
Pemergian Cikgu Hassan ditangisi ramai...'Allahyarham guru yang hebat, pemurah & suka berselawat'
"Cikgu Hassan memang pemurah dan manis dengan senyuman."
"Moga pekerjaannya sebagai pendidik menjadi asbab ke syurga ALLAH SWT."
"Al-Fatihah buat guru yang hebat."
"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH melimpahkan rahmatNya ke atas beliau dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman."
Itulah sebahagian doa, kata-kata penghargaan dan ucapan takziah yang membanjiri ruang media sosial selepas pemergian Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, Gua Musang, Kelantan, Allahyarham Cikgu Hassan Shazali, 52, yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya baru-baru ini.
Arwah yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi - Aring, Bukit Kawah. Tragedi itu meragut dua nyawa termasuk Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin sekolah.
Lebih meruntun hati, kedua-duanya difahamkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini.
Balu Allahyarham, Che Norhashimah Hassan, 50, yang juga guru di SK Renok Baru, berkongsi bahawa arwah seorang bapa yang baik dan mengambil berat tentang keluarga.
"Arwah juga tidak pernah mengabaikan anak-anak walaupun apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka," ujar beliau dalam satu perkongsian kepada media tempatan.

Bagi kakak Allahyarham, Rohani Ghazali, 63, sifat baik arwah akan terus terpahat dalam ingatan seluruh keluarga.
"Kami reda dengan kejadian yang berlaku ke atas adik kelima daripada lapan beradik.
"Arwah seorang yang sangat pemurah dengan keluarga dan suka berselawat," katanya ketika ditemu bual oleh portal tempatan.
Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Hassan. Sesungguhnya, pemergian arwah bukan sekadar dirasai oleh keluarga, malah turut menyentuh hati para pelajar, rakan sekerja dan masyarakat setempat.
Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuk arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan segala amal baiknya diterima di sisi ALLAH. Al-Fatihah.
Ringkasan AI
- Cikgu Hassan memang pemurah dan manis dengan senyuman
- Meninggal dunia dalam nahas jalan raya
- Arwah dan pasangannya Suzaimah Che Azis difahamkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember
- Balu Allahyarham, Che Norhashimah Hassan, memuji sifat arwah sebagai bapa yang baik
- Sifat baik Cikgu Hassan akan terus terpahat dalam ingatan keluarga dan masyarakat