Mohd Nazaruddin atau Kipas Hikmat (kanan) meninggal dunia pada pukul 9.08 malam tadi di kediamannya di Kampung Bentong, Kluang, Johor. Kredit foto: Facebook Emi Sue
Mohd Nazaruddin atau Kipas Hikmat (kanan) meninggal dunia pada pukul 9.08 malam tadi di kediamannya di Kampung Bentong, Kluang, Johor. Kredit foto: Facebook Emi Sue

Kipas Hikmat meninggal dunia. ‘Hembuskan nafas akhir tanpa siapa sedar walaupun ada yang menunggu di sisi’ - Adik

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Nov 2024 04:38pm

"Tenang cuaca di perkuburan tadi. Setenang hati kami, redha melepaskan Along pergi. Kami puas sebab Along dah tak menanggung sakit lagi. Dan malam sebelum kejadian kami adik beradik tak tidur resah memikirkan situasi yang bakal berkemungkinan.

"Pengakhiran yang sangat baik...menghembuskan nafas terakhir tanpa siapa sedar walaupun ada yang menunggu di sisi."

Hantaran yang ditulis Emi Sue di Facebook mengenai abangnya, Mohd Nazaruddin Yusoff, 53, atau nama pena, Kipas Hikmat mengundang sebak ramai.

Ia di muat naik susulan Mohd Nazaruddin (bekas guru Sains) telah meninggal dunia pada pukul 9.08 malam tadi di kediamannya di Kampung Bentong, Kluang, Johor.

Catat Emi Sue, segala penderitaan yang ditanggung abangnya sudah pun berakhir.

"ALLAH lebih sayangkan Along.

"Insya-ALLAH, mana-mana hajat yang dia belum sampai, saya cuba sedaya penuhi mengikut kemampuan.

"Terima kasih atas doa semua yang memudahkan segalanya di sini. Along kirim salam sayang pada semua yang mengenalinya. Maafkan Along ya,” tulisnya.

Untuk info, Mohd Nazaruddin dikenali ramai sebagai seorang penulis buku ilmiah.

Allahyarham telah menghasilkan pelbagai buku latihan bagi subjek Matematik, Sains, Kimia dan Biologi bersama Grup Buku Karangkraf dengan menggunakan nama pena, Kipas Hikmat.

Antara buku yang telah ditulis Allahyarham adalah Fuiyoo Senangnya Matematik (Tahun 1-6), Fuiyoo Senangnya Matematik (Tingkatan 1), Fuiyoo Senangnya Matematik (Tingkatan 2), Fuiyoo Senangnya Matematik (Tingkatan 3) dan Fuiyoo Senangnya Sains (Tahun 1-6).

Graduan lulusan Sarjana Muda Sains Komputer serta Pendidikan (Kimia) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keratong, Bandar Tun Razak, Pahang.

Kemudian, Mohd Nazaruddin dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMK Chanis, Muadzam Shah, Pahang selama 10 tahun.

Selepas itu, Allahyarham telah melepaskan jawatan sebagai pendidik kerana ingin membuka pusat tuisyen di Bandar Utama, Segamat, Johor.

Keistimewaan dimiliki mantan guru ini telah mendapat perhatian ramai sehingga diangkat sebagai penerima anugerah Guru Inovatif peringkat daerah Rompin, Pahang.

Malah, kelebihan Mohd Nazaruddin juga memberi peluang dirinya menggalas beberapa jawatan penting dalam dunia pendidikan antaranya dilantik Jurulatih Utama Kajian Tindakan Negeri Pahang (2003 - 2004); Penggubal soalan Matematik Tambahan Negeri Pahang (2003-2004); Pemeriksa Kertas Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (2000-2005) dan banyak lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp