Cikgu Hazeem (baju biru) bersama Cikgu Velerie yang dinobatkan sebagai pemenang MTP 2024.
Cikgu Hazeem (baju biru) bersama Cikgu Velerie yang dinobatkan sebagai pemenang MTP 2024.

Ramai guru menangis Cikgu Velerie menang Malaysia Teacher Prize 2024. ‘Segala penat lelah, pengorbanan beliau akhirnya terbayar’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Oct 2024 08:15am

Kemenangan Dr Velerie Wheelervon Primus dalam Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize (MTP) 2024 mengundang sebak ramai guru di Malaysia.

Ini kerana, perjalanan kerjayanya sebagai Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Sabah bukanlah mudah.

Beliau menempuh pelbagai cabaran sepanjang mendidik Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah berkenaan.

Walaupun penuh onak dan duri, Cikgu Velerie tetap berusaha tanpa henti bagi memastikan setiap murid diberi peluang mencapai potensi sebenar mereka.

Guru Multimedia, Hazeem Azemi antara guru yang gembira dan sebak apabila Cikgu Velerie diumum sebagai pemenang sekali gus mendapat hadiah lumayan RM50,000.

Kongsinya di Facebook pada Ahad, Cikgu Velerie merupakan insan yang memiliki banyak keistimewaan.

No Image Caption

"Hebat sungguh perjuangan dan pengorbanan ayah kepada seorang anak autisme sehinggakan beliau sanggup ‘convert’ dari guru aliran perdana ke guru Pendidikan Khas semata-mata ingin mendalami tentang ilmu Pendidikan Khas.

"Dan hari ini, perjuangan berkenaan bukan hanya memberikan impak positif kepada si anak malah turut memberikan impak sangat luar biasa kepada MBPK di SK Bingkor,” catatnya di media sosial.

Mengulas lanjut, Cikgu Hazeem yang juga Guru Pendidikan Khas berkata, dirinya sudah lama tidak berjumpa dengan Cikgu Velerie.

Kali terakhir mereka bertemu adalah ketika Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang Mei lalu.

"Selepas majlis, saya dan beliau keluar makan bersama-sama dengan seorang lagi rakan, Cikgu Wan Muadzam.

"Sungguh indah pertemuan ini. Masing-masing menceritakan liku, cabaran dan ujian besar dalam usaha mahu memartabatkan MBPK.

"Cerita usaha dan pengorbanan Vonn (panggilan untuk Cikgu Velerie) sangat luar biasa. Terus terang saya sangat sebak mendengar segala penat lelah dan kesusahan dilakukan demi membangunkan Pendidikan Khas di tempatnya,” ujarnya lagi.

No Image Caption

Ketika asyik berbual, secara tidak sengapa Cikgu Azam (Wan Muadzam) ada menyebut tentang kejayaan yang bakal diraih Cikgu Velerie kelak.

"Zeem (Hazeem), dengan apa yang kita dengar dari mulut Vonn (Cikgu Velerie), engkau bersedialah silap-silap tahun ini Vonn akan dapat juara MTP 2024.

"Memang masin mulut Cikgu Azam, akhirnya Vonn menang juga.

"Tahniah Vonn, saya menangis melihat kejayaan diraih. Teruskan kecemerlangan dan jangan pernah berhenti menyebarkan inspirasi buat seluruh warga guru di Malaysia,” ucap Cikgu Hazeem.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp