Penganjuran kejohanan badminton Piala Thomas di Malaysia berlangsung sebanyak enam kali. Gambar hiasan
Penganjuran kejohanan badminton Piala Thomas di Malaysia berlangsung sebanyak enam kali. Gambar hiasan

Malaysia tuan rumah lapan sukan antarabangsa

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
02 Aug 2024 01:16pm

Malaysia pernah diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah sukan bertaraf antarabangsa kerana memiliki infrastruktur sukan yang lengkap.

Pemilihan ini secara tidak langsung telah menarik kedatangan pelancong luar negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia.

Bercerita tentang sukan bertaraf antarabangsa, tahukah adik-adik apakah senarai sukan yang dimaksudkan itu?

Sinar Bestari kongsikan lapan sukan antarabangsa berdasarkan sumber Buku Teks Sejarah Tahun 6 untuk panduan dan ilmu yang berguna bagi kita semua.

1) Sukan SouthEast Asian Games (SEA)

Negara kita menjadi tuan rumah Sukan SEA atau Sukan Asia Tenggara pada tahun 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Pada 1965 hingga 1971, penganjurannya dikenali sebagai Kejohanan Sukan SEAP.

Penganjurannya telah merapatkan hubungan antara negara serantau.

2) Piala Thomas

Penganjuran kejohanan badminton Piala Thomas berlangsung di Malaysia sebanyak enam kali.

Berlangsung dengan jaya dan meriah pada 1970, 1984, 1988 dan 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Kemudian, Piala Thomas berlangsung pada 2000 dan 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Piala Thomas membawa imej gemilang kepada negara.

3) Kejohanan Hoki Piala Dunia

Malaysia menjadi tuan rumah kepada dua edisi Kejohanan Hoki Piala Dunia.

Berlangsung di Stadium Merdeka pada 1975 yang melibatkan persaingan daripada 12 buah negara.

Selepas itu, Kejohanan Hoki Piala Dunia berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 2002 dengan jumlah penyertaan terbanyak iaitu 16 buah negara.

Penganjuran kejohanan ini mendorong pembangunan sukan hoki di negara kita.

4) Sukan Permotoran

Diberikan kepercayaan menjadi tuan rumah sukan permotoran antarabangsa bermula pada 1991.

Sukan Permotoran yang pernah dianjurkan ialah Grand Prix Motorcycle Racing (MotoGP) dan Superbike World Championship (SBK).

Penganjuran sukan ini dapat menjanakan pendapatan negara.

5) Le Tour de Langkawi

Kejohanan lumba basikal antarabangsa ini merupakan acara tahunan di Malaysia bermula 1996.

Nama kejohanannya diambil sempena dengan lokasi pelepasan perlumbaan iaitu di Pulau Langkawi, Kedah.

Laluan kejohanan yang menjelajah ke seluruh negara telah membantu mempromosikan destinasi pelancongan di Malaysia.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

6) Sukan Komanwel

Malaysia merupakan negara Asia pertama menjadi tuan rumah Sukan Komanwel iaitu pada 1998.

Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi stadium utama kejohanan.

Imej Orang Utan dipilih sebagai maskot dan bunga raya menjadi logo kejohanan.

Penganjuran Sukan Komanwel berjaya memupuk semangat setia kawan sesama anggota negara Komanwel.

7) Formula One dan Formula E

Menjadi tuan rumah Formula One sejak 2000.

Berlangsung di Sepang International Circuit (SIC) yang merupakan litar perlumbaan bertaraf dunia.

Penganjuran sukan antarabangsa Formula E pula telah diadakan di Putrajaya pada 2014.

Kedua-dua penganjuran perlumbaan tersebut telah menarik kehadiran peminat sukan permotoran dari seluruh dunia.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

8) Piala Monsun

Menjadi tuan rumah siri kejohanan sukan perahu layar sejak 2005.

Lokasi pertandingan di Pulau Duyong, Terengganu.

Penganjuran di Malaysia merupakan acara penutup dalam kalendar kejohanan tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp