Fadhlina cukup mengagumi perjuangan Anwar dalam dunia pendidikan.
Fadhlina cukup mengagumi perjuangan Anwar dalam dunia pendidikan.

Terima kasih Cikgu Anwar, kata Fadhlina

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 May 2024 11:20am

Dedikasi beliau dalam agenda pendidikan cukup dikagumi ramai.

Begitu juga ketika menyampaikan ucapan, perkara berkaitan aspirasi pendidikan pasti akan diselitkan kerana ia sentiasa menjadi keutamaan negara.

Beliau yang dimaksudkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam catatan di Facebooknya, tidak lain dan tidak bukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hantaran yang dimuat naik pada Khamis dikarang Fadhlina bersempena Hari Guru 2024.

Berkongsi dengan warganet, Fadhlina menulis, tokoh berkenaan (Anwar) sangat percaya bahawa 'the right to education' lahir bersama 'the birth right of a child' iaitu setiap anak berhak mendapat pendidikan tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka.

"Ketika mengetuai Yayasan Anda, sebuah institusi yang memberikan ruang kepada pelajar-pelajar miskin dan tercicir mendapat peluang untuk belajar serta meneruskan pengajian, beliau (Anwar) telah menggerakkan inisiatif pendidikan untuk semua, sehinggakan rakyat dan khalayak awam benar-benar menghargai kewujudan Yayasan Anda tersebut.

No Image Caption

"Tidak terhenti setakat itu, ketika beliau menggagaskan agenda pendidikan negara, inspirasi tokoh pendidikan terkenal, Paolo Freire menjadi citra utama ketika beliau menekankan peri pentingnya pendidikan untuk masyarakat.

"Hanya dengan pendidikan sahaja yang dapat mengeluarkan manusia daripada kancah penindasan," catatnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kekuatan budaya ilmu yang beliau pegang dan disiplin pembacaannya sentiasa mengagumkan Fadhlina.

"Seringkali yang paling saya takutkan, apabila beliau menghulurkan buku kepada saya untuk dibaca kerana pastinya buku tersebut merupakan suatu karya hebat dan yang agak sukar saya tekuni kerana masih belum menguasai disiplin membaca sepenuhnya.

"Beliau sangat menghormati para ulama dan guru, malah sentiasa memastikan saya tidak ketinggalan mengikutnya dalam siri halaqah pertemuan beliau dengan para ilmuwan," ujarnya lagi.

No Image Caption

Akhir sekali, Fadhlina merakamkan penghargaan dan terima kasihnya kepada Perdana Menteri atas semua perkara.

"Terima kasih 'Cikgu Anwar' kerana sentiasa menjadi murabbi utama dan penting dalam membentuk fikrah dan jiwa pendidik kami.

"Tiada agenda yang lebih utama melainkan agenda islah yang sentiasa beliau laungkan sebagai esensi utama perjuangan dalam pendidikan," tutur Fadhlina lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp