biasa di Malaysia yang telah memberikan impak positif dan berpanjangan terhadap pembangunan akademik, sahsiah serta masa depan anak-anak murid mereka.
Pada tahun 2021, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli, guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas, Sarawak diangkat sebagai pemenang atas dedikasinya mendidik anak-anak pedalaman dengan pendekatan luar biasa, walaupun dalam serba kekurangan.
Tahun berikutnya, Cikgu Mohammad Hazeem Azemi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Temerloh, Pahang memenangi anugerah itu berkat usaha gigihnya membangunkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) melalui Studio Multimedia PPKI yang diinovasi khas untuk mereka.
Sementara itu, tahun 2023 menyaksikan Cikgu Kumaresan Muniandy dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Kedah menerima pengiktirafan atas pendekatan pendidikan kemahiran yang membuka peluang kerjaya untuk pelajar istimewa.

Pada 2024, giliran Cikgu Shawn Stanly Anthony Dass dari SK RPS Banun, Gerik, Perak pula mencuri perhatian apabila kemenangannya diraikan sebagai simbol kejayaan pendidikan luar bandar dan masyarakat Orang Asli.
Kini, pada 2025, legasi kecemerlangan itu diteruskan oleh guru muzik dari SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu, Tuaran, Sabah, Cikgu Stefanus Lucas yang diangkat sebagai pemenang kerana usahanya membuka dunia muzik kepada murid Pendidikan Khas (pendengaran).
Menerusi pengiktirafan itu, Cikgu Stefanus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 (untuk sekolah) dan RM5,000 (untuk guru) serta berpeluang menyertai program pembangunan profesional di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kemenangan itu sangat mengejutkan dan langsung tidak dijangka.
"Rasa gembira dan sebak yang sukar digambarkan, seperti mimpi jadi nyata.
"Dalam hati hanya terlintas satu perkara iaitu ini bukan kemenangan saya seorang sebaliknya ini kemenangan untuk murid-murid saya juga," katanya yang mengajar muzik menggunakan bahasa isyarat kepada murid-murid Pendidikan Khas.

Sementara itu, Cikgu Stefanus menitipkan pesanan kepada setiap guru bahawa mereka juga memiliki keistimewaan tersendiri.
"Jangan bandingkan diri dengan orang lain. Lakukan yang terbaik dengan ikhlas. Mungkin usaha kita kecil di mata orang lain, tetapi bagi murid kita, kita adalah superhero mereka," ujarnya.
Dalam pada itu, Sinar Bestari menghubungi Cikgu Mohammad Hazeem bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai kemenangan Cikgu Stefanus sebagai penerima RISE Educator Award 2025.
"Kejayaan beliau bukan sekadar sebuah kemenangan individu, tetapi satu lambang harapan dan cahaya untuk seluruh komuniti Pendidikan Khas di Malaysia.
"Beliau tidak hanya mengajar muzik sebaliknya menghidupkan irama dalam jiwa anak-anak istimewa yang selama ini sering disenyapkan oleh batasan dan stigma.
"Usahanya membina bilik muzik khas dan memberi ruang murid tampil di pentas adalah satu bentuk revolusi senyap yang penuh makna, membina keyakinan diri, mencipta ekspresi dan membuktikan bahawa setiap anak istimewa berhak untuk didengari dan dihargai," ujarnya.

Tambah Cikgu Mohammad Hazeem lagi, Cikgu Stefanus telah mengangkat martabat pendidikan khas ke satu tahap yang lebih tinggi.
"Saya percaya legasi beliau akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pendidik untuk terus mendidik dengan jiwa, bukan sekadar dengan buku dan silibus.
"Tahniah cikgu, anda telah mencipta irama perubahan yang akan bergema untuk sekian lama," akhiri guru Pendidikan Khas ini.
